R&D Ekosistem Universiti

Cerapan di lapangan/ Norway
Cerapan di lapangan/ Norway

1. Malaysia perlu memperkasa keupayaan R&D jika berhasrat untuk bersama negara maju dan bersaing bagi meningkatkan ekonomi warga dan kekayaan negara. Menyedari kepentingan R&D, pada awal 1990an, kerajaan telah memperkanalkan dasar R&D dan mengwujudkan dana kewangan melalui mekanisme Intensification of Research in Priority Areas (IRPA).

2. Memandangkan sejumlah besar penyelidik – pakar dalam pelbagai bidang ilmu berijazah PhD – berada dalam sekitaran IPTA, kebanyakan dana IRPA telah disalurkan kepada penyelidik di universiti.

3. Ketika itu, industri mempunyai keupayaan terbatas untuk menjalankan R&D kerana mereka masih bergantung kepada pakar dan teknologi luar kerana masih belum berupaya membangun teknologi watan sendiri.

4. Hari ini, dana R&D telah berkembang luas dan disalurkan melalui beberapa kementerian berkaitan, terutamanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bagaimanapun, dana terbanyak masih disalurkan kepada para penyelidik di Universiti Awam (UA). Pewujudan lima buah Universiti Penyelidikan (RU) telah menyemarakkan peranan universiti dalam melaksanakan R&D negara.

5. Selepas hampir 20 tahun R&D diperkenalkan, apakah kerajaan berupaya mengukur kejayaannya? Apakah kita telah mempunyai teknologi atau produk yang menjadi kebanggaan negara serta menempatkan Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan teknologi tinggi?

6. Atau sekurang-kurangnya, negara telah memiliki sejumlah industri yang menggunakan sepenuhnya pengetahuan dan teknologi watan bertaraf global? Ini adalah persoalan besar yang perlu segera diberikan jawapan!

7. Jika jawapan kepada semua soalan di atas adalah positif, kita boleh teruskan dasar sedia ada dan menunggu untuk meraih kejayaan. Sebaliknya jika jawapannya tidak memberangsangkan, kita harus menilai semula Dasar R&D sedia ada dan segera berubah untuk menjajar kepada kepentingan mendesak negara – menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan berasaskan teknologi watan.

8. Mari kita teliti sekitaran UA, apakah fungsi utamanya dan sejauh manakah keupayaannya? Universiti adalah institusi pengajian tinggi yang peranan utamanya menghasilkan tenaga mahir dalam pelbagai disiplin ilmu dan sektor pembangunan untuk keperluan tenaga kerja mahir negara dan global.

9. Untuk membolehkan peranan ini dijalankan secara berkesan, universiti perlu mempunyai ilmuwan (malim) dalam pelbagai bidang ilmu dan teknologi, dan kepakarannya disalurkan kepada pembangunan pelajar. Oleh itu, mereka perlu terus meneroka dan memperluaskan kepakaran melalui penyelidikan, terutamanya penyelidikan fundamental.

10. Sememangnya, UA juga mempunyai pelbagai peranan, termasuk peneroka dalam pembangunan teknologi serta pemindahan ilmu kepada industri dan masyarakat. Tetapi aktiviti begini merupakan peranan tambahan yang tidak mungkin dapat dilaksanakan secara sepenuh masa dan dengan keberkesanan tinggi.

11. Dalam sekitaran universiti juga, kecemerlangan dan kesarjanaan di ukur oleh rakan kesepakaran melalui kerja dan hasilan akademik, khususnya penerbitan ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi.

12. Negara perlu membezakan keperluan menjalankan Penyelidikan Fundamental (PF) dengan kepentingan memperkasa R&D. Walaupun mempunyai kaitan yang rapat, tetapi pada prinsipnya kedua-dua bentuk penyelidikan ini mempunyai matlamat dan halatuju yang berbeza.

13. PF mempunyai matlamat jangka panjang menyediakan sumber manusia pakar (pelbagai disiplin ilmu) melalui penerokaan ilmu baharu dan memperluas keupayaan teknologi yang bakal menjadi sumber ‘kemahiran, keilmuan dan kesarjanaan’ untuk persediaan masa hadapan bangsa maju.

14. R&D pula merupakan penyelidikan gunaan dan pembangunan bagi membolehkan ‘kemahiran dan produk baharu’ dihasilkan untuk memperkaya inovasi teknologi yang mampu memacu keupayaan bersaing dan melonjak kekayaan negara.

15. Daripada perspektif ini, adalah wajar jika dasar penyelidikan negara dinilai semula dengan memberikan tumpuan kepada tiga matlamat penyelidikan berikut:

a) Penyelidikan Fundamental untuk pembangunan (FR-Pembangunan) bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan tenaga penyelidik mahir (ahli akademik), membangun bakal penyelidik mahir (pelajar Sarjana dan PhD) dan menghasilkan ilmu baharu (penerbitan berkualiti). Dana FR seeloknya disalurkan terus ke UA (seperti dana operasi);

b) Penyelidikan Fundamental berimpak tinggi (FR-Impak Tinggi) merupakan penyelidikan jangka panjang berasakan matlamat dan halatuju pembangunan sains negara. Dana penyelidikan ini boleh disalurkan kepada ‘kumpulan penyelidik cemerlang’ yang berada dalam sekitaran institusi penyelidikan universiti, kerajaan atau swasta melalui bidaan dan diurus oleh badan yang tidak berkepentingan, umpamanya Yayasan Sains Negara; dan

c) R&D bertujuan menjalankan penyelidikan gunaan dan pembangunan bagi menghasilkan inovasi teknologi yang sangat diharapkan oleh kerajaan bagi meningkatkan keupayaan bersaing negara.

16. Dalam konteks R&d, dasar mewujudkan lebih banyak ‘Institusi R&D’ dalam pelbagai sekitaran (industri, agensi kerajaan dan universiti) untuk memenuhi ‘lompang teknologi negara’ perlu diberikan perhatian. Di sinilah bakat penyelidik mahir berkelulusan PhD ditempatkan. Agensi memperkasa R&D di bawah naungan MoSTI perlu diperkukuhkan lagi untuk melaksanakan peranan ini.

17. Pada masa ini, R&D negara telah ditafsirkan secara berbeza oleh pelbagai agensi dan akhirnya kurang mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Jika negara mengharapkan inovasi teknologi yang mampu menjana kekayaan negara, UA sekadar mensasar penerbitan berimpak tinggi sebagai petanda pencapaian, dan industri masih sebuk dengan mengukuhkan teknologi luaran sebagai pendekatan terbaik meraih keuntungan. Inikah suasana penyelidikan negara yang kita inginkan?

(Sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH Oktober 2014)

IBK: 26 Mei 2015

Advertisements