Bencana Banjir Besar 2014

Kesan paras air banjir pada kedai/ Jan 2015 Kelantan

1. Bencana Banjir di Kelantan, Pahang, Perak dan Terengganu pada akhir tahun 2014 dikatakan fenomena banjir paling besar pernah dialami dalam sejarah moden negara. Negeri Kelantan seakan lumpuh, segala pengalaman berhadapan banjir selama ini seperti tidak dapat digunakan.

2. Sungai Kelantan, khususnya cabang utamanya Sungai Galas dan Sungai Lebir adalah alur yang terbentuk oleh proses banjir berulang. Kenaikan paras air hingga 15m merupakan fenomena biasa ketika musim banjir.

3. Penduduk di persisir Sungai Kelantan cukup faham dan bersedia dengan peristiwa banjir yang melanda hampir setiap tahun. Mereka menyediakan rumah rakit yang terapung mengikut perubahan paras air sebagai setesen motor galah sebagai sistem pengangkutan awamnya.

4. Banjir kali ini sangat luar biasa, pada 26 Disember, air banjir naik secara mendadak di Dabong, Manik Urai dan Kuala Kerai sehingga paras 10m dari dataran banjir. Di kawasan lebih hilir, banjir mencecah hingga 4m. Biasanya paras air banjir tidak melebihi 2m. Keadaan hampir sama untuk Sungai Perak dan Sungai Pahang.

5. Banjir kali ini mempunyai kuasa pemusnah yang besar. Kandungan lumpur, lodak, pasir dan debris yang sangat tinggi menyebabkan banjir berupaya merosak dan memusnahkan rumah, bangunan pejabat, jambatan dan pelbagai kemudahan awam.

6. Banjir tahun ini mungkin terbesar pernah dialami negara sejak puluhan, mungkin ratusan tahun terakhir. Lebih 500,000 penduduk terjejas dan perlu dipindahkan. Hampir RM2.85 bilion harta awam musnah. Ramai yang menyatakan, mereka belum pernah terlibat dengan banjir sebesar ini, dan merasakan kehilangan punca untuk berdepan dengan impaknya.

7. Pantai Timur terkenal dengan musim atau pesta Banjir, masyarakatnya telah berhadapan dengan banyak peristiwa banjir sejak zaman berzaman, mengapa kini banjir menjadi bencana yang merbahayakan dan diluar kawalan? Jawapanya boleh tafsirkan dalam tiga keadaan:

a) curahan hujan tahun 2014 adalah terbanyak dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Sungai tidak mampu menampung air laluannya, melimpah ke tebing sungai dan dengan ketinggian yang jauh mengatasi paras sebelum ini. Jika rumah di sepanjang tebing sungai ditenggelami air hanya beberapa kaki sahaja sebelum ini, banjir kali ini telah menenggelami rumah hingga kebumbungnya;

b) banyak kawasan yang mengalami banjir teruk, sebelum ini merupakan kawasan hutan atau tanah pertanian, kini telah dibangunkan sebagai kawasan pertempatan. Pembangunan pesat hanya berlaku sejak sekitar sepuluh tahun terakhir ini. Kita boleh buktikan tafsiran ini dengan membandingkan peta guna tanah 10 tahun dahulu dengan keadaan pembangunan sekarang; dan

c) Perubahan cara hidup termasuk cara kita membina rumah di persisiran sungai menyebabkan banjir 2014 kelihatan sangat teruk. Jika dahulu, kebanyakan rumah di persisiran sungai dibina di atas tiang tinggi (rumah bertiang) dan pengangkutan menggunakan perahu. Banjir hanya merupakan musim yang dilalui setiap tahun tanpa menjejas harta kecuali tanaman makanan harian.

8. Dalam keadaan negara pesat membangun, kita perlu menerima hakikat, banjir merupakan bencana alam terbesar di Malaysia. Kita perlu memberikan perhatian serius bagaimana untuk mengurangkan risiko bencana secara jangka panjang.

9. Pihak berkuasa perlu mempunyai rancangan jangka pendek dan panjang untuk berhadapan dengan bencana banjir. Ia perlu dilihat daripada perspektif persediaan sebelum bencana, tindakan menyelamat semasa bencana, dan penghindaran selepas bencana.

10. Perancangan sebelum bencana melibatkan pemetaan kawasan yang pernah mengalami banjir dan kawasan baharu yang berpotensi berlaku banjir. Bagaimana untuk mengurus kawasan berisiko banjir ini daripada perspektif guna tanah, tindakan kejuruteraan atau pendekatan mengurangkan risiko banjir.

11. Ketika bencana banjir berlaku, negara perlu mempunyai keupayaan untuk melaksanakan tindakan menyelamat nyawa dan harta benda. Walaupun, aspek ini telah diberkan perhatian, kebanyakan adalah atas dasar sukarela dan bantuan secara ad hoc sahaja. Kita perlu mempunyai sistem menyelamat yang berstruktur, khususnya di kawasan yang berisiko tinggi.

12. Banyak yang boleh dipelajari dan perlu dilakukan selepas bencana banjir. Setiap bencana adalah peristiwa penting yang memberikan pengajaran kepada kita. Maklumat mengenai kawasan yang terlibat, kedalaman maksimum air, kelajuan arus, impak kepada bangunan dan harta adalah rekod penting untuk dijadikan pengajaran.

13. Maklumat begini perlu dikumpul dan dijadikan asas untuk melaksanakan perancangan berhadapan dengan banjir akan datang. Di Malaysia maklumat peristiwa bencana jarang terkumpul sehingga tiada yang kita dapat pelajari daripada sesuatu kejadian lepas.

14. Ketika kita berdoa untuk meminimumkan impak bencana banjir 2014 terhadap mangsa yang mengalami penderitaan, kita perlu pelajari dan ambil iktibar dan mengambil tindakan positif untuk mengurangkan risiko banjir masa hadapan.

15. Kerajaan Pusat, Negeri dan pihak Berkuasa Tempatan perlu berganding bahu menangani bencana banjir secara berstrategi dan dengan perspektif jangka panjang untuk kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH Januari 2015) IBK: 21 Mei 2015

Advertisements