Banjir Lumpur Cameron Highlands 2014

Aliran debris pada 2011, Sg Ruil Cameron Highland
Aliran debris pada 2011, Sg Ruil Cameron Highland

1. Pengumuman YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib Abdul Razak untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan isu Bencana Banjir Lumpur Cameron Highlands 2014 adalah satu langkah yang tepat. Masyarakat sudah sukar menerima pernyataan pihak berkuasa mengenai pelbagai tindakan bakal diambil untuk memastikan bencana di sini tidak berulang lagi.

2. Hakikatnya kekerapan peristiwa bencana banjir terus meningkat dan impaknya kepada keselesaan masyarakat semakin meruncing. Bencana banjir yang terbaharu ini telah mengorbankan lima nyawa, kecederaan kepada ramai penduduk tempatan dan kemusnahan harta benda.

3. Perancangan pembangunan di ekosistem pergunungan perlu mengambil kira bentuk landskap dan proses geomorfologi yang bertindak di kawasan tersebut. Jika kita membangun di dataran Tinggi Sarawak umpamanya, keadaan permukaan tanah tinggi yang rata dan meluas lebih sesuai untuk pembangunan.

4. Cameron Highlands terletak di Banjaran Titiwangsa yang membentuk jalur pergunungan berpematang dengan rabung yang sempit. Beberapa kawasan tanah ratanya berada di antara permatang pergunungan dan di lembah sungai utama. Kawasan rata begini merupakan sebahagian daripada landskap aktif yang sering mengalami tanah runtuh, aliran debris, hakisan tebing dan banjir kilat.

5. Keadaan menjadi lebih sensitif kerana, negara kita berada di rantau tropika lembap dimana hujan yang lebat menyebabkan kadar luluhawa dan hakisan sangat tinggi. Lapisan atas tanah mudah dihakis atau runtuh.

6. Sejak penerokaan Cameron Highlands sebagai kawasan rihat dan pertanian berhawa dingin, proses geomorfologi seperti tahan runtuh, aliran debris dan banjir lumpur berlaku secara berkala. Apa yang berbeza ialah saiz, kuantiti air dan lumpur, dan kekerapannya sebelum ini agak berkurangan.

7. Pertempatan juga berada jauh dari alur sungai dan tidak terlibat secara terus dengan proses geomorfologi – hakisan dan tanah runtuh. Dengan itu, tiada kematian dan kecederaan, dan tiada kerosakan harta benda – dalam konteks fahaman manusia, tidak berlaku bencana!

8. Apabila Cameron Highlands terus dibangunkan, banyak kawasan baharu di buka – sebahagian adalah tapak yang kurang sesuai dan mudah mengalami bencana. Akibatnya, kita mula mendengar berita proses geomorfologi mengakibatkan bencana – rumah dirosakkan oleh tanah runtuh dan pertempatan mengalami banjir kilat.

9. Pembangunan kawasan pertempatan baharu, pembinaan empangan untuk janakuasa elektrik dan pembukaan kawasan pertanian secara berleluasa telah menyebabkan Cameron Highlands menjadi sangat sensitif terhadap bencana alam.

10. Pada hakikatnya, Cameron Highlands telah melampau keupayaan tampungan sebagai kawasan pertempatan dan pertanian. Apabila hujan lebat berlaku, bencana alam adalah peristiwa yang sudah tidak dapat dielakkan lagi.

11. Situasi menjadi lebih meruncing apabila wujud pencerobohan hutan dan pembukaan tanah haram di lereng pergunungan yang tidak sesuai untuk dibangunkan. Kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah bertambah pesat, tempat yang dahulunya selamat kini telah dilanda bencana.

12. Kuantiti banjir lumpur semakin tinggi dan semakin kerap, kerosakan harta benda menjadi semakin serius. Kelakuan masyarakat yang tidak menghormati alam sekitar, membuang sampah sarap ke sungai menjadikan banjir lumpur lebih mudah berlaku. Empangan yang telah mengalami perlodakan telah kehilangan daya tampungan air dan mulai menimbulkan masalah banjir besar di kawasan hilirannya.

13. Tindakan membaikpulih ekosistem Cameron Highlands secara jangka panjang memerlukan iltizam politik dan perancangan pemulihan yang berwawasan. Di antara perkara yang boleh dipertimbangkan ialah:

a) fahami proses geomorfologi kawasan ini, petakan peristiwa bencana yang telah berlaku dan tafsirkan zon berisiko tinggi berlaku bencana di masa akan datang. Maklumat ini penting untuk merancang keupayaan guna tanah berasaskan keupayaan tampungan sebenar;

b) bandingkan guna tanah semasa dengan perancangan guna tanah baru yang telah mengambilkira zon bencana. Kita akan dapati banyak kawasan yang tidak sepatutnya dibangunkan, telah dibangunkan secara sah atau haram;

c) bagi prasarana penting dan berada di zon kritikal, langkah mitigasi boleh dilaksanakan. Ia meliputi usaha pengukuhan, penstabilan dan kawalan banjir secara kejuruteraan dan bukan kejuruteraan; dan

d) bagi keseluruhan kawasan, perancangan berasaskan konsep ‘pembaharuan bandar’ boleh digunakan untuk penyelesaian jangka panjang. Ia meliputi pembatalan kelulusan pembangunan sementara dan permit guna tanah di zon yang tak sesuai untuk pembangunan, memindah pertempatan yang sudah tidak selamat, dan meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar.

14. Dalam masa yang terdekat, semua aktiviti pencerobohan haram perlu dihentikan serta merta dan langkah pengukuhan kestabilan landskap perlu dilaksanakan secara berterusan. Ia meliputi aktiviti menghijaukan semula kawasan yang dibersihkan dan meningkatkan keupayaan empangan sebagai mekanisme kawalan banjir.

15. Di Malaysia, banyak kawasan berisiko bencana, sama ada tanah runtuh atau banjir telah dibangunkan tanpa perancangan yang bijaksana. Zon bencana atau kawasan sensitif alam sekitar tidak menjadi keutamaan ketika merancang dan meluluskan projek pembangunan.

16. Kita tidak seharusnya menyalahi proses alam apabila terperangkap dengan bencana. Salahkan diri sendiri kerana tidak prihatin memilih kawasan selamat daripada bencana alam ketika melakukan pembangunan.

(catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada November 2014)

IBK: 19 Mei 2015

Advertisements