Geopark Gunung Kunlun China

Masyarakat Kunlun Geopark
Masyarakat Kunlun Geopark

1. Geopark Gunung Kunlun adalah geopark pertama terletak di bahagian barat China dan juga yang pertama berada di dataran tinggi melebihi 3000 meter di dunia. Dr Nikolaos Zouros dan saya yang mewakili UNESCO baharu sahaja selesai membuat penilaian lapangan untuk mengangkat geopark ini menjadi ahli Global Geoparks Network (GGN).

2. Geopark Global adalah status tertinggi yang diikhtiraf oleh UNESCO untuk sebuah wilayah yang beriltizam membangun secara lestari. Berada di ‘bumbung dunia’ merupakan pengalaman pertama kami yang penuh dengan keajaiban.

3. Sebelum ke Gunung Kunlun, kami telah diberikan nasihat untuk membuat persediaan mengenai fenomena ketinggian (elevation sickness) iaitu rasa loya, mudah penat dan pening kepala berterusan apabila berada pada ketinggian melebihi 3000 meter.

4. Ini disebabkan udaranya hanya mengandungi 60% oksigen berbanding di kawasan rendah. Syukur ke hadrat Allah, saya telah biasa mendaki Gunung Kinabalu (4100 m) dan pengalaman di pincak tertinggi Asia Tenggara memberikan persediaan untuk berhadapan dengan fenomena tanah tinggi.

5. Perjalanan ke bandar Golmud – bandar utama di dataran tinggi ini – melalui Beijing dan X’ian. Apabila melalui dataran tinggi Qinghai – Tibet, kami merasakan seolah-olah terbang pada ketinggian hanya beberapa ribu meter daripada permukaan.

6. Dataran yang seluas mata memandang kelihatan gersang dan pada beberapa jaluran muncul puncak pegunungan yang diselubungi dengan salji. Ketika menghampiri bandar Golmud, terjalma ladang Solar puluhan kilometer persegi luasnya, dikatakan yang terbesar di dunia.

7. Solar bakal menjadi sumber tenaga penting di masa hadapan. Ladang solar di Golmud boleh menghasilkan lebih 2000 Mw tenaga elektrik, menjadikan bandar terpencil ini pengamal ‘tenaga keterbaharuan’ utama di Asia.

8. Ramai yang tidak sedar, permukaan bumi bukan statik tetapi sebaliknya dinamik dan sentiasa mengalami perubahan. Oleh kerana perubahannya pada kadar yang perlahan – seperti pertumbuhan kuku kita – ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kejadian gempabumi akibat patahan blok batuan merupakan tanda permukaan batuan (litosfera) sentiasa mengalami pergerakan.

9. Sejak beberapa juta tahun lepas hingga ke saat ini, benua India bergerak ke arah utara melanggar dan menghempit benua Asia. Pergerakan ini bertanggungjawab menghasilkan dataran tinggi Qinghai – Tibet, iaitu banjaran pergunungan Himalaya dan Kunlun yang tertinggi dan terluas di dunia.

10. Di kawasan Geopark Gunung Kunlun, permukaan dataran berketinggian antara 3000 hingga 4500 meter, sementara puncak banjaran pergunungan melampaui ketinggian 6000 meter. Puncak tertinggi, Yuzhu yang diselubungi salji berketinggian 6178 m.

11. Ketika melakukan penilaian, kami hanya mampu mendaki di kaki banjaran Gunung Kunlun pada ketinggian 4767m – ia merupakan tempat tertinggi pernah saya daki!

12. Kepelbagaian warisan tabii dan budaya di kawasan geopark ini sememangnya mengkagumkan. Bukti mengenai proses hempitan dan pengangkatan permukaan bumi sangat ketara – gempabumi pada magnitud Ms 8.1 berlaku pada tahun 2001 mengakibatkan sesaran sepanjang 426 km menjadi ingatan kekuasaan bencana alam.

13. Kepelbagaian landskap, daripada pergunungan ditutupi salji, tanah gersang yang diselubungi oleh gumuk pasir, sungai berselirat dan ngarai (lembah bertebing curam) diukir oleh hakisan air – menghasilkan pemandangan yang indah dan menyegarkan.

14. Bukan sahaja kepelbagaian geologinya yang luar biasa, dataran ini juga menjadi tempat permainan (rayauan) hidupan liar istimewa yang menjadi daya tarikan pelancong. Semasa membuat lawatan ke Jade Pool, bahagian terbarat geopark ini, kami bertembung dengan beberapa kumpulan hidupan liar, antaranya ‘Tibetian antelope, Thorold’s deer, wild yak (Bos mutus), kiang (Equus kiang), snow leopard dan brown bear’.

15. Di dataran tinggi Kunlun juga menjadi tempat pertemuan pelbagai kaum pendatang sejak ribuan tahun lalu, ada yang masih hidup secara berpindah randah (normad), dan sebahagian daripadanya telah menetap secara kekal dan membina perkampungan masing-masing.

16. Komuniti Mongol dari utara, dan masyarakat Tibet dari selatan merupakan dua kumpulan utama yang tinggal di dataran tinggi ini. Di bandar Golmud pula, terdapat lebih 100,000 komuniti Hui (beragama Islam) menetap di sini. Mereka dipercayai pernah menetap di Asia Barat ketika zaman keagungan Islam dahulu. Kini masih mengamalkan tradisi dan budaya bangsa Arab.

17. Geopark Gunung Kunlun tidak sahaja mempamerkan keindahan landskap geologi, keunikan kepelbagaian biologi, tetapi memiliki keistimewaan pertembungan budaya tiga bangsa berbeza – Tibet, Mongol dan komuniti Islam Hui.

18. Walaupun ketiga-tiga budaya besar ini mempunyai tradisi yang berbeza, mereka boleh hidup bersama dan masih mengekalkan cara hidup masing-masing. Di pihak kerajaan pula, kami dapat merasakan mereka menyedari keunikan kepelbagaian budaya ini dan berusaha mencari formula keharmonian kaum mengikut acuan negaranya dan berteraskan konsep kelestarian.

19. Selepas melawat puluhan geopark di China, Jepun, Korea, Vietnam dan Indonesia – saya ingin yakinkan anda, geopark bukan sekadar keunikan warisan geologi – tetapi, keistimewaan geologi menjadi pencetus kepada kepelbagaian biologi dan budaya setempat.

20. Pengaruh geologi (tanah, batu-batan dan rupabumi) menjadi asas kepada kelainan sumber biologi, dan manusia yang tinggal di tempat tersebut, beradaptasi dengan keterbatasan sumber geologi dan biologi. Warisan tabii dan budaya tidak dapat dipisahkan, ia sering mempunyai kaitan antara satu sama lain.

21. Di Geopark Gunung Kunlun gabungan keistimewaan warisan tabii dan budaya begitu ketara – dataran tinggi dan pergunungan menjadi penentu kepada kehidupan dan aktiviti manusia. Sementara tradisi dan budaya berkembang berpandukan kepada ekosistem fizikal dan hidupannya.

22. Kini Geopark Gunlun telah diterima sebagai ahli Jaringan Global Geopark (GGN). Kunjungi dan belajarlah dari tempat yang menarik dan teristimewa ini.

(catatan ini telah diterbitkan dalam ruangan Kembara BH pada akhir tahun 2014)

IBK: 2 Jun 2015

Advertisements