Pengurangan Risiko Bencana Alam

P1070546
Kerosakan harta benda akibat banjir lumpur di Lembah Bertam/ Cameron Highland 2013

1. Akhirnya masyarakat perlu akur, Malaysia berhadapan dengan risiko bencana alam. Bencana banjir yang luar biasa pada akhir tahun 2014 menyakinkan kita, tiada satu kawasan pun bebas daripada risiko bencana alam. Bencana alam paling meluas berpunca daripada iklim ialah bencana banjir.

2. Iklim juga mencetus bencana tanah runtuh, hakisan tebing sumgai, hakisan pantai dan ribut tropika. Kita juga pada tahap risiko rendah, berhadapan dengan gegaran gempa bumi, tsunami dan letusan volkano dari negara jiran.

3. Untuk mencari penyelesaian menyeluruh, dasar dan strategi kita perlu berpandukan kepada ‘menghindar atau mengurangkan’ ancaman atau risiko bencana terhadap komuniti dan hartanya, bukan untuk ‘mengawal’ bencana. Bencana kecil masih boleh dikawal oleh manusia, bencana besar atau malapetaka di luar kemampuan pemikiran dan keupayaan teknologi manusia.

4. Asas mengurangkan ‘keterancaman’ terhadap bencana adalah pengetahuan terhadap bencana (sains bencana), pengalaman berhadapan dengan bencana (rekod peristiwa lepas), persediaan berhadapan dengan bencana (tempat berlindung) dan keupayaan masyarakat untuk mengurangkan risiko bencana (adaptasi dan mitigasi).

5. Selepas bencana gempabumi besar di Kobe pada awal tahun 2000, masyarakat dunia telah bersepakat dan beriltizam untuk mencari jalan penyelesaian menyeluruh apabila berhadapan dengan bencana alam. Semua negara dunia, termasuk Malaysia telah bersetuju melaksanakan ‘Hyugo Framework for Action 2005 – 2015’ (HFA) bermatlamat mengurangkan risiko bencana (DRR). Pada prinsipnya kerangka DRR mengandungi lima tindakan prioriti berikut:

a)  Pastikan pengurangan risiko bencana menjadi prioriti tindakan di peringkat kebangsaan dan tempatan berasaskan institusi pelaksana yang mantap;

b)  Kenalpasti, nilai dan pantau risiko bencana dan perkasa amaran awal;

c)  Gunakan pengetahuan, inovasi dan pendidikan untuk membina budaya keselamatan dan kekentalan pada semua tahap masyarakat;

d)  Kurangkan faktor yang menjadi asas risiko bencana; dan

e)  Perkukuhkan kebersediaan bencana bagi membolehkan keberkesanan respons tinggi pada semua tahap perlaksanaan.

6. Tindakan prioriti ini telah dibincang oleh semua negara yang berdepan dengan bencana alam dan dipersetujui untuk dilaksanakan. Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan pihak berkuasa yang telah mengambil tanggungjawab bagi pihak negara untuk melaksanakan pelan tindakan ini.

7. Saya yakin pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh MKN untuk menjayakan komitmen ini. Soalnya, sejauh mana masyarakat menyedari kejayaan perlaksanaan yang dicapai oleh negara, dan apakah proses perlaksanaan telah meresap sehingga ke akar umbi – di peringkat negeri dan daerah.

8. Pengalaman Bencana Banjir 2014 menunjukkan tahap pencapaian negara melaksanakan tindakan prioriti HFA? Atau apakah kita masih dalam proses memantapkan dasar dan merancang, tetapi belum berjaya untuk melaksanakan sepenuhnya.

9. Saya perhatikan dalam beberapa tahun terakhir ini, apabila berlaku proses bencana bersekala kecil, persediaan untuk respons baik sekali. Kita telah menwujudkan pasukan penyelamat yang terlatih dan mampu bertindak segara. Bagaimanapun, untuk berhadapan dengan bencana yang besar dan meluas, jentera respons segera kita masih terhad.

10. Walaupun kita mempunyai masyarakat prihatin yang suka menderma ketika kejadian bencana, komuniti sukarelawan yang penuh bersemangat untuk membantu meringankan beban mangsa bencana, tetapi beberapa tindakan prioriti asas yang disarankan dalam HFA masih belum dapat dilakukan dengan berkesan.

11. Aspek ‘kebersediaan’ masyarakat berhadapan dengan bencana alam masih sangat rendah. Mereka masih mengharapkan kerajaan untuk melakukan segala-galanya, daripada berlindung di tempat selamat, menyediakan bekalan makanan hinggalah membangunkan semula pertempatan.

12. Dua perkara asas yang masih berkurangan untuk menyokong HFA ialah kesedaran pihak berkepentingan serta masyarakat, dan maklumat (pengetahuan) yang tepat untuk bertindak mengurangkan risiko banjir.

13. Jika kesedaran agensi berkepentingan masih rendah dan masih belum dapat menghayati bahaya dan impak bencana, tidak banyak perancangan, strategi dan tindakan aktiviti pengurangan risiko bencana berjaya dilaksanakan.

14. Pada masa yang sama, kekurangan maklumat yang tepat telah menyebabkan program dan projek adaptasi serta tebatan bencana tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh.

15. Tindakan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pendidikan Malaysia menyalurkan dana R&D sebanyak RM20 juta pada tahun ini adalah satu tindakan tepat, khususnya untuk menggembleng pengetahuan dan maklumat mengenai bencana alam.

16. Soalnya mampukah Universiti Awam tempatan menggembleng kepakaran untuk menghasilkan maklumat yang diperlukan bagi membantu kerajaan melaksanakan tindakan pengurangan risiko bencana. Dan mampukan Pembuat Dasar menterjemahkan maklumat ini kepada dasar, strategi dan tindakan perlaksanaan yang berkesan.

(catatan ini telah diterbitkan dalan Rencana BH Februari 2015)

IBK 23 Mei 2015

Advertisements