R&D Syok Sendiri?

Industri Perikanan/  Semporna Sabah
Industri Perikanan/ Semporna Sabah

1. Saya terpanggil untuk mengulas kejutan yang dibuat oleh Berita Harian mengenai ‘R&D Syok Sendiri’. Universiti tempatan dikatakan tidak mampu untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi untuk membangunkan negara, walhal, mereka telah diperuntukkan dana yang sangat besar untuk menjalankan penyelidikan.

2. Walaupun ada benarnya, isu ini tidak boleh dilihat daripada perspektif hubungan antara dana penyelidikan dan produk boleh komersial sahaja. R&D Universiti mempunyai banyak matra dan perlu memenuhi pelbagai pihak berkepentingan.

3. Aktiviti R&D perlu dilihat daripada perspektif matlamat akhir dan institusi yang melaksanakan penyelidikan tersebut. Pada peringkat awal, apabila kerajaan menyalurkan dana R&D melalui mekanisme IRPA, sememangnya negara mengharapkan agihan dana penyelidikan boleh menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.

4. Dana disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Universiti yang berminat untuk mendapatkan dana perlu mencadangkan tajuk penyelidikan bersifat gunaan atau pembangunan yang berpotensi untuk menghasilkan produk baharu.

5. Malangnya, ketika itu tidak banyak institusi penyelidikan industri yang telah bersedia menjalankan penyelidikan. Kebanyakan industri bergantung sepenuhnya kepada perniagaan berteraskan teknologi luar negara. Untuk memacu pembangunan ekonomi berasaskan teknologi, kerajaan tiada pilihan kecuali mengembeleng tenaga pakar di universiti tempatan.

6. Saya percaya strategi ini bijak dan tepat pada waktu tersebut. Pelbagai kejayaan telah diraih, antaranya, IPTA mulai mengalami transformasi daripada institusi yang hanya melahirkan modal insan kepada universiti yang berupaya membangun budaya penyelidikan .

7. Infrastruktur R&D canggih berjaya dibangunkan dengan pesat dan budaya penyelidikan berkembang segar. Kini negara mempunyai lima universiti penyelidikan yang telah mampu bersaing di arena global.

8. Kejayaan paling cemerlang ialah apabila universiti tempatan berjaya menghasilkan ribuan pelajar PhD iaitu keperluan asas menyediakan tenaga mahir untuk R&D. Kini negara telah memiliki sejumlah bakat penyelidik mahir yang berupaya menjalankan R&D berkualiti.

9. Sebahagian daripada graduan PhD pula datangnya dari negara sedang membangun, khususnya negara Arab, Bangladesh, Indonesia dan negara di rantau Asia Tenggara. Daripada perspektif ini, Malaysia terlibat terus menjayakan agenda membangun tenaga pakar untuk rakan negara sedang membangun.

10. Jumlah hasilan graduan PhD dari dalam negara masih agak kecil. Sebahagian besar daripada graduan ini diserap masuk ke dunia akademik dan sejumlah kecil menjadi pegawai kanan kerajaan. Institusi R&D, sama ada sebagai agensi awam atau swasta masih belum berjaya dikembangkan seperti yang diharapkan.

11. Negara masih belum mampu mewujudkan pelbagai industri berasaskan pembangunan teknologi watan. Oleh kerana permintaan terhad, graduan berkelulusan PhD tidak dapat disalurkan kepada institusi R&D yang memerlukan tenaga pakar untuk membangun teknologi.

12. Jika kita bersungguh untuk membangun keupayaan watan, kerajaan dan pihak swasta, perlu mengwujudkan lebih banyak institusi R&D bagi menyediakan sekitaran pembangunan teknologi tinggi yang lebih kondusif.

13. Penyaluran dana R&D ke Universiti Awam (UA) ketika itu juga telah membawa fenomena baharu dalam senario penyelidikan di Universiti. Sebahagian daripada ahli akademik terdorong untuk bertukar pendekatan dalam membangan ilmu. Ramai yang telah dididik dalam bidang sains asas, terpaksa bertukar haluan menjadi ahli sains gunaan kerana peruntukan dana R&D dikhaskan untuk penyelidikan bersifat gunaan dan pembangunan.

14. Fenomena ini menghasilkan impak bercampur dalam pembangunan bakat akademik. Antara impak positif ialah negara berjaya meningkatkan jumlah pakar dalam bidang sains dan teknologi gunaan.

15. Bagaimanapun, fenomena ini juga telah membawa kepada kemerosotan kualiti penyelidikan dalam bidang asas atau fundamental. Negara yang mampu bersaing secara jangka panjang perlu memperkasa penyelidikan fundamental. Tanpa ilmu sains fundamental, teknologi tinggi tidak mungkin dapat disediakan dan dikembangkan secara lestari.

16. Atas keprihatinan ini, beberapa tahun yang lepas, kerajaan telah mula menyalurkan dana penyelidikan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjalankan penyelidikan fundamental. Hari ini kita dapat menyaksikan inovasi ilmu melalui penerbitan ilmiah berkualiti berkembang segar. Berikutnya, ranking dunia beberapa UA kita turut bertambah baik.

17. Saya percaya, masanya telah tiba, kerajaan mewujudkan strategi baharu untuk mengimbangi keperluan untuk menyalurkan dana R&D dan dana penyelidikan fundamental. Pengurusan dana R&D perlu disalurkan melalui satu badan bebas yang berwawasan untuk membangun teknologi watan secara bersungguh-sungguh dan terintegrasi.

18. Perkongsian pintar antara industri dan IPT perlu diwujudkan dalam ‘sekitaran perniagaan’ untuk menjayakan agenda utama negara ini. Biarlah negara mempunyai kumpulan R&D yang kecil, tetapi mereka perlu disokong dengan prasarana, modal insan dan dana yang mencukupi sehingga mampu berjaya.

19. Pada masa yang sama, dana penyelidikan fundamental perlu terus disalurkan kepada IPTA dalam bentuk geran penyelidikan dan inovasi. Setiap UA perlu dikenalpasti sebagai institusi yang berupaya membangun bidang terfokus dan dijadikan asas menyalurkan dana penyelidikan. Negara masih perlu membangun kepelbagaian bakat melalui penyelidikan fundamental jika berhasrat menjadi sebuah negara maju yang dihormati.

20. Saya ingin meyakinkan masyarakat, strategi dan pendekatan kerajaan memajukan R&D dan membangun kepelbagaian bakat akademik berada pada landasan yang tepat. Sebahagian besar UA negara masih berusia muda, masih memperkukuhkan tapak kecemerlangan, dan masih melalui fasa pembangunan modal insan dalam pelbagai kepakaran.

21. Begitupun, kami dapat merasakan, pencapaian yang ditunjukkan kini sangat luar biasa. Berilah sedikit masa bagi membolehkan UA mengukuhkan keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan R&D negara. Jika ini berlaku, UA mampu menyumbang dalam kedua-dua sektor R&D – penerokaan ilmu dan pembangunan teknologi.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana UM November 2014)
IBK: 25 Mei 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s