Fenomena Banjir Terengganu 2014

Tebing Sungai Dabong/ Pos-banjir Jan 2015
Tebing Sungai Dabong/ Pos-banjir Jan 2015

1. Sebagai pakar geobencana, ini kali pertama saya terperangkap dengan fenomena banjir musim tengkujuh di Terengganu. Hujan turun tidak berhenti selama lapan hari dan matahari tidak muncul-muncul selama itu. Keadaan hujan yang berterusan, umumnya renyai-renyai, boleh menjadi lebat selama beberapa jam.

2. Akhirnya pada malam 19 November 2014, hujan turun dengan sangat lebat selama lebih enam jam. Pagi esoknya, banjir melanda di kebanyakan kawasan rendah. Pintu masuk UMT menjadi sungai sementara dan air telah naik sehingga 0.6m. Naib Canselor terpaksa mengisytiharkan ‘cuti darurat’ kerana tiada kenderaan boleh keluar masuk ke kampus.

3. Peristiwa banjir di Semenanjung Malaysia lazimnya dikaitkan dengan dua fenomena – banjir sungai dan banjir kilat. Banjir sungai dikaitkan dengan curahan hujan lebat di kawasan pergunungan, alur sungai tidak mampu menyalurkan kuantiti air yang banyak ke laut. Akibatnya, air sungai naik dengan pantas, melimpah sepanjang tebing dan membanjiri dataran rendah atau dataran banjir.

4. Banjir kilat pula berlaku di kawasan bandar yang pesat membangun di mana kebanyakan permukaan telah diturap. Aliran permukaan yang sangat banyak tidak dapat di tampung oleh sistem saliran sedia ada, maka berlakulah banjir kilat di kawasan laluannya.

5. Apa yang berlaku di Gong Badak dan Mengabang Telipot daerah Kuala Nerus tidak seperti fenomena banjir sungai atau banjir kilat. Kawasan ini boleh menampung hujan berpanjangan, tetapi apabila berlaku hujan lebat beberapa jam, air akan naik dengan pantas, dan sebaik sahaja hujan kembali renyai, air akan turun dengan pantas juga.

6. Saya dapat perhatikan paras air naik dengan pantas setiap kali hujan lebat, dan segera surut sebaik sahaja hujan kembali reda. Peningkat dan penurunan paras air di kawasan mengabang berkait rapat dengan sistem saliran bawah tanah yang menjalankan proses kawalan banjir secara tabii.

7. Pada malam 19 November itu, air naik melebihi 2 meter dan hanya tinggal 0.1 meter untuk membanjiri halaman rumah saya. Paginya, apabila hujan kembali reda, paras air di tasik tersebut beransur-ansur menurun.

8. Untuk memahami fenomena banjir di Terengganu, kita perlu memahami proses pembentukan persisir pantai ribuan tahun yang lampau. Sebahagian besar daripada kawasan rendah sepanjang pantai Terengganu terbentuk daripada beberapa siri permatang pasir atau gong terbentuk selari dengan pantai. Di antara permatang pasir ini terbentuk kawasan lekukan atau mengabang iaitu kawasan yang bertopografi lebih rendah daripada gong.

9. Pada awalnya saya hairan mengapa tidak ada sistem perparitan yang baik di kawasan perumahan sepanjang pesisir Terengganu. Kini jawapannya jelas, permatang pasir yang membentuk gong mempunyai sistem saliran bawah tanah yang cekap. Selagi paras air tanah berada beberapa meter di bawah permukaan, air hujan boleh terus meresap ke dalam tanah dan disalurkan dengan pantas ke kawasan mengabang.

10. Bagaimanapun, apabila hujan turun beberapa hari tanpa berhenti, gong menjadi tepu dan paras air tanah naik sehingga ke permukaan. Dalam situasi ini, air hujun yang turun tidak mampu lagi diserap oleh pasir dan mengalir di permukaan membentuk ‘sungai sementara’.

11. Jalan di hadapan UMT dan jalan masuk ke kampus telah menjadi sungai sementara untuk membawa air hujan ke kawasan mengabang. Inilah fenomena banjir yang terjadi di kampus UMT dan di kebanyakan tempat di negeri Terengganu.

12. Dua faktor yang menyebabkan fenomena banjir luar biasa berlaku tahun ini. Pertama, curahan hujan sangat lebat berterusan selama lebih enam jam menyebabkan sistem saliran bawah tanah menjadi tepu dan gagal menjalankan fungsinya. Kedua, pembangunan yang pesat telah menyebabkan kawasan yang luas terturap, dengan itu, air tidak dapat meresap ke bawah tanah dan dipaksa mengalir di permukaan jalan.

13. Apa yang dapat kita lakukan untuk menghindar peristiwa banjir menjadi bencana sehingga mengancam nyawa dan merosakkan banyak harta benda. Saya cadangkan agar agensi terbabit memberikan perhatian kepada beberapa perkara berikut:

  • setiap daerah perlu mempunyai ‘peta banjir’ sebagai asas kepada perancangan guna tanah. Peta banjir mengandungi maklumat kawasan terbanjir, kedalaman maksimum, arah dan kelajuan aliran dan lama masa beberapa peristiwa banjir boleh memberikan maklumat penting untuk perancangan pembangunan;
  • semua bangunan utama awam – universiti, sekolah, hospital, stesen pengangkutan dan pusat pentadbiran, perlu mempunyai sistem kawalan banjir yang baik. Bagi kawasan yang kritikal, mitigasi kawalan banjir dibangun untuk keselamatan awam;
  • strategi perancangan guna tanah di kawasan belum membangun perlu mengambil kira dua sistem topografi, persisir pasir (gong) dan lekukan (mengabang). Dasar kelulusan pembangunan perlu mengambil kira gong merupakan tempat yang sesuai untuk pertempatan, sementara mengabang hanya sesuai untuk pertanian dan hutan menebat banjir;
    bagi kawasan yang telah dibangunkan, khususnya kampung dan kawasan perumahan, konsep pembaharuan bandar perlu dilaksanakan. Pertempatan yang sering ditenggelami air, perlu dipindahkan secara beransur ke kawasan lebih selamat; dan
  • pembinaan sistem saliran permukaan sebagai langkah kawalan banjir perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan keberkesanan optimum tanpa menjejas keseimbangan ekologi yang tersedia oleh proses tabii.

14. Fenomena banjir di pantai timur, khususnya di Terengganu adalah fenomena tabii yang menjadi sebahagian daripada sistem ekologi. Pendekatan penyelesaian banjir di negeri ini perlu mengambil pendekatan ‘masyarakat bersama alam’ dan bukannya manusia mencabar alam.

15. Pembangunan tanpa perancangan rapi dan memahami proses hidrogeologi di kawasan gong dan mengabang hanya akan mengundang bencana banjir tidak berkesudahan.

(catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada November 2014)

IBK: 20 Mei 2015

Advertisements