Pembangunan Alam Sekitar Sabah

P1010287
Bandaraya Kota Kinabalu

 

1. Dialog Alam Sekitar Salah pada pertengahan 2014 dianjurkan oleh Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara merupakan siri perbincangan meja bulat ketiga mengenai ‘Alam Sekitar dan Pembangunan’.

2. Sebelum ini dialog yang sama telah dilaksanakan di Sarawak dan Johor. Kami berkerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjemput wakil ahli akademik, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membincangkan bagaimana mengimbangi keperluan pembangunan dan kepentingan memulihara alam sekitar.

3. Sebelum memulakan dialog kami telah mengundang beberapa orang pakar untuk menjelaskan kedudukan, pencapaian dan cabaran Sabah mengenai masa depan alam sekitar dan pembangunan atau rengkasnya Pembangunan Lestari.

4. Prof Felix Tongkul (UMS) telah menghuraikan apakah strategi dan pendekatan penyelidikan di UMS untuk menyelesaikan pelbagai isu mengenai pembangunan lestari. Beliau menjelaskan terdapat empat program penyelidikan utama iaitu akuakultur, kepelbagaian biologi dan budaya, pelancongan lestari, dan membasmi kemiskinan menjadi tumpuan universiti untuk menyumbang ke arah kelestarian Sabah.

5. Pembentangan oleh wakil Pengarah, Jabatan Mineral dan Geosains Sabah pula menjelaskan halatuju dan strategi baharu yang bakal diperkenalkan untuk mengeksploitasi sumber asli secara lestari bagi keperluan asas masyarakat dan menjana kekayaan negeri.

6. Mereka memberikan tumpuan kepada amalan baik pengurusan Kuari, memperkembangkan industri berasaskan tanah liat, memulakan usaha meneroka sumber air bawah tanah, dan memperkenalkan gagasan geowarisan dan geopelancongan.

7. Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Jamili Nais pula membentangkan pelbagai inisiatif organisasinya memulihara dan membangun warisan kepelbagaian biologi, landskap dan marin untuk memastikan khazanah alam tabii Sabah kekal terpelihara, sambil menjana kekayaan negeri dan kesejahteraan masyarakat.

8. Kawasan seperti Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker, Pulau Sipadan, Kawasan Volkano Tawau merupakan sebahagian daripada taman negara di bawah perlindungan Taman-Taman Sabah. Saya telah mengikuti program pemuliharaan, pendidikan dan penyelidikan yang dipelopori oleh agensi ini dan mendapati pengurusannya adalah yang terbaik di rantau ini dan seharusnya diteladani.

9. Prof Emeritus Abdul Latiff Mohamad dan Prof Tajuddin Abdullah mewakili Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, MPN menjelaskan status kepelbagaian flora dan fauna Sabah yang diketahui sebagai antara yang terkaya dan tertinggi keendemikannya di dunia.

10. Kehadiran Taman-Taman Sabah dan Yayasan Sabah sebagai khalifah pemuliharaan warisan tabii ini menjadikan Sabah sebagai ‘Duta Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi di Malaysia’.

11. Daripada perspektif pemuliharaan warisan tabii, walaupun Sabah agak terkehadapan berbanding negeri lain di Malaysia, ia masih berhadapan dengan pelbagai isu alam sekitar dan pembangunan.

12. Satu daripada isu yang sering dibangkitkan oleh masyarakat antarabangsa ialah perluasan kawasan pertanian kelapa sawit sehingga menjejas rangkaian perhutanan dan seterusnya menggugat habitat hidupan liar. Persepsi ini antaranya, didorong oleh kempen memburuk-burukkan industri minyak kelapa sawit atas asas persaingan perniagaan. Begitupun, negara dan negeri Sabah khususnya, perlu berfikiran positif dalam menangani tekanan antarabangsa ini.

13. Beberapa strategi dan menilaian semula pendekatan perancangan guna tanah perlu diberikan perhatian. Tindakan seperti memperkenalkan konsep mengekalkan peratusan hutan pemuliharaan, hutan pengeluaran (pertanian perhutanan) dan hutan koridor hidupan liar perlu diperjelaskan kepada masyarakat awam, termasuk komuniti antarabangsa.

14. Saya yakin dengan tindakan proaktif memperkenalkan projek penyelidikan jangka panjang pemuliharaan hidupan liar, dan menghebahkan statistik pencapai usaha pemuliharaan boleh mengubah persepsi negatif kepada positif jika dilakukan dengan jujur dan telus.

15. Ramai peserta dialog menyatakan sebahagian besar daripada persepsi negatif terhadap penjagaan alam sekitar tercetus disebabkan kurang maklumat dan interpretasi mengenai alam sekitar.

16. Dalam konteks ini, usaha pendidikan alam sekitar untuk masyarakat awam perlu terus dipertingkatkan. Laporan status alam sekitar, pelbagai pencapaian dan amalan baik dalam mengurus alam sekitar perlu dihebahkan kepada masyarakat, khususnya masyarakat tempatan.

17. Masyarakat dan komuniti merupakan duta alam sekitar negara, mereka seharusnya menjadi barisan hadapan pencinta alam sekitar dan benteng pertahanan serangan luar terhadap kesihatan alam sekitar kita.

18. Sabah bertindak bijak mengenalpasti industri pelancongan tabii (ekopelancongna) sebagai strategi terbaik untuk menjana ekonomi negeri sambil mengekalkan kepelbagaian warisan alam. Beberapa peserta menyatakan pandangan bahawa sebahagian daripada kawasan warisan alam terkemuka telah dibangunkan untuk menjayakan gagasan ekopelancongan secara eksklusif sehingga ia tidak lagi mampu dikunjungi oleh penduduk tempatan.

19. Kerajaan negeri perlu memberikan perhatian yang tinggi kepada perkara ini kerana dikhuatiri akan mengabaikan hak penduduk tempatan hanya untuk meraih keuntungan daripada pelancong antarabangsa.

20. Walaupun Sabah merupakan negeri terkehadapan dalam agenda pemuliharaan warisan alam berbanding negeri lain di Malaysia, perhatian yang tinggi perlu diberikan kepada perancangan guna tanah untuk masa hadapan.

21. Usaha pembangunan pesat industri pertanian kelapa sawit ketika ini perlu diberikan perhatian serius supaya ia tidak menjejas kesihatan alam sekitar, warisan tabii dan kesejahteraan komuniti tempatan.

22. Susungguhnya warisan dan keindahan alam merupakan khazanah sebenar Sabah yang menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia.

(Catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada pertengahan tahun 2014)

IBK: 30 Mei 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s