Geopark Gunungsewu, Indonesia

Landskap Kars Gunungsewu
Landskap Kars Gunungsewu

1. Konsep Geopark yang diperkenalkan oleh UNESCO lebih 10 tahun lepas berjaya mencuit hati ramai warga dunia. Pada masa ini terdapat 110 geopark global di 32 buah negara, dan banyak lagi sedang menunggu untuk mendapatkan status kualiti global ini.

2. Indonesia telah mengenalpasti lebih 10 wilayah untuk dijadikan geopark global dan kini sedang berkerja keras untuk membangunkannya. Pada tahun 2013, mereka telah berjaya mendapatkan pengikhtirafan pertama iaitu Geopark Batur di Pulau Bali.

3. Pada tahun 2014 mereka telah mencadangkan Geopark Jambi di Sumatera dan Geopark Gunungsewu di Jawa pula. Jambi gagal melepasi piawai yang ditetapkan oleh UNESCO, manakala Gunungsewu perlu melakukan penambahbaikan untuk pertimbangan 2015.

4. Penilai UNESCO untuk Geopark Gunungsewu ialah Dr. Kristin Rangnes pakar dari Norway. Sebelum itu, saya selaku Penyelaras, Jaringan Geopark Asia Pasifik (APGN) telah diundang untuk membuat penilaian awal sebagai langkah persediaan berhadapan dengan dengan penilaian sebenar.

5. Gunungsewu merupakan dataran tinggi berlandskap kars yang unik menganjur dari timur ke barat, dari Kabupaten Gunungkidul (Daerah Istimewa Yogyakarta) hingga ke Kabupaten Wonogiri (Jawa Tengah) dan Kabupaten Pacitan (Jawa Tengah).

6. Dataran kars berketinggian sekitar 400 meter dari paras laut terluas di Asia Tenggara membentuk ribuan puncak bukit berbentuk seperti tempurung. Sewu dalam bahasa Jawa bermakna seribu mengambarkan betapa banyaknya puncak bukit berbentuk tempurung itu.

7. Dataran Gunungsewu terbentuk daripada batu kapur yang diukir oleh proses kars tropika. Batuan yang mudah larut ini – seperti batu kapur kars di Kilim Langkawi – mengalami perlarutan sehingga membentuk ribuan puncak bukit berbentuk tempurung.

8. Di bawahnya terdapat jaringan ribuan kilometer panjang gua yang berorientasi menegak dan mendatar dan tertabur secara meluas. Sistem sungainya mengalir di bawah tanah, menjadikan permukaan buminya kontang dan kekurangan air.

9. Kawasan kars Gunungsewu merupakan daerah termiskin di Pulau Jawa kerana keadaan topografi berbukitan dan permukaan bumi yang tidak boleh menampung air. Dalam keadaan begini, ubi kayu di tanam secara meluas dan menjadi sumber makanan utama penduduk tempatan.

10. Di kawasan puncak bukit, mereka menanam kayu jati sebagai komoditi yang boleh dijual sekiranya berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan wang tunai. Pokok kayu jati adalah seperti kerbau bagi masyarakat Melayu – harta yang boleh ditukar kepada wang sekiranya diperlukan.

11. Komuniti di sini mengharapkan wilayah Gunungsewu berjaya diangkat menjadi geopark global kerana mereka percaya status geopark bakal mengubah nasib wilayah ini menjadi tempat pembangunan geopelancongan terkenal di Indonesia.

12. Status geopark global juga bakal memastikan landskap kars bernilai warisan mampu dipulihara dan dibangunkan sebagai produk pelancongan yang boleh mendatangkan hasil lumayan kepada penduduk tempatan.

13. Gua Pindul merupakan satu daripada puluhan sungai bawah tanah yang telah dibangunkan sebagai tapak geopelancongan (ekowisata). Anak muda di kawasan tersebut sepakat untuk membangunkan rekreasi berboya menghilir sungai bawah tanah ini.

14. Mereka dilatih menjadi pemandu pelancong untuk menjaga keselamatan pelancong sambil menceritakan keunikan landskap kars dan proses pembentukan sungai bawah tanah. Kini Gua Pindul tidak sahaja menjadi daya tarikan pelancong dari seluruh pelusuk negara, tetapi turut menjadi destinasi pelancong antarabangsa.

15. Gua Gong dan Gua Tabuhan di wilayah Pacitan pula telah dibangunkan untuk pelancong menikmati keindahan binaan gua seperti stalaktit, stalakmit, tiang dan tirai batu kapur. Keanehan ruang dan binaan dalaman gua tidak sahaja menjadi daya tarikan pelancong tetapi mempunyai cerita sejarah dan mitos.

16. Masyarakat di sini percaya hubungan erat antara manusia dan alam perlu dikekalkan. Membangun pelancongan Gua tidak sahaja membawa ramai pengunjung ke daerah pendalaman, tetapi membolehkan komuniti setempat menjual makanan istimewa tempatan sambil meningkatkan pendapatan keluarga.

17. Di daerah Wonogiri, sebuah muzium kars Gunungsewu dibina bagi menyediakan kemudahan pelancong mempelajari aspek warisan, budaya dan tradisi masyarakat yang berkait rapat dengan landskap kars. Muzium ini juga memberikan maklumat penting mengenai sains proses alam dan mengapa keistimewaan kars Gunungsewu perlu disampaikan kepada pelancong.

18. Geopark tidak sahaja menggalakkan pembangunan wilayah secara lestari tetapi turut menekankan aspek pendidikan awam melalui konsep pelancongan berasaskan ilmu. Pelancong mendapat maklumat mengenai evolusi landskap kars serta hubungannya dengan tradisi tempatan.

19. Di sepanjang pantai selatan, kars Gunungsewu bertemu lautan India membentuk pantai berpandangan indah. Tebing-tebing curam membentuk pelbagai landskap pantai seperti tanjung berbatu, teluk dan pantai berpasir menjadikan pesisir pantainya sesuai untuk destinasi pelancongan dan aktiviti rekreasi.

20. Kini landskap pantai telah menjadi daya tarikan utama pelancong tempatan. Jika menjadi geopark global, potensi pantai sebagai destinasi pelancong antarabangsa akan lebih menyerlah.

21. Konsep geopark telah mendapat perhatian agensi pelancongan Indonesia dan komuniti setempat daerah yang mempunyai tapak geowarisan unggul. Seperti negara China dan Jepun, Indonesia amat proaktif membangun geowarisan sebagai produk pelancongan berasaskan ilmu dan rekreasi.

22. Mereka percaya masa depan wilayah pendalaman yang masih mundur dan bergelut dengan kemiskinan boleh dimajukan melalui pembangunan geopark. Beginilah iltizam masyarakat bertamadun menghargai warisannya.

(catatan ini telah diterbitkan dalam ruangan Kembara BH akhir tahun 2014)

IBK: 11 Jun 2015

Advertisements