Geopark Ciletuh, Indonesia

Amphitheater Ciletuh
Amphitheater Ciletuh

1. Kami sekeluarga bercadang untuk bercuti di Bandung sempena hujung tahun ini, tetapi sebaik sahaja rakan geopark di Indonesia mengetahui kedatangan kami, mereka terus mengatur lawatan tiga hari ke Geopark National Ciletuh di Jawa Barat.

2. Seperti di China dan Jepun, Indonesia juga membangunkan geopark kebangsaan sebagai strategi pembangunan lestari wilayah terpencil. Apabila sesebuah geopark telah membangun dengan baik, baharulah mereka cadangkan untuk diangkat menjadi UNESCO Global Geopark.

3. Kami sepatutnya mendarat di Bandung, memandangkan lampu landasan tidak menyala malam itu, destinasi kami telah diubah ke Bandara Jakarta. Supir (pemandu) yang menunggu di Bandung terpaksa bergegas ke Jakarta untuk menjemput kami.

4. Esok subuhnya, kami menaiki kenderaan empat roda untuk ke Geopark Celetuh. Perjalanan dari Jakarta ke Sukabumi mengambil masa lima jam, dan dari Sukabumi ke Pelabuhan Ratu pula mengambil masa tiga jam.

5. Ciletuh terletak di Kabupaten (daerah) Sukabumi, kami sempat minum petang dengan Bupati Sukabumi di Pelanuhan Ratu. Beliau merupakan pemimpin rakyat yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan wilayah Ciletuh sebagai geopark.

6. Petangnya, kami bertolak dari Pelabuhan Ratu ke Celetuh, mengikuti jalan berbukit dengan jaraknya sekitar 60 km. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tiga jam, tidak dapat diteruskan kerana terjebak dengan tanah runtuh (gelonsor), kami terpaksa berpatah balik ke Pelabuhan Ratu untuk bermalam di sana. Sememangnya pada ketika itu, hujan luar biasa sepanjang hari, dan kejadian banjir dan tanah luntuh lumrah berlaku.

7. Esok paginya kami bertolak semula ke Ciletuh dan sampai ke perkampungan tersebut sekitar jam 10 pagi. Komuniti Ciletuh telah meninggu sejak malam semalam dengan pelbagai persediaan. Kami terharu melihat kesungguhan penduduk di sini yang rata-rata petani, mahukan desanya dikenali sebagai geopark.

8. Pada pertemuan pertama dengan komuniti, saya maklumkan sudah tidak sabar untuk melihat keindahan Geopark Ciletuh, tetapi telah mengambil masa lebih 27 jam perjalanan dari Jakarta ke sini. Dalam dunia moden kini, kita boleh mengambil masa yang sama dari Kuala Lumpur ke London, dan terus ke New York untuk minum petang, dan kembali semula ke London. Jarak dari Jakarta ke Ciletuh cuma sekitar 250 km!

9. Geologi dan keindahan landskap Geopark Ciletuh semamangnya luar biasa. Dari desa Ciletuh kita boleh perhatikan satu lengkaran perbukitan sekitar 400m tinggi dan dengan diameter 15 km – ini merupakan satu landskap tabii yang unik. Landskap seperti ‘amphitheater’ ini terjadi disebabkan satu gelinciran tanah kuno yang sangat besar.

10. Di bahagian atas gelinciran terbentuk lingkaran tebing batuan yang curam, sementaranya di ekornya mengangkat campuran batu batan kerak bumi yang dikatakan mewakili batuan tertua pembentuk Pulau Jawa.

11. Di Geopark Ciletuh terdapat puluhan air terjun pelbagai saiz. Beberapa siri air terjun yang sangat indah terbentuk sepanjang Sungai Ciletuh yang memotong tebing curam, mengalir ke arah lautan melalui lembah yang dilingkari oleh perbukitan ini. Sepanjang lebih 30km tebing curam yang membentuk amphitheater, terdapat lebih banyak air terjun pelbagai bentuk dan ketinggian, sesetengahnya hanya mempunyai air ketika musim hujan.

12. Keindahan landskap Geopark Ciletuh tidak sahaja disebabkan oleh fenomena tabiinya, tetapi diserikan oleh landskap budaya. Sawah padi saujana mata memandang terhampar di dataran rendah, dataran tinggi dan sepanjang tebing perbukitan.

13. Keindahan sawah padi berteres pula setanding dengan apa yang terdapat di Bali. Malah apa yang menarik ialah mereka turut menanam padi bukit (huma) di bawah dusun kelapa. Komuniti di Ciletuh merupakan petani yang sangat rajin dan sentiasa berbangga dengan keindahan ladangnya.

14. Mesyarakat di sini telah membuat persediaan yang rapi untuk menjadi warga geopark yang aktif. Mereka telah merancang untuk menambah nilai produk pertanian dengan menggunakan jenama geopark.

15. Pertubuhan Wanita Desa telah mengenalpasti kerepek mangga Harum Manis sebagai produk khas geopark, sementara sekumpulan anak pemudanya pula telah mengusahakan produk gula daripada nira kelapa. Di desa yang lain, golongan wanita telah memulakan perusahaan batik secara koperasi bertema geopark yang menggunakan pewarna mesra alam.

16. Saya tidak meragui daerah Ciletuh sesuai untuk dijadikan geopark bertaraf national. Keistimewaan geologi, keindahan landskap dan persediaan komuniti setempat untuk membangunkan geopark telah cukup tersedia.

17. Masyarakat dari Pulau Jawa boleh berkunjung ke sini untuk menikmati keindahan alam sambil mempelajari peristiwa geologi yang telah mempengaruhi kehidupan dan tradisi masyarakat di bahagian selatan kabupaten Sukabumi.

18. Untuk mengangkat Geopark Ciletuh ke taraf global, sistem pengangkutan dari Jakarta atau Bandung perlu dipertingkatkan, dan prasarana kemudahan pelancongan sesuai untuk pelancong antarabangsa disediakan.

19. Membangun geopark bukan sekadar memulihara geowarisan, menyediakan peluang komuniti setempat meningkatkan pendapatan, tetapi lebih penting lagi, menyediakan prasarana perhubungan dan kemudahan terbaik untuk pelancong berkunjung ke daerah intimewa ini.

(catatan ini telah diterbitkan dalam ruangan Kembara BH pada awal tahun 2015)

IBK: 5 Jun 2015

Advertisements