Fenomena atau Bencana Banjir?

TAR_0360
Tebing sungai terhakis teruk akibat kandungan lumpur yang tinggi dalam air sungai/Kelantan, Jan 2015

1. Seruan Perdana Menteri supaya pakar tempatan menjalankan penyelidikan mengenai bencana banjir dan menyarankan tindakan yang boleh di ambil oleh kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana perlu dipuji dan diberikan perhatian serius.

2. Para saintis tempatan perlu menerima cabaran ini dan berkerja sebagai sebuah pasukan, melihat semua aspek banjir daripada perspektif bencana alam dan mencadangkan penyelesaian menyeluruh yang jitu.

3. Lazimnya banjir dilihat sebagai fenomena alam yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia, khususnya komuniti di Pantai Timur. Hampir setiap tahun berlaku banjir sungai atau banjir tanah pamah ketika musim tengkujuh. Fenomena banjir sering dikaitkan dengan keamatan curahan hujan tinggi dalam masa yang singkat.

4. Ketika banjir gelombang pertama November 2014, curahan hujan yang sangat tinggi selama lebih seminggu di kawasan sekitar Kuala Terengganu menyebabkan permukaan tanah menjadi tepu, paras air bawah tanah meningkat sehingga keseluruhan kawasan rendah mengalami banjir. Apabila paras air tanah terus meningkat, tiada sistem saliran yang baik untuk menyalurkan air ke laut. Akibatnya, jalan raya menjadi sistem saliran sementara dan kawasan pembangunan terjejas dengan fenomena banjir.

5. Banjir gelombang kedua berlaku akhir tahun 2014 dan impaknya dirasai hingga kini. Ini merupakan banjir luar biasa dan terbesar pernah berlaku di Malaysia dan boleh dikelaskan sebagai bencana bencana bukan fenomena banjir.

6. Lebih 25 kematian dan RM2.85 bilion harta awam musnah. Komuniti yang terpaksa dipindahkan atau terjejas dianggarkan berjumlah 500,000 orang. Sememangnya keadaan curahan hujan di kawasan pergunungan, khususnya di hulu Sungai Kelantan, Sungai Pahang dan Sungai Perak sangat luar biasa menyebabkan paras air banjir lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya.

7. Kemusnahan terlalu besar, apakah ini semata-mata disebabkan oleh fenomena banjir? Kajian menyeluruh pasca banjir boleh memberikan petunjuk apakah punca bencana dan faktor penentu utama yang menyebabkan impak banjir terlalu besar.

8. Daripada kesan banjir di Sungai Galas dan Sungai Lebir umpamanya, saya mendapati kandungan lumpur, lodak dan debris (kayu kayan dan pelbagai sampah daripada tumbuhan) adalah sangat tinggi. Debris ini bertanggungjawab memusnahkan pelbagai prasarana, termasuk jambatan dan pertempatan. Ada yang melaporkan, keadaan banjir kali ini seperti ‘suasana dilanda tsunami’ dan ada pula yang menjelaskan seolah-olah impak daripada sebuah empangan pecah.

9. Pengalaman di Malaysia ketika banjir lumpur di Pos Dipang, Perak pada tahun 1996 dan di Cameron Highlands 2014 menunjukkan berlaku beberapa turutan peristiwa alam yang menghasilkan bencana banjir lumpur.

10. Ketika bencana Pos Dipang, apa yang berlaku ialah hujan lebat berterusan menyebabkan berlaku tanah runtuh di hulu sungai dan diikuti oleh hakisan tebing (fenomena ini dikenali sebagai aliran debris). Tumbuhan sepanjang tebing sungai telah diangkut dan berkumpul ke dalam sungai sehingga membentuk empangan sementara. Apabila empangan ini pecah, kayu kayan dan lumpur (debris) bersama air yang banyak berupaya memusnahkan sebuah perkampungan orang asli dan mengorbankan 35 nyawa.

11. Ketika banjir lumpur yang mengorbankan lima orang penduduk di Cameron Highlands pula, hujan yang lebat turut diikuti oleh tanah runtuh dan hakisan permukaan aktif. Malah kemusnahan sebuah rumah dengan kematian adalah disebabkan oleh tanah runtuh. Tanah runtuh telah mencetus banjir lumpur yang mempunyai kuasa pemusnah yang tinggi.

12.Di Malaysia, tanah runtuh dan aliran debris merupakan bencana alam yang paling banyak mengorbankan nyawa.

13. Berdasarkan kajian awal, peristiwa banjir di Kelantan kini, bukan sahaja disebabkan oleh curahan hujan yang luar biasa, tetapi hujan lebat berterusan di kawasan pergunungan telah mencetus kejadian tanah runtuh, hakisan tebing aliran debris.

14. Jumlah debris dan kepekatan lumpur yang dibawa oleh banjir menunjukkan lapisan tanah dan tumbuhan di tebing sungai telah dihakis dan diangkut bersama air banjir. Akibatnya debris dan lumpur mempunyai kuasa pemusnah tinggi menyebabkan jambatan konkrit roboh, dan kenderaan serta rumah terangkut dan termusnah.

15. Maklumat daripada mangsa menyatakan ‘air naik dengan pantas dan mengganas’ juga boleh dijadikan bukti wujud kejadian tanah runtuh, hakisan tebing dan aliran lumpur yang meluas. Biasanya dalam kejadian banjir lumpur, kesatuan debris, lumpur dan air akan bergerak dengan pantas menyebabkan air naik secara mendadak dan menghasilkan kuasa pemusnah terbesar.

16. Lima Universiti Awam bergabung tenaga menjalankan kajian Forensik Bencana Banjir. Pasukan penyelidik ini menjalankan kajian bencana banjir secara komprehensif, khususnya untuk meneliti kesan banjir dan dikaitkan dengan tanah runtuh dan aliran debris, model hidrologi banjir berasaskan lembangan, dan cadangan pendekatan pengurangan risiko bencana (DRR) secara adaptasi dan mitigasi.

17. Kini banjir bukanlah fenomena atau pesta, tetapi bencana alam utama. Negara perlu mencari jalan menyelesaikan isu bencana banjir secara menyeluruh untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

(sebahagian daripada catatan ini telah disiarkan dalam Rencana BH Januari 2015)

IBK: 22 Mei 2015

Advertisements