Alam Sekitar dan Masyarakat

Gunatanah dan manusia
Gunatanah dan manusia

1. Pada 27 Mei 2015, Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara menganjurkan Dialog Alam Sekitar Malaysia 2015 di PWTC Kuala Lumpur. Sudah agak lama kita tidak membincangkan isu alam sekitar negara kerana perbagai isu berimpak tinggi seperti politik, perpaduan kaum dan keadilan ekonomi yang membelenggu pemikiran masyarakat mengambil pentas utama.

2. Kami telah menjemput para profesor dari universiti tempatan, pelaksana dasar dari agensi Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk terlibat dalam dialog penting ini. Perbincangan diharapkan bersifat terbuka, jujur dan ikhlas dan dalam kesepakatan tinggi.

3. Matlamat dailog ini diadakan ialah bagi menilai status alam sekitar semasa dan isu kritikal yang sedang negara, serta berupaya mempengaruhi kesejahteraan masyarakat daripada perspektif pembangunan lestari.

4. Apakah kita sedang mengamalkan dasar dan perundangan yang tepat dan menyeluruh dalam menangani cabaran menjaga kesihatan alam sekitar negara? Apakah Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) yang memberikan tumpuan kepada mengurusan kualiti berasaskan isu pencemaran alam sekitar masih relaven?

5. Isu pemuliharaan kepelbagaian biologi dan warisan tabii merupakan asas blok binaan alam sekitar yang meperlukan perhatian tinggi. Walaupun kita mempunya Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (1998), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (2010), Akta Taman Negara (1980) dan Akta Warisan Kebangsaan (2005), perlaksanaan semua inisiatif pemuliharaan masih berhadapan dengan pelbagai cabaran.

6. Dalam konteks pemuliharaan alam, Akta Perhutanan Negara (1984) masih merupakan penyelamat kepada sebahagian besar kawasan hutan yang melindungi kepelbagaian biologi. Walhal, kita sedia maklum akta ini pada prinsipnya bertujuan mengurus mengeluarkan hasil hutan secara lestari!

7. Isu global paling hangat dibincangkan pada masa ini ialah impak jangka panjang Perubahan Iklim. Pendekatan menanganinya memerlukan perhatian secara holistik dan terintegrasi. Kita masih tercari-cari mekanisme perancangan dan perlaksanaan di peringkat negara dan tempatan.

8. Walaupun Kementerian Sumber Asli telah memberikan perhatian yang tinggi, khususnya dalam perbincangan dan program di peringkat antarabangsa, apakah kita mempunyai saluran berkesan untuk melaksanakan semua keputusan di peringkat tempatan?

9. Isu yang sudah lama, tetapi terakhir ini muncul semula dengan impak yang lebih besar ialah Bencana Alam. Walaupun negara telah berhadapan dengan pelbagai jenis bencana sejak ratusan tahun lamanya, kita masih belum mempunyai jalan penyelesaian menyeluruh yang memuaskan.

10. Bencana Banjir Besar 2014 telah melumpuhkan pentadbiran negeri Kelantan dan beberapa daerah lain di Pahang, Terengganu dan Perak. Ini menunjukkan dasar dan mekanisme pengurangan risiko bencana negara masih terbatas. Bencana alam, khususnya banjir, tanah runtuh, ribut taufan dan hakisan pantai adalah peristiwa yang masih menghantui pemikiran masyarakat.

11. Kehadiran sumber dan kecukupan bekalan air bersih masih menjadi polimik yang tidak berkesudahan. Nampaknya tidak munasabah, sebuah negara tropika lembab boleh berhadapan dengan krisis bekalan air kerana tidak sampai 3% curahan hujan telah memadai untuk menampung keperluan air negara.

12. Hakikatnya, isu kekurangan sumber dan agihan air bersih masih menjadi agenda utama negara dan bakal menjadi lebih kritikal pada masa hadapan.

13. Alam sekitar juga mempunyai kaitan rapat dengan warisan tabii, jati diri bangsa dan perasaan kesepunyaan warga. Gunung ganang, bukit bukau, sungai dan lurah, dan persisiran pantai adalah tempat masyarakat membina tamadun, tradisi dan budaya komuniti mereka.

14. Isu pembalakan haram, penarahan bukit dan menukar hutan menjadi kawasan pertanian masih menjadi isu guna tanah yang serius. Jika semua ini berubah atau termusnah, apa yang tinggal untuk kita sama-sama banggakan, dan untuk ditinggalkan ke anak cucu kita?

15. Negara perlu berani memantapkan dasar dan strategi pengurusan sumber asli dan perancangan guna tanah yang mementingkan kesihatan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

16. Dasar guna tanah dan kawalan pembangunan perlu memberikan perhatian yang tinggi mengenai perkhidmatan alam sekitar, warisan tabii dan kelestarian sejagat tanpa mengorbankan keperluan menjana kekayaan negara. Jika tidak pastinya, halatuju pembangunan akan menuju destinasi kepupusan kehidupan.

17. Dialog kali ini akan mengupaskan pelbagai isu berkaitan peranan masyarakat untuk menghormati alam sekitar. Matlamat terakhir adalah untuk kesejahteraan masyarakat dan kelestarian pembangunan. Percayalah, alam sekitar tidak memerlukan manusia, sebaliknya manusia yang bergantung kepada alam sekitar untuk hidup.

IBK: 27 Mei 2015

Advertisements