Antara Bencana dan Alam Sekitar

Tinggalan selepas banjir surut / Krai, Kelantan
Tinggalan selepas banjir surut / Krai, Kelantan

1. Pada awal November 2014, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan bencana Banjir Lumpur di Cameron Highlands, lima nyawa terkorban dan kerosakan besar pertempatan berlaku sepanjang pinggir sungai.

2. Ramai mengatakan ia peristiwa banjir terbesar pernah berlaku di sini. Hujan lebat luar biasa sering dijadikan alasan bencana mengancam manusia. Betul ke curahan hujan sebanyak itu tidak pernah berlaku di Cameron Highlands sebelum ini?

3. Cerapan lapangan menunjukkan kawasan Cameron Highlands telah di buka dan di teroka secara meluas untuk tujuan pertanian. Setengahnya merupakan terokaan haram tanpa mendapat restu kerajaan. Lebih buruk lagi, kawasan cerun bukit telah di tarah secara berluluasa tanpa menghiraukan kerosakan permukaan tanah.

4. Akibatnya, hakisan dan tanah runtuh berlaku dengan sangat aktif. Perlodakan serta pencetekan sungai dan tasik menjadi serius. Dalam keadaan begini, sungai tidak dapat berfungsi sebagai sistem laluan air hujan dari kawasan tadahan ke muara dan lautan. Setiap kali hujan lebat banjir pasti berlaku.

5. Pada bulan Disember pula, banjir mulai melanda di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia. Banjir musim tengkujuh di anggap peristiwa normal kepada kebanyakan komuniti di rantau ini. Mereka boleh menduga bila akan berlaku banjir dan sejauh mana impaknya kepada kehidupan harian masyarakat.

6. Tanpa diduga, banjir gelombang pertama yang melanda dearah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di anggap tidak normal. Banyak kawasan yang lazimnya tidak mengalami banjir, kini ditemggelami air. Paras air banjir juga dikatakan lebih tinggi daripada normal.

7. Banjir besar gelombang kedua yang berlaku di seluruh negara, khususnya di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu. Tinggi air banjir dan kelajuannya di luar dugaan penduduk pinggir sungai. Ia dikatakan banjir terburuk pernah melanda negara.

8. Kebanyakan rumah di persisiran Sungai Kelantan ditenggelami air. Bukan sahaja bangunan setingkat, malahan ada bangunan dua dan tiga tingkat juga turut ditenggelemi air bah. Ada kawasan berbukit yang sering menjadi tempat pemindahan mangsa banjir, kini turut ditenggelami air.

9. Saya amat bersempati dengan mangsa banjir dan sentiasa mendoakan keselamatan mereka. Soalnya, apakah kita sanggup membiarkan situasi seperti ini berlaku tahun demi tahun dengan impak terus meningkat? Apa yang dapat dilakukan untuk mengawal peristiwa banjir menjadi mencana? Kita perlu memberikan jawapan segera kepada persoalan ini.

10. Ada yang menyatakan, fenomena Pemanasan Global telah mengubah corak cuaca – hujan menjadi ekstrim – sehingga impak banjir meningkat. Ahli Meteorologi perlu memberikan fakta saintifik jitu untuk menyokong kenyataan ini?

11. Saya percaya, banjir luar biasa banyak berkaitan dengan kerosakkan atau penerokaan alam sekitar yang juga luar biasa. Apabila hutan ditebang untuk pembalakan dan pembukaan kawasan baharu, daya tampungan hutan untuk menyimpan air hujan berkurangan, akibatnya aliran air di permukaan menjadi lebih pantas dan pengumpulan air hujan ke dalam sungai juga menjadi sangat pantas.

12. Pembukaan hutan untuk kawasan pertanian telah mengubah corak guna tanah sehingga menganggu proses tabii hakisan tanah. Kadar hakisan meningkat dan longgokan kerikil, pasir dan lodak di dasar sungai turut meningkat. Aras dasar sungai menjadi semakin tinggi dan sungai menjadi semakin cetek.

13. Dalam keadaan begini, sungai kehilangan daya menampung untuk mengalirkan air hujan, sehingga dalam keadaan hujan biasa, banjir boleh berlaku. Kawasan berisiko banjir akan semakin meluas dan ketinggian paras banjir serta kelajuan air bah juga meningkat.

14. Keadaan menjadi semakin buruk apabila banyak kawasan pertempatan baharu di bina di pinggir sungai. Permukaan tanah ditutupi bangunan dan diturap untuk jalan. Perparitan disediakan untuk menyalurkan air hujan ke sungai berhampiran dengan cekap dan pantas.

15. Keadaan begini juga menyebabkan setiap kali musim hujan, penumpuan air ke sungai menjadi lebih pantas sehingga menggugat keupayaan sistem sungai mengalirkan air ke hilir. Apabila sungai banjir, kawasan pertempatan dipinggirnya turut banjir.

16. Saya lukiskan senario di atas bukan bererti, kita tidak boleh menyentuh atau menggunakan alam sekitar untuk pembangunan. Sebaliknya, kita perlu memahami keupayaan alam sekitar mengekalkan perkhidmatannya sambil menerima pembangunan. Jika keupayaan tampungan alam sekitar dilampaui, bencana tanah runtuh dan banjir pasti berlaku.

17. Banjir yang luar biasa ini adalah amaran bahawa kita telah mengubah alam sekitar di luar batas keupayaannya untuk kesejahteraan masyarakat. Manusia bergantung hidup kepada alam sekitar, bukan sebaliknya.

(catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH Januari 2015)

IBK: 18 Mei 2015.

Advertisements