UKM Meneraju Sains Bumi Malaysia

Gunung Kinabalu/Sabah
Gunung Kinabalu/Sabah

1. Jabatan Geologi adalah satu daripada lima jabatan diwujudkan di Fakulti Sains ketika UKM ditubuhkan pada 1970. Sejarah perkembangan Sains Bumi moden bermula di sini. Walaupun Universiti Malaya (UM) mempunyai Jabatan Kajibumi ketika itu, ia sekadar kelangsungan penjejahan Barat untuk meneroka sumber mineral negara.

2. Profesor Tjia Hong Djin dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia telah dijemput untuk menjadi Ketua Jabatan pertama untuk membangun Program Geologi dan keperluan ahli akademiknya. Hari ini UKM telah melahirkan lebih 2000 orang graduan berijazah Geologi, ratusan pemegang ijazah PhD dan puluhan ahli akademik bergelar Profesor.

3. Saya adalah pelajar Kohot Ke3, meraih ijazah Sarjanamuda Sains Geologi (Kepujian) pada tahun 1976. Seterusnya melanjutkan pelajaran untuk ijazah PhD di Strathclyde University, Glasgow. Sekembalinya pada tahun 1979 saya bertugas sebagai ahli akademik di Jabatan Geologi UKM.

4. Anak Malaysia pertama menjadi Ketua Jabatan Geologi menggantikan Pak Tjia pada tahun 1980 ialah Dr Ahmad Jantan. Pada tahun 1984, saya telah dilantik menjadi Ketua Jabatan Ke4 selepas Prof Ismail Mohd Noor (kini sudah arwah). Ini permulaan kerjaya saya sebagai pemimpin ilmu Sains Bumi di sebuah universiti kebangsaan yang menjadi harapan rakyat dan bangsa Melayu.

5. Pada akhir tahun 1990, saya telah dijemput oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Malaysia untuk memberikan seminar kepada semua Pengarah JMG Negeri. Saya kagum apabila melihat semua Pengarah Negeri adalah Alumni Geologi UKM. Sebelum memulakan ceramah, mereka menyatakan ‘macam dalam kuliah ketika Prof menyampaikan kursus Geologi Kejuruteraan sahaja ketika di UKM dahulu’.

6. Pada 25 April, Kelab Geologi menganjurkan Makan Malam Gala Alumni Geologi UKM di sebuah hotel di Putrajaya. Saya turut hadir meraikan alumni geologi dan pelajar semasa dalam majlis yang sangat nostalgia. Bukan makanan menjadi tumpuan, tetapi pertemuan rakan lama, perkongsian memori dan perasaan kebersamaan yang tinggi.

7. Saya terharu dan sangat gembira bertemu dengan Pak Tjia, mahaguru dan pelopor ilmu Sains Bumi di Malaysia. Walaupun telah berusia lebih 80 tahun, beliau kelihatan sihat, ceria dan bertenaga apabila memperkatakan soal geologi. Saya yakin ramai alumni yang hadir malam itu, mempunyai persepsi yang sama apabila bertemu saya!

8. Sebelum wujudnya UKM, bidang geologi dilihat sebagai ilmu Sains Tulen yang hanya merungkai sejarah evolusi Bumi. Di UM mereka berminat meneruskan legasi penjajah, meneroka sumber mineral berekonomi untuk di lombong sebagai bahan komoditi. Di UKM pula, ilmu geologi telah diperluaskan bagi melihat isu pembangunan dan kesejahteraan sosial masyarakat.

9. Sub-bidang Geologi Kejuruteraan diperkenalkan untuk membantu jurutera membangun prasarana secara lebih selamat dan optimum. Geologi Sekitaran dibangunkan bagi membantu negara menangani masalah pencemaran dan bencana alam. Untuk menyokong pembangunan industri petroleum pula, UKM telah memperkenalkan sub-bidang Geologi Petroleum.

10. Dato’ Yunus Abdul Razak, Ketua Pengarah JMG (alumni geologi UKM) ketika menyampaikan ucapan perasmian menyatakan ‘kini terbukti, UKM telah melahirkan graduan geologi yang berwibawa, berjawatan tinggi dan menyokong industri perkhidmatan dengan membanggakan’. Soalnya, apakah yang kita dapat sumbangkan kepada UKM?’

11. UKM adalah peneraju pembangunan Ilmu Sains Bumi Malaysia. Kita perlu bersama untuk menjaga masa depan kerjaya geologi dan imej cemerlang UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan yang mendahului zamannya. Saya fikir masanya telah tiba, kita mewujudkan Persatuan Alumni Geologi UKM dan bersama menyumbang kepada meningkatkan kecemerlangan sains geologi di UKM.

12. Bidang Geologi kini berada di persimpangan. Semua sub-bidang penting yang menjadi asas ilmu geologi seperti mineralogi, petrologi, paleontologi, geomorfologi, sedimentologi, geologi struktur semakin kurang digemari – kononnya tiada nilai ekonomi. Semua bidang ini sedang mengalami kepupusan, pakar yang ada hampir atau sudah bersara, pelapis baharu tidak berminat untuk meneruskan perjuangan gurunya.

13. Ahli geologi tidak boleh lagi berada di belakang tadbir, mereka perlu memimpin di barisan hadapan pembangunan negara. Sebahagian besar daripada penyelesaian isu negara seperti bencana alam, perubahan iklim, sumber air bersih, sumber bumi, perancangan guna tanah, kesihatan alam sekitar dan pembangunan lestari memerlukan input dan kepakaran bidang geologi.

14. Melihat ke belakang, Alumni Geologi UKM merupakan pelakar sejarah perkembangan ilmu Sains Bumi di Malaysia. Sebahagian besar daripada pakarnya telah bersara atau hampir bersara. Untuk mengenali pemikiran mereka dan sejarah lisan perkembangan Sains Bumi Moden negara, inilah masa terbaik untuk mengumpul maklumat yang mungkin pupus sedikit masa lagi.

IBK: 16 Mei 2015

Advertisements