Gempabumi Kinabalu 5 Jun 2015, Sabah

Cerun Gunung Kinabalu selepas gempa bumi

1. Gempabumi yang berlaku di baratlaut Ranau pada 5 Jun 2015, jam 7.15 pagi bermagnitud 5.9 bukan suatu fenomena alam luar jangkaan. Sebelum ini beberapa gempabumi berskala sederhana berlaku di kawasan hampir sama, umpamanya pada tahun 1976 bermagnitud 6.2 (terbesar pernah direkodkan) dan pada tahun 1991 bermagnitud 5.1.

2. Soalnya, apakan kebanyakan masyarakat Malaysia mengetahui negeri Sabah berada dalam zon gempabumi berskala sederhana? Dan apakah impaknya kepada nyawa dan harta benda mereka?

3. Gempabumi kali ini luar biasa kerana epipusatnya berhampiran dengan Gunung Kinabalu dan berlaku pada 7.15 pagi. Tambahan pula, ini pertama kali gempabumi yang berpunca di bumi Malaysia menyebabka nyawa terkorban. Lapan belas orang terkorban, 8 rakyat Singapura, 7 rakyat Malaysia, dan masing-masing seorang dark Korea, China dan Jepun.

4. Secara peribadi, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam fenomena alam sangat luar biasa ini. Kehilangan mereka yang tersayang akibat bencana alam sememangnya sukar untuk dilupakan.

5. Gunung Kinabalu adalah gunung yang masih muda yang terbentuk daripada cerun batuan yang curam dan lampau curam. Dalam keadaan biasa (tanpa gegaran), batuan jatuh berlaku dari semasa ke semasa kerana kebanyakan cerunnya berkeadaan kurang stabil.

6. Mereka yang telah mendaki Gunung Kinabalu pastinya dapat melihat banyak kepingan batuan lepas dan longgokan bongkah di kawasan lereng landai menandakan ia bekas jatuhan batuan silam.

7. Kejadian berlaku pada jam 7.15 pagi adalah masa yang kritikal. Ketika itu, pendaki gunung baru sampai ke puncak dan setengahnya masih dalam perjalanan. Mereka mendaki tebing curam dari Panar Laban ke puncak sejak jam 3.00 pagi lagi.

8. Kebanyakan pendaki berada pada zon cerun curam yang kurang stabil. Gegaran gempabumi menyebabkan banyak lokasi runtuhan batuan dan mereka terperangkap pada zon sangat bahaya ini dan berserah kepada takdir.

9. Kebarangkalian untuk berlaku gempabumi di lokasi dan saat yang boleh mengundang bencana adalah sangat kecil, tetapi tetap boleh berlaku – itulah kelaziman fenomena bencana alam. Inilah peristiwa alam yang seharusnya menjadi pengajaran dan asas kepada usaha kita mengurangkan risiko bencana alam di masa akan datang.

10. Kejadian gempabumi di Gunung Kinabalu kali ini turut mengundang lebih daripada 50 gempabumi susulan yang bermagnitud lebih kecil (1.5 hingga 4.5). Ini adalah fenomena biasa berlaku selepas gempabumi bersekala besar.

11. Bergantung kepada saiz gempabumi, gegaran susulan boleh berlaku selama beberapa hari hingga beberapa bulan. Pakar geologi menggunakan maklumat gempabumi susulan sebagai rekod untuk menjelaskan cirian patahan kerak bumi (sesar aktif) untuk mentafsir penomena gempabumi utama.

12. Bagi masyarakat, gempabumi susulan penting kerana gegarannya akan menyebabkan lebih banyak berlakunya jatuhan batuan, dan kerosakan yang lebih besar kepada pertempatan mereka yang telah terganggu oleh gempabumi utama.

13. Tanpa pengetahuan mengenai bencana gempabumi, aktiviti gegaran susulan boleh menyebabkan lebih banyak kehilangan nyawa dan kecederaan. Inilah bentuk pendidikan awam untuk diperlukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan.

14. Pakar geobencana dan pegawai teknikal, khususnya yang bertugas di Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains mempunyai cukup maklumat saintifik mengenai fenomena gempabumi di negara kita. Soalnya, apakah maklumat ini telah disalurkan untuk meningkatkan kesedaran awam dan digunakan untuk mengurus usaha mengurangkan risiko bencana alam?

15. Apabila YAB Timbalan Perdana Menteri menyarankan diwujudkan sebuah Pusat Bencana Negara, maksud beliau pastinya, sebuah pusat yang boleh respons dengan usaha menterjemah maklumat bencana untuk kesedaran awam dan pengurangan risiko bencana secara berterusan.

16. Walaupun telah menjalankan peranan dengan cemerlang ketika berlaku bencana, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dapat melakukan peranan ini kerana mereka mempunyai peranan yang lebih luas dan kekurangan sokongan pakar dan teknikal.

17. Saya cadangkan Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) yang berada di UKM diberikan mandat ini. Pusat ini telah diwujudkan oleh UKM sajak tahun 2009 berobjektif meneliti dan memberikan respons polisi mengenai bencana alam dan pengurangan risiko bencana secara terintegrasi.

18. Malaysia perlu melihat bencana daripada perspektif Asia Tenggara dan impaknya kepada negara kita. Sebahagian besar bencana alam berskala besar berpunca dari negara jiran. SEADPRI adalah rakan kongsi pintar MKN dalam menyelesaikan isu bencana alam negara, khususnya membekalkan maklumat dasar dan teknikal.

19. Masanya telah tiba bagi kerajaan memberikan perhatian serius untuk menangani isu bencana alam secara holistik, khususnya risiko bencana berasaskan geologi (gempabumi dan tanah runtuh) dan bencana berasakan iklim (banjir dan ribut taufan).
(catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada 9 Jun 2015)

IBK 9 Jun 2015

Advertisements