Akademik Berbudaya Cemerlang

Metropolitan Kuala Lumpur
Metropolitan Kuala Lumpur

1. Kewujudan institusi Universiti terletak kepada iltizam warga madani sesebuah negara meraikan budaya akademik – pencarian, penjanaan dan penyampaian ilmu pada tahap tinggi. Budaya akademik terserlah apabila wujud komuniti ilmuwan (sarjana) yang terus menerus menyelidik dan meneroka ufuk ilmu.

2. Ahli akademik menggunakan keupayaan intelek untuk mengenali dan memahami isu semasa dan akan datang, dan berkongsi idea dan teorinya bersama rakan keserakanan dan kesepakaran. Menyebarkan kepada pelajar dan masyarakat. Pelajar adalah pengikut setia yang percaya dan kagum dengan malimnya dan ghairah bersama untuk menimba ilmu.

3. Hari ini universiti telah berkembang luas dan halatujunya tidak lagi sepenuhnya menjurus kepada dunia keilmuwan. Peranan baharu universiti meliputi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersifat gunaan bagi menyokong pemkembangan industri.

4. Ilmu perlu diterjemahkan kepada produk yang boleh menjana ekonomi negara, dan sebahagian daripadanya dipindahkan untuk kesejahteraan masyarakat. Universiti bukan lagi Menara Gading, tetapi perlu relevan kepada masyarakat dan negara daripada perspektif sebuah Gedung Ilmu.

5. Apapun peranan dan halatuju Universiti, beberapa cirian utama budaya akademik perlu terus dipertahankan. Dua komuniti utama yang membina institusi Universiti ialah ahli akademik (bakat ilmuwan) dan pelajar (siswazah). Pengikat kedua-dua komuniti ini ialah ilmu (intelek), dan budaya yang menjadi daya tarikan kedua-dua komuniti Universiti ini ialah kecemerlangan.

6. Saya terpanggil untuk berkongsi kepada anda mengenai perkara ini kerana wujud fenomena kehakisan terhadap kepentingan ilmu yang manfaat dan kegairahan mengejar kecemerlangan daripada kalangan komuniti utama universiti, terutamanya di negara sedang membangun.

7. Situasi sangat membimbangkan ini berlaku ketika pembangunan pesat sesebuah negara, di mana pengambilan ahli akademik dan pelajar tidak lagi melalui saringan yang ketat, dan pengaruh budaya pentadbiran serta perniagaan menjadi semakin dominan dalam sekitaran universiti.

8. Sebuah universiti yang dikatakan baik ialah apabila pertimbangan politik, tuntutan industri dan kehendak ibu bapa telah dijadikan asas halatuju universiti berbanding kegairahan meneroka ilmu dan mengejar kecemerlangan.

9. Kepimpinan dan kecemerlangan bakat akademik perlu dijadikan asas pengambilan ahli akademik muda. Penilaian tidak sahaja kepada kelulusan yang baik atau asal sahaja telah meraih ijazah PhD. Perhatian perlu diberikan kepada ciri-ciri ilmuwan (bakat kesarjanaan), sikap terhadap pengajaran dan penyelidikan, dan iltizam untuk berkongsi ilmu.

10. Asas kepada cirian kepimpinan akademik ialah keghairahan untuk kecemerlangan atau ringkasnya akademik berbudaya cemerlang (ABC). Ahli akademik yang sentiasa mengejar kecemerlangan dalam semua tindak tanduk hidupnya – pemikiran, perancangan, tindakan dan amalan.

11. Kepimpinan negara, industri dan komuniti perlu melihat institusi Universiti sebagai lambang kecemerlangan negara. Universiti menjadi tempat idea baharu dicetus dan digilap, bakat cemerlangan dilahirkan, dan ketamadunan ilmu dikembangkan sebagai warisan negara dan bangsa.

12. Universiti bukan hanya sekadar kilang yang mengeluarkan tenaga kerja mahir berkebolehpasaran tinggi, sebaliknya bertanggungjawab menghasilkan pemimpin berwawasan, modal insan berilmu dan berteknologi mendahului zaman.

13. Kita perlu bersyukur Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (Pengajian Tinggi) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, memberikan perhatian utama kepada dua lonjakan asas – bakat akademik cemerlang, dan pelajar berminda kelas pertama serta berketrampilan holistik. Kedua-dua lonjakan ini pastinya berupaya memacu sekitaran akademik berbudaya cemerlang dan graduan syumul.

14. Bakat akademik cemerlang menjadi asas pembinaan sebuah universiti bertaraf dunia. Ahli akademik berilmu dan berwibawa, walaupun bermajikan Universiti atau Kerajaan adalah bakat global – pemimpin ilmu di peringkat Negara, rantau Asia atau Dunia.

15. Mereka mempunyai tanggungjawab akademik dan moral untuk menyumbangkan ilmunya kepada warga dunia dan kesejahteraan sejagat. Universiti tempat keberadaannya dan Negara seharusnya berbangga atas sumbangan ahli akademik mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

16. Bakat akademik cemerlang dan dikenali di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berupaya menarik minat pelajar cemerlang dari dalam dan luar negara datang dan belajar di Universitinya. Ini dapat meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dari pelbagai negara berkumpul dan membina budaya pembelajaran cemerlangan.

17. Apabila pelajar ini pulang ke tanah airnya, mereka bakal menjadi duta kecil yang mampu mempromosi kehebatan ilmu dan Universiti di Malaysia. Inilah cara yang lestari dan terbaik untuk meningkatkan citra sebuah Universiti bertaraf dunia.

18. Tuntutan dari luar universiti berbagai, dan harapan oleh pihak berkepentingan juga berbeza dan bermusim. Universiti tidak mungkin mampu menyahut semua tuntutan dan harapan sepanjang masa.

19. Jika universiti mempunyai bakat akademik berbudaya cemerlang dan warga pelajar berkualiti tinggi, tiada yang tidak dapat disumbangkan dengan gemilang untuk pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH Mac 2015)

IBK 24 Mei 2015.

Advertisements