Pembangunan Alam Sekitar Sarawak

Bandaraya Kuching
Bandaraya Kuching

1. Pada akhir tahun 2013, Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara telah menganjurkan Dialog Sarawak bertemakan ‘Menyusuri Keserasian antara Pembangunan dan Integriti Alam Sekitar di UNIMAS Kuching Sarawak.

2. Dialog ini telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pemain industri dan ketua masyarakat. Ini merupakan dialog sulung seumpama ini, dan dijangka akan dianjurkan di Sabah, Johor, Kedah, Selangor dan Terengganu dalam tempuh setahun akan datang.

3. Sebagai pemikir negara, Majlis Profesor Negara seeloknya mendapatkan pandangan daripada pelbagai pemegang taruh sebelum bertindak mengemukakan pandangan dasar atau pendekatan penyelesaian isu alam sekitar yang bakal dikemukakan ke pengetahuan pihak berkuasa negeri.

4. Dialog telah dimulakan dengan beberapa pembentangan kesarjanaan oleh pasukan Bertindak Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam beberapa isu asas kelestarian. Umpamanya, Prof Noor Azhar Shazili (UMT) telah mengemukakan beberapa dapatan sains yang menunjukkan tren ‘kemerosotan kualiti dan kuantiti’ air yang kini mulai menjejas ekosistem dan kesejahteraan masyarakat. Air telah diramal akan menjadi isu alam sekitar sejagat paling kritikal di Abad Ke-21 ini.

5. Prof Zulfigar Mohd Yasin (USM) telah menghuraikan perubahan ekosistem lautan yang juga telah mempengaruhi kesejahteraan masyarakat. Pengaruh antropogen (pembangunan dan perlakuan manusia) telah menyebabkan sumber bekalan makanan laut semakin merosot daripada perspektif kuantiti dan kualiti kesihatan.

6. Beliau turut menegaskan ekosistem lautan dan daratan sangat berhubungan dan saling pengaruh-mempengaruhi. Akibat perubahan iklim, lautan akan terjejas, dan akhirnya daratan dan manusianya juga turut terjejas.

7. Isu kepelbagaian biologi, khususnya biologi fauna (termasuk hidupan liar) telah dikupas oleh Prof Mohd Tajuddin Abdullah (UNIMAS). Beliau menjelaskan bagaimana Malaysia boleh berbangga dengan pengisytiharan mega-kepelbagaian biologi negara, walhal keupayaan mengenalpasti, memelihara dan memulihara negara di tahap yang paling rendah.

8. Mereka yang menyintai dan mengkaji kebanyakan orang luar, dan specimen yang mewakili khazanah ini kebanyakannya disimpan di luar. Negara masih belum memiliki ‘museum of natural history’ untuk menyimpan warisan penting negara dan negeri yang tercinta ini.

9. Ketika berdailog, saya turut kagum dengan pandangan beberapa orang ahli akademik berkepakaran sains sosial dan ekonomi pembangunan dari UNIMAS. Umpamanya, sebagai sebuah negara bangsa, falsafah pembangunan pastinya berasaskan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat.

10. Politik dan governans lazimnya berpaksikan kepada keperluan asas warga dan permintaan majoriti masyarakat. Oleh itu, jika tahap kesejahteraan negara masih rendah, dan sebahagian besar masyarakat masih di paras kemiskinan, keutamaan menyediakan sumber makanan, pekerjaan dan aktiviti pembukaan tanah sangat perlu walaupun terpaksa mengabaikan warisan hutan.

11. Saya tertarik dengan penghujahan ekonomi mengenai rancangan pembukaan ladang kelapa sawit di kawasan yang asalnya hutan tropika. Jika hanya berasaskan teori ekonomi, tiada alasan untuk menghentikan usaha ini kerana ia boleh mendatangkan dua faedah jelas:

a) penebangan hutan boleh mendatangkan hasil balak; dan

b) penanaman ladang kelapa sawit pula mampu mewujudkan pekerjaan serta mendatangkan hasil yang lumayan.

12. Oleh itu, selain daripada pakar pemuliharaan dan pencinta hutan tropika, komuniti lainnya tidak mempunyai alasan kukuh untuk menghalang kegiatan ekonomi seumpama ini. Guna tanah berasaskan perubahan hutan menjadi ladang kelapa sawit tidak dapat dielakan!

13. Ketika mengulung dialog, saya jelaskan beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian jika isu ‘pembangunan dan alam sekitar’ hendak diselesaikan secara berhemah, bersepakat dan memenuhi objektif pembangunan lestari.

14. Kerajaan atau pihak berkuasa perlu menyediakan ‘pelan guna tanah negara dan wilayah’ yang berwawasan untuk jangka panjang. Pelan ini perlu telus mengandungi falsafah keseimbangan semua komponen penting seperti kawasan pemuliharaan, perusahaan dan pertanian, dan pertempatan.

15. Pelan ini juga perlu dihebahkan kepada semua warga, dan jika ada atas alasan yang kukuh, perlu ditambahbaik, haruslah mendapat maklum balas atau persetujuan semua pihak berkepentingan.

16. Saya juga memberikan cabaran kepada Ahli sains dan ilmuan tempatan yang seharusnya menjadi pemimpin kebijaksanaan masyarakat. Pelbagai penyelidikan dan dapatan sains tidak ada maknanya jika ia tidak disampaikan kepada atau difahami oleh masyarakat.

17. Mangapa kita perlu pulihara spesis haiwan atau tumbuhan? Apa salahnya sebahagian daripada hidupan pupus? Mengapa hutan itu warisan dan perlu dipulihara? Apakah semua hutan perlu dipulihara? Mengapa pembalakan yang tidak lestari boleh memusnah alam sekitar?

18. Ini adalah sebahagian daripada persoalan asas yang memerlukan jawapan yang meyakinkan. Dan jawapannya pula, perlu dikaitkan dengan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan komuniti tempatan atau sejagat.

19. Status pembangunan fizikal, kedudukan kekayaan negara dan tahap sosioekonomi masyarakat mempunyai kaitan yang erat dengan keupayaan sesebuah negara menjajar pembangunan dengan menjaga intigriti alam sekitar.

20. Pada tahap manakah status kesedaran masyarakat dan keberanian politik untuk memulihara alam sekitar daripada tekanan pembangunan yang kurang lestari?

21. Di sinilah terletaknya kelainan dasar pembangunan negara dan kecintaan masyarakat terhadap alam sekitar antara pelbagai negara dunia. Pastinya, ahli sains boleh membawa masyarakatnya berwawasan ke hadapan.

(Catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH awal tahun 2014)

IBK: 29 Mei 2015

Advertisements