Sistem Nilai Bersama

Murid-murid sekolah/Sabah
Murid-murid sekolah/Sabah

1. Saya khuatir melihat hala tuju negara apabila mengikuti perkembangan PRK Rompin dan Permatang Pauh. Ramai warga Malaysia sudah tidak lagi berpegang kepada nilai sejagat yang boleh membawa negara bangsa maju dengan acuan tamadunnya tersendiri. 2. Nilai dan kewibawaan kepimpinan yang berwawasan bukan lagi menjadi pegangan mutlak. Warga lebih suka berpegang kepada fahaman kepartian atau keagamaan, semangat perkauman, tuntutan kenegerian dan faedah peribadi. Tulisan Abdul Kalam dalam bukunya berjudul ‘Ignited Minds – unleashing the power within India’ menyatakan masyarakat maju dan dihormati perlu mengembangkan kekayaan negara dan membangun melalui sistem nilai yang dipegang oleh majoriti penduduknya. 3. Sistem nilai yang dipegang oleh penduduknya tidak mudah untuk diterapkan dan kita seakan berhadapan dengan jalan buntu. Walaupun usaha yang gigih telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak – berkongsi kuasa politik, gagasan perpaduan bangsa, kesederhanaan, menghormati kepelbagaian kaum dan agama – semuanya masih tidak menunjukkan kemajuan yang diharapkan. Mengapa? 4. Wujud perbezaan ketara antara nilai murni yang berpegang kepada keadilan, kejujuran, keikhlasan dan patriotisme dengan nilai yang dipegang oleh fahaman politik, agama, bangsa dan negeri. Walaupun dua nilai ini boleh digabungkan untuk pegangan warga, tetapi iltizam ini memerlukan pemimpin yang berwawasan, berpandangan jauh dan mempunyai pegangan kuat kepada nilai murni. 5. Tiada formula pantas yang boleh digunakan oleh pemimpin negara ke arah Malaysia yang mewah, dihormati dan warganya bersatu padu berpegang kepada nilai patriotisme yang serupa. Bagaimanpun, pemimpin perlu bersepakat untuk mengembalikan asas perpaduan yang dikongsi bersama ketika sebelum mencapai kemerdekaan dan keperluan strategik masa hadapan bagi kelangsungan bangsa Malaysia. 6. Antara perkara asas untuk membina patriotisme berasaskan sejarah bangsa dan tuntutan masa hadapan ialah pegangan institusi beraja, nilai kebangsaan majoriti rakyat dan gagasan keadilan untuk semua warga perlu disepadukan dalam membina sistem nilai pegangan bersama. 7. Kelangsungan masa depan hanya dapat dibina melalui penerokaan ufuk ilmu dan ilmuan mendahului zaman. Lihat sahaja negara maju lain, mereka menghormati ilmuan, mereka sediakan ruang dan peluang untuk mereka menterjemah mimpi kepada kenyataan, dan akhirnya kebanggaan negara terserlah melalui penerokaan sains dan teknologi yang pembangunan negara. Apakah sudah muncul teknologi watan yang menjadi kebanggaan warga? 8. Kita meminjam warisan budaya dan tabii dari nenek moyang dan perlu diperturunkan kepada cucu cicit kita. Tradisi, agama, budaya dan bahasa adalah tamadun yang kita warisi, dapatkah kita tinggalkan dalam bentuk yang asli atau lebih baik lagi? 9. Begitu juga dengan hutan rimba, sungai yang bersih, tanah ladang yang subur – ini juga warisan yang diperlukan oleh generasi akan datang. Iltizam menyintai warisan semakin menipis di sanubari kita, setiap hari kita melihat warisan musnah di telan zaman. Apakah agaknya yang masih tinggal menjadi pegangan sistem nilai ketamadunan bangsa? Hilangnya warisan, maka hilanglah roh sesuatu bangsa di tanah airnya sendiri. 10. Identiti masyarakat Timur yang membudayakan sikap saling hormat menghormati, berbudi bahasa, dan bantu membantu telah menjadi kekaguman masyarakat Barat zaman berzaman. Kita sepatutnya mengambil peluang kelebihan kepelbagaian bangsa dan agama sebagai kekuatan dan keistimewaan bangsa Malaysia. 11. Mengapa kita tidak berupaya membangunkan sikap dan kepercayaan mengukuhkan perpaduan kaum menggunakan identiti yang sedia wujud di darah daging bangsa Timur ini? Mengapa kita masih mencari acuan Barat untuk menyelesaikan cabaran bangsa di rantau ini? 12. Sebelum terlambat, kepimpinan negara perlu menilai keberkesanan semua agenda kesejahteraan masyarakat dan negara – apakah kita sedang bergerak pada halatuju yang tepat? Semua pemimpin masyarakat perlu mencari kesefahaman untuk membina nilai bersama warga Malaysia. 13 Berasaskan pemerhatian PRK terbaharu dan pandangan masyarakat umumnya, saya dapat rasakan semua nilai murni, patriotisme dan identiti timur sudah semakin terhakis dan bakal hilang ditelan zaman. (Intipati tulisan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH Mei 2015) IBK: 16 Mei 2015.

Advertisements