Pembangunan Lestari Johor

DSCN0057
Alam sekitar dan pembangunan/ Lembah Klang

1. Masyarakat negeri Johor perlu disedari, dari makanan yang kita makan, sumber tenaga yang kita guna sehinggalah kepada tempat kita mencari kedamaian dan ketenangan – alam sekitar adalah sebahagian daripada kita.

2. Alam sekitar adalah nadi kehidupan manusiawi di Dunia. Tanpa alam sekitar dan sumber asli tidak akan ada kehidupan – tidak akan ada pertumbuhan ekonomi dan tidak akan ada kesejahteraan masyarakat.

3. Hubungan harmoni antara alam dengan masyarakat kritikal kepada kelangsungan dan kejayaan umat manusia. Alam menyediakan sumber untuk keperluan asas dan ekonomi – air dan udara bersih, sumber makanan dan pembinaan, dan memberikan kita anugerah ketenangan dan kesihatan.

4. Keharmonian hubungan manusia dengan alamsekitar membolehkan kita berfungsi sebagai sebuah negara Bangsa, membina budaya, tradisi dan tamadun, dan meraikan kehidupan sejagat.

5. Dalam konteks moden, pengurusan alam sekitar secara lestari mendatangkan pulangan luar biasa hasil kedatangan para pelancong dari dalam dan luar negara. Tidak ada acara sukan atau hiburan tersebar dunia yang dapat menarik kedatangan jumlah pelancong yang besar ke suatu kawasan yang mempunyai daya tarikan keindahan dan keunikan alam tabii.

6. Malangnya, walaupun sumbangan besar dan fungsi penting alam sekitar diraih oleh manusia, kita masih tidak menghormatinya. Kita teroka, kita noda tanpa sudah, tanpa rasa bersalah. Kita, dalam sedar atau tidak, mencemarkannya sumber penghidupan kita – udara bersih untuk bernafas, air bersih untuk minuman dan landskap yang membawa ketenangan.

7. Pemuliharaan alam sekitar sekarang bukan sekadar isu sains. Ia adalah agenda politik dan ekonomi penting dunia. Kerajaan yang bertanggungjawab mesti menyahut kepentingan memulihara alam sekitar sebagai gagasan pembangunan secara lestari. Begitupun, ini bukan agenda kerajaan semata-mata, ia merupakan tanggungjawab kolektif – semua warga yang cintakan negara dan kehidupan berharmoni.

8. Kita mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan negara ini dibangunkan dengan kepentingan alam sekitar yang dilestarikan. Kita mempunyai tangggungjawab memastikan bahawa anak cucu kita masih boleh menikmati keindahan alam sekitar dan fungsinya sama seperti yang kita nikmati sekarang.

9. Seluruh Warga Johor perlu berubah – mereka perlu percaya dan beriltizam tinggi mengamalkan kehidupan seimbang, bermutu dan harmoni dengan alam sekitar. Warga Johor negeri tercinta ini perlu dihiasi perwatakan yang berpaksikan alam sekitar lestari. Johor dan masyarakatnya perlu komited dengan pelbagai usaha pemeliharaan, pemuliharaan dan menghormati nilai warisan alam.

10. Alam sekitar bukan sekadar pergunungan, tanah tinggi, lembah dan daratan. Ia meliputi persisir pantai dan lautan yang terbentang luas, serta kepelbagaian hidupan marin dan makanan laut yang kita nikmati sekarang. Negara kita memiliki pesisir pantai yang panjangnya lebih daripada 4,500 km dan keluasan lautan lebih dua kali ganda daripada keluasan daratan.

11. Ramai yang tidak sedar, laut dan kehidupan laut kita sedang mengalami kemerosotan kualiti habitat dan sumber makanan berterusan. Kita kini berada dalam situasi yang menyaksikan lautan kita amat memerlukan perlindungan. Ia berhadapan dengan ancaman yang serius – pencemaran, perubahan iklim, pemusnahan habitat dan sumber perikanan.

12. ika kita tidak melakukan sesuatu sekarang, kita akan kehilangan khazanah marin dengan kadar yang sangat pantas. Bila kita telah kehilangan, maka ia adalah untuk selama-lamanyanya. Jika kita tidak melakukan sesuatu yang besar dan berpandangan jauh sekarang, anak cucu tidak akan dapat manfaat kepelbagaian biologi marin yang tidak ternilai harganya.

13. enyedari hakikat ini, Johor amat komited untuk berpegang kepada prinsip kelestarian iaitu menghadkan penggunaan sumber daratan dan lautan pada kadar yang perlu, bukan sekadar jangka pendek, malah untuk bekalan dan kegunaan generasi akan datang.

14. Johor perlu beriltizam untuk membangun dasar alam sekitarnya tersendiri yang berpaksikan pembangunan lestari. Kita perlu memberikan perhatian yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan masyarakat, dan pada masa yang sama memastikan integriti alam sekitar.

15. Kita mestilah bersungguh-sungguh memelihara alam sekitar dan sumber asli Johor. Ini bermakna kita harus melindungi dan mengayakan khazanah alam dan ekosistem menerusi tindakan pemuliharaan dan pengawasan yang terancang dan berkesan.

16. Pertama, kita perlu menghubungkan manusia dengan alam iaitu dengan menyuburkan kesedaran alam sekitar di kalangan semua lapisan masyarakat. Mereka boleh menjadi pengawas dan khalifah alam sekitar dan memastikan agenda keterusan kelestarian Johor tercapai.

17. Kedua, kita perlu komited dengan dasar yang memadankan pertumbuhan ekonomi dan penjagaan alam sekitar. Johor perlu mengukuhkan ekonomi masyarakat dan negeri, tetapi pada masa yang sama memulihara alam sekitar dengan penuh tanggungjawab.

____________
* Kandungan ucapan YAB Menteri Besar Johor ketika merasmikan Majlis Kesedaran Alam Sekitar bersama Komuniti Johor pada 25 Januari 2015 di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
IBK: 17 Mei 2015

Advertisements