Pembangunan Alam Sekitar

Permandangan Kawsan Pergunungan/ Kundasang, Sabah
Permandangan Kawsan Pergunungan/ Kundasang, Sabah

1. Daripada perspektif guna tahan, kita biasa mendengar konsep pembangunan bandar, pembangunan industri atau pembangunan pertanian. Apa itu pembangunan alam sekitar? Bukankah kita telah memperkenalkan pelbagai konsep mengenai pemuliharaan alam sekitar? Sebagai contoh, Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Sensitif Alam Sekitar, Taman Negeri atau Negara, dan Tapak Warisan Dunia.

2. Pemikiran kita mengenai alam sekitar adalah berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan. Konsep begini telah menimbulkan konflik berterusan antara pembangunan dan alam sekitar. Di satu pihak, masyarakat melihat alam sekitar merupakan sumber asli yang boleh diterokai untuk menjana ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Di pihak yang lain, alam sekitar, khususnya hutan merupakan warisan sejagat yang perlu dikekalkan atau dipulihara.

3. Saya melihat gagasan pembangunan dan alam sekitar pada masa ini tidak menguntungkan golongan yang beriltizam untuk memulihara hutan sebagai warisan alam. Hakikatnya, pemikiran manusia dan pemimpin masih memberikan tahap kepentingan yang jelas kepada sumber untuk menjana ekonomi, untuk keperluan kesejahteraan manusia, akhirnya untuk pemuliharaan warisan.

4. Selagi manusia taksub kepada menjana wang untuk berkuasa, dan memerlukan sumber asas untuk mengurus peningkatan penduduk, alam sekitar adalah mangsanya. Alam sekitar lazimnya dilihat sebagai sumber bernilai ekonomi yang perlu diterokai.

5. Walaupun, masyarakat dunia mulai sedar tentang pentingnya ‘perkhidmatan alam sekitar’ bagi kelangsungan kehidupan. Pendekatan pembangunan semasa masih belum berupaya untuk mengimbangi keperluan pembangunan wilayah dan fungsi memulihara alam sekitar.

6. Kemerosotan kualiti air dan udara, peningkatan bencana alam – banjir dan tanah runtuh – dan wabak penyakit disebabkan pencemaran merupakan petanda fungsi dan khidmat alam sekitar talah dilampaui.

7. Saya perkenalkan konsep ‘Pembangunan Alam Sekitar’ atas dua alasan. Pertama, untuk meletakkan kedudukan atau kepentingan alam sekitar seiring dengan pembangunan lain, seperti pembangunan bandar (pertempatan), pembangunan industri (ekonomi) dan pembangunan pertanian (sumber makanan).

8. Kedua, pembangunan alam sekitar perlu diperkenalkan dalam konteks perkhidmatan ekosistem untuk kelestarian atau sumber kehidupan. Oleh itu, prinsip pembangunan alam sekitar adalah untuk memberikan ‘perkhidmatan ekosistem’ dan bukannya semata-mata untuk pemuliharaan sumber asli.

9. Para perancang bandar dan desa boleh menyediakan garis panduan pembangunan berasaskan kepada beberapa fungsi penting alam sekitar. Daripada perspektif kesejahteraan masyarakat, fungsi terpenting alam sekitar adalah menyediakan perkhidmatan alam sekitar, khususnya sumber air dan udara bersih serta simpanan benih pelbagai tumbuhan (kepelbagaian biologi) untuk sumber makanan dan ubatan.

10. Dalam konteks ini, pelan pembangunan perlu memberikan perhatian kepada konsep ‘keupayaan tampungan atau had perubahan’ yang tidak memudaratkan perkhidmatan suatu ekosistem tersebut.

11. Selain itu, alam sekitar juga merupakan warisan tabii manusia yang menjadi lambang ketamadunan dan nilai sepunya masyarakat. Seperti peninggalan sejarah dan arkeologi, landskap ekologi atau geologi juga mempunyai nilai saintifik dan estatik yang perlu dipulihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

12. Kita perlu mengenali apakah landskap tabii itu hanya bersifat warisan tempatan, kebangsaan atau dunia daripada perspektif keunggulannya. Jika kita perlu membuat pilihan antara pembangunan atau pemuliharaan, keunggulan nilai warisan bakal menjadi penentu kepentingannya.

13. Pelbagai bentuk pembangunan masih boleh dilakukan di kawasan alam sekitar. Antaranya, untuk mengekalkan pertempatan dan kegiatan ekonomi komuniti asli yang telah lama menetap di kawasan tersebut.

14. Pada masa yang sama, kita boleh melaksanakan pelbagai pembangunan berimpak rendah seperti kemudahan penggunaan hasil hutan secara terkawal, rekreasi, pendidikan awam dan pelancongan tabii bagi membolehkan alam sekitar dimanfaatkan sepenuhnya.

15. Merancang dan mengurus alam sekitar daripada perspektif pembangunan mempunyai banyak faedah secara jangka panjang. Konsep pembangunan untuk kepentingan kesejahteraan manusia, memberikan status yang tinggi kepada alam sekitar.

16. Alam Sekitar menjadi sebahagian daripada prasarana penting dalam kesatuan pembangunan yang holistik. Warga dan kerajaan perlu menyediakan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi untuk mengurus, memantau dan menyelenggara alam sekitar demi kepentingan kelestarian.

17. Meletakkan pengurusan alam sekitar daripada perspektif pembangunan mempunyai banyak kelebihan. Ia boleh ditempatkan sejajar dengan pembangunan bandar, industri dan pertanian. Negara perlu mengikhtiraf pembangunan alam sekitar kritikal untuk menyediakan perkhidmatan ekologi, memulihara warisan dan penggunaan sumber asli secara lestari.

18. Bagaimanapun, jika ada di kalangan kita, masih berfikiran ‘tamak dan hanya mengaut kekayaan’, alam sekitar bakal menjadi mangsa utama kerakusan manusia.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pertengahan tahun 2014)
IBK: 28 Mei 2015

Advertisements