Geopark San’in Kaigan Jepun

_DSC1096

1. Akhir tahun 2014, saya menyampaikan kertas dasar berjudul ‘Asia Pacific Geoparks: Tool for Regional Sustainable Development’ di Persidangan Antarabangsa Geopark yang dianjurkan oleh San’in Kaigan Geopark.

2. Persidangan ini diadakan di Yumura, sebuah pekan kecil terletak di pinggir pantai berhadapan dengan Laut Jepun. Geopark San’in Kaigan yang telah berusia empat tahun ini baharu sahaja dinilai semula oleh Jaringan Geopark Global UNESCO dan berjaya mendapat kad hijau.

3. Persidangan antarabangsa ini merupakan langkah persediaan awal mereka untuk menjadi tuan rumah ‘4th Asia Pacific Geoparks Symposium’ yang bakal diadakan pada September 2015 ini. Persidangan dwitahunan terbesar di Asia Pasifik lazimnya dihadiri oleh lebih 500 pengamal geopark di rantau ini.

4. Untuk ke Geopark San’in Geopark, kita perlu terbang ke Narita dan ke bandar Tottori. Jika terbang ke Kansai, kita perlu mengikuti jalan darat sama ada dengan bus atau keretapi selama lebih empat jam ke bandar Toyooka. Kedua-dua bandar, Tottori dan Toyooka merupakan pintu masuk, masing-masing dari barat dan timur geopark ini.

5. Belum ramai pelancong antarabangsa ke sini, dengan membangun geopark global San’in Kaigan, penduduk di sini mengharapkan lebih ramai pelancong asing berkunjung dan menghayati budaya, tradisi dan keindahan alam mereka.

6. Saya merasa kagum dengan budaya dan komitmen komuniti setempat setiap kali berkunjung ke Jepun. Di samping masyarakat yang kuat bekerja, mereka merupakan bangsa yang sangat mengutamakan kesepakatan bersama, berbangga dengan warisan budaya dan alam, serta sentiasa menghormati kecemerlangan.

7. Untuk menggerakkan pembangunan geopark, mereka mewujudkan kesepakatan yang tinggi antara semua pihak berkepentingan yang terlibat. Geopark telah membawa satu bentuk kerjasama baharu antara Datuk Bandar dan sesama pemimpin agensi pelaksana dan komuniti.

8. Kawasan Geopark San’in Kaigan berhadapan Laut Jepun dengan pantai berbatu sepanjang lebih 150 km. Di bahagian daratan, geopark ini berada di kawasan pergunungan berketinggian antara 500 hingga 1000 m. Lembah yang dihakis oleh sungai membentuk dataran rata merupakan pertempatan yang sesuai untuk penduduk.

9. Perkampungan dan pekan terletak di sepanjang lembah sempit di antara dua barisan pergunungan. Kebanyakan daripada penduduk di geopark ini berkerja sebagai nelayan, petani dan pengusaha hasil pertanian.

10. Orang Jepun memberikan perhatian yang tinggi kepada sumber dan persediaan makanan. Mereka memastikan negara mereka boleh membekalkan makanan asas seperti beras dan ikan secukupnya, tidak perlu membeli dari negara luar.

11. Apabila saya tanyakan, banyak manakah sumber ikan dihasilkan secara akuakultur? Mereka agak kebingungan, lantas menjawab, ‘semua ikan datangnya dari laut, cuma tiram dan rumpai laut sahaja dihasilkan secara akuakultur’.

12. Di geopark San’in Kaigan, tradisi tempatannya terserlah pada persembahan dan persediaan makanan. Bukan sahaja sumber makanannya yang segar dan berkualiti, tetapi teknik persediaan dan persembahan sangat unik dan indah.

13. Pada saat pertama, kami seakan tidak berani menyentuhnya kerana setiap satunya seperti sebuah kerja seni! Makanan mereka bukan sahaja dihidang indah, tetapi gabungan makanan, rasa dan cerita di sebalik makanan yang terhias rapi itu.

14. Mengetahui kami orang Islam, mereka berupaya menyediakan makanan hanya berasaskan hidupan laut dan sayur-sayuran secara luar biasa sekali. Mereka memberikan perhatian yang sangat tinggi mengenai keperluan makanan halal untuk kami.

15. Keindahan San’in Kaigan terserlah dengan gabungan pantai berbatu, perbukitan yang dihiasi oleh tumbuhan tabii dan pertanian, serta lembah sungai dengan jeram, air terjun dan aliran air yang jernih. Sepanjang persisiran pantai, hakisan ombak telah mengukir landskap teluk dan tanjung, tebing berbatu, gua dan tunggul laut yang menjadi ikon keindahan geopark ini.

16. Di kawasan perbukitan dan pergunungan pula, hutan tabii dan tumbuhan tempatan menjadi penyeri kepada landskap tabii di sini. Sementara di lereng bukit dan kawasan lembah, tanaman padi bukit dan sayur-sayuran disulami dengan perkampungan tradisi memberikan keunikan landskap budayanya.

17. Yumura pekan kecil tempat berlangsungnya persidangan dikenali oleh pelancongan tempatan kerana kehadiran mata air panas (onsen). Hotel tradisi tempat kami menginap menyediakan kolam mandian air panas di lantai bawah tanah untuk pengunjung yang sukakan ‘mandian Jepun’.

18. Kolam air panas lazimnya dihiasi dengan taman Jepun yang indah menjadikan tempat yang sesuai berihat dengan penuh ketenangan. Pekan ini juga mempunyai lokasi menarik untuk pelancongan air panas, antaranya tempat khas untuk merebus telor dan minum air panas asli.

19. Keindahan landskap dan budaya Jepun merupakan daya tarikan utama pelancong dalam dan luar negara. Ia berkait rapat dengan kepercayaan, sikap dan nilai masyarakat Jepun terhadap sumber asli dan tradisi yang dipercayai turun temurun.

20. Bagi kami yang melawat geopark San’in Kaigan, keunggulan komunitinya merupakan mutiara sebenar yang perlu dipulihara dan warisi untuk ketamadunan sejagat. Bilakah agaknya, masyarakat kita akan menyanjung warisan tabii yang menjadi asas kepada ketamadunan bangsa?

(catatan ini telah diterbitkan dalam BH akhir tahun 2014)

IBK: 7 Jun 2015

Advertisements