Pembangunan Alam Sekitar Johor

wikipedia
Gunung Panti, Johor

1. Forum Pembangunan dan Alam Sekitar Johor yang diadakan pada pertengahan tahun 2014 di UTM Sekudai telah memberikan maklumat penting mengenai status kesihatan alam sekitar. Ini merupakan siri kedua aktiviti ‘Profesor Turun Padang’ yang dianjurkan oleh Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara.

2. Forum ini telah dihadiri oleh ramai para profesor dari UMT dan sekitar 30 peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan, NGO Alam Sekitar dan ketua komuniti di negeri Johor.

3. Antara objektif forum ialah untuk mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan berkenaan cara terbaik untuk mengimbangi keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.

4. Pada masa yang sama, kami ingin menerapkan kesedaran kepada para profesor, iaitu golongan ilmuan yang boleh membantu dalam mengurangkan impak pembangunan terhadap kemerosotan kualiti alam sekitar.

5. Forum telah dimulakan dengan pembentangan ringkas oleh empat orang profesor yang mewakili Majlis Profesor Negara. Prof Zulfigar Mohd Yasin (UMT) mengingatkan peserta jangan abaikan ekosistem lautan. Lautan di Johor sangat istimewa kerana ia tempat pertembungan Lautan Pasifik dan India yang mempunyai keunikan kepelbagaian biologi lautan sebagai warisan unggul dan sumber makanan komuniti.

6. Prof Tajuddin Abdullah (Unimas) pula menjelaskan ketika beliau menjalankan kajian di hutan Johor 30 tahun lampau, masih banyak gajah, badak, seladang, harimau dan rusa berkeliaran di kawasan perhutanan. Kini sebahagian besar haiwan ini telah tidak dapat di kesan, mungkin telah mengalami kepupusan. Tanpa mereka, apakah ertinya hutan – warisan tamadun bangsa.

7. Prof Zulkifli Yusop (UTM) pula menegaskan ‘sungai menjadi ukuran ketamadunan bangsa’. Jika sungai tercemar, bangsa yang tinggal di lembangan sungai tersebut sebetulnya belum bertamadun.

8. Lihatlah sungai di Johor, dan di Malaysia umumnya, apakah kita boleh berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara bangsa bertamadun seperti Jepun dan Korea? Sementara Prof Ibrahim Ngah (UTM) pula menjelaskan tidak ada ertinya pembangunan yang pesat jika komuniti tempatan masih terpinggir, dan tidak wujud aspirasi pembangunan inklusif.

9. Kami berkesempatan diberikan penjelasan mengenai pembangunan Iskandar Malaysia. Perancangan yang rapi di bantu oleh pakar antarabangsa memastikan pembangunan mega ini sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

10. Mereka memberikan perhatian kepada perancangan pembangunan komprehensif iaitu idea pembangunan mesra alam, meliputi ekonomi hijau, komuniti hijau dan sekitaran hijau. Pada masa yang sama, pegawai Jabatan Perparitan dan Saliran turut melaporkan keadaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot melibatkan pencemaran sumgai dan lautan, banjir kilat, isu hakisan pantai dan perlupusan sisa pepejal haram.

11. Agensi pelaksana negeri masih berdepan dengan pelbagai masalah untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan alam sekitar. Antara cabaran utama yang dihadapi mereka ialah pembangunan yang sangat pesat dan kekurangan sumber manusia pakar.

12. Saya tertarik dengan beberapa pandangan ahli panel dan peserta forum mengenai trend pembangunan negara, khususnya di Johor. Pesepsi awam menunjukkan masih ramai warga belum menghayati kepentingan pemuliharaan ekosistem asli sebagai asas memberikan ‘perkhidmatan alam sekitar’ untuk kehidupan manusia.

13. Air dan udara bersih merupakan keperluan asas kelestarian masyarakat. Bagaimana agaknya komuniti berhadapan dengan pencemaran air berterusan sehingga ia menimbulkan krisis kekurangan bekalan air bersih atau wabak penyakit bawaan air? Dalam sekelip mata sahaja, ketamadunan manusia boleh musnah dan manusia boleh pupus, seperti dinosaur 65 juta tahun lampau.

14. Generasi muda pula terlalu taksub dan percaya bahawa teknologi boleh menyelesaikan semua masalah dunia. Betul kita sudah semakin maju dan pelbagai teknologi alam sekitar telah dicipta untuk menghindar atau mengurangkan krisis alam sekitar. Mereka mungkin kurang sedar, kecanggihan teknologi mempunyai had dan keupayaan tampungan ekosistem ada batasnya.

15. Apabila batasan ini dilampaui, perkhidmatan teknologi dan alam sekitar akan terjejas, dan kemerosotan kualiti kehidupan akan berterusan. Kita telah melihat pelbagai tanda yang jelas tetapi masyarakat masih dalam keadan tidak mempercayainya.

16. Pelbagai masalah alam sekitar telah dikaitkan dengan kepesatan pembangunan bandar. Isu pemotongan dan perataan tanah yang berleluasa telah menyebabkan hakisan tanah serius, perlodakan sungai, banjir kilat dan kehilangan habitat akuatik.

17. Ramai yang menyatakan bukan kepentingan pembangunan yang dipersoalkan, tetapi mereka terkilan kerana tiada tanggungjawab dan etika pemaju untuk menjaga alam sekitar selari dengan pembangunan. Kerana kelemahan kaedah memantau dan perundangan, agensi penguatkuasa kerajaan seakan tidak berupaya untuk membendung isu alam sekitar kritikal ini.

18. Pembangunan tidak sahaja telah memberikan impak kepada alam sekitar, tetapi turut menimbulkan pelbagai isu negatif kepada kesejahteraan masyarakat. Pencemaran telah menyebabkan punca pendapatan nelayan sungai dan pantai terjejas. Pembangunan juga telah menyebabkan kos hidup meningkat, dan harga rumah sudah tidak mampu dibeli oleh penduduk tempatan.

19. Kami yakin kerajan negeri Johor sedar tentang pelbagai isu alam sekitar yang dikaitkan dengan pembangunan pesat. Soalnya, bagaimana isu ini boleh diatasi dengan berkesan? Forum ini merupakan proses pencarian fakta oleh Majlis Profesor Negara bagi membolehkan kami turut membantu pelbagai pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu kritikal secara lestari dan jangka panjang.

(catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada pertengahan tahun 2014)

IBK: 31 Mei 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s