Menghayati Maksud Kebangsaan

The birth of a nation (thestar.com.my)

1. Ketika berusia 5 tahun, saya berbaris bersama rakan yang telah bersekolah sepanjang jalan utama Muar ke Segamat, menunggu pemimpin negara melalui pekan Jementah, tempat saya dilahirkan.

2. Ingatan peristiwa tersebut masih segar, tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu seolah-olah satu pesta besar untuk rakyat di Tanah Melayu. Apa erti kemerdekan masih kurang jelas bagi kami ketika itu yang berbaris sambil melambai-lambaikan bendera kebangsaan.

3. Sejak itu, istilah kemerdekaan dan kebangsaan merupakan konsep yang sering dilaungkan oleh pelbagai pihak, khususnya pemimpin politik dan kerajaan yang memerentah menyeru rakyat memupuk semangat kebangsaan serta menanam rasa cintakan negara.

4. Kerajaan mula memperkenalkan konsep kebangsaan melalui Bahasa Kebangsaan. Sewajarnya, Bahasa Melayu, bahasa majoriti dan bahasa penduduk peribumi di angkat menjadi Bahasa Kebangsaan.

5. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diwujudkan, minggu dan bulan bahasa diperkenalkan untuk meningkatkan kesedaran peri pentingnya rakyat negara ini mengamalkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan bangsa.

6. Cogan kata berbunyi ‘bahasa jiwa bangsa’ dilaungkan untuk meyakinkan rakyat berbagai bangsa, jika kita berhasrat membentuk negara bangsa yang bersatu dan membina semangat kebangsaan, bahasa yang satu inilah menjadi tali pengikatnya.

7. Strategi penting untuk membina negara bangsa yang bersatu ialah dengan memperkenalkan sistem pendidikan sekolah berasaskan Bahasa Kebangsaan. Hasilnya, sekolah rendah dan menengah kebangsaan diperkenalkan. Sekolah kebangsaan telah berkembang pesat dan kini boleh dibanggakan pencapaiannya.

8. Ramai rakyat berbangsa Cina dan India turut belajar di sekolah kebangsaan. Sebahagian besar daripada pemimpin dan pentadbir negara serta cerdik pandai yang terdapat di kebanyakan universiti awam dan agensi awam adalah mereka yang terdidik dari sekolah kebangsaan ini.

9. Agenda kebangsaan turut diperkenalkan melalui budaya kebangsaan. Budaya Melayu dijadikan asas pembentukan budaya kebangsaan dan amalan bangsa lain yang bersesuaian boleh diserapkan untuk memperkayakan lagi budaya kebangsaan yang diinginkan.

10. Mengkebangsaankan budaya nampaknya kurang berjaya kerana perlembagaan negara masih mengizinkan bangsa lain mengamalkan budaya dan agama masing-masing. Sehingga hari ini, budaya Melayu, Cina dan India serta pelbagai budaya peribumi di Sabah dan Sarawak masih berkembang megar.

11. Konsep kesatuan dalam kepelbagaian budaya dilihat sebagai keunikan dan keistimewaan bangsa Malaysia. ‘Malaysia truly Asia’ telah dijadikan slogan kebanggaan negara untuk menarik pelancong datang melawat Malaysia.

12. Kemuncak kepada kejayaan memperkenalkan konsep kebangsaan ialah pewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai lambang keupayaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi.

13. Sejak kebelakangan ini, rakyat pelbagai bangsa sangat berminat untuk belajar di UKM, dan lebih penting lagi, universiti kebangsaan ini mampu meningkatkan kecemerlangan akademiknya sehingga di angkat menjadi universiti unggul bertaraf universiti penyelidikan. Kini UKM tidak sahaja menjadi lambang kebanggaan rakyat, tapi turut menjadi sumber rujukan negara untuk pelbagai bidang ilmu.

14. Tidak semua negara mempunyai universiti kebangsaan. Amerika Syarikat, negara di Eropah dan Jepun umpamanya, tiada universiti kebangsaan. Universiti di sana muncul kerana tuntutan pengajian tinggi dan keperluan meneroka ilmu dalam bidang-bidang sektoral. Di negara kita, Australia, Korea Selatan dan Taiwan – tuntutan masyarakat untuk membina negara bangsa yang bersatu dan berwawasan mendorong kepada penubuhan universiti kebangsaan.

15. UKM umpamanya ditubuhkan atas desakan rakyat, khususnya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sambil memberi peluang lebih ramai anak muda dari kalangan komuniti luar bandar menjejakkan kakinya di menara gading.

16. Apa erti kebangsaan? Ia merupakan lambang kesatuan masyarakat dalam sebuah negara bangsa. Bahasa, budaya dan institusi ilmu kebangsaan seharusnya menjadi jiwa dan raga yang menyuburkan inspirasi dan iltizam seluruh rakyatnya.

17. Sementara kita menghargai kepelbagaian, semua rakyat perlu yakin, sebuah negara bangsa perlu mempunyai hanya satu bahasa kebangsaan, satu budaya kebangsaan dan satu universiti kebangsaan.

18. Hari ini UKM genap berusia 45 tahun dan dilihat sebagai sebuah institusi ilmu yang telah diwasa. UKM mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membina negara dan masyarakatnya berasaskan semangat dan erti kebangsaan sebenar.

19. Disamping memperkukuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, ia perlu memimpin masyarakat ke arah pembangunan, menatang imej kecemerlangan ilmu dan mewakili bangsanya ke arena global. Pada prinsipnya, komuniti akademik di UKM perlu berfikiran global, tetapi bertindak lokal!

20. Universiti kebangsaan juga perlu menjadi pelopor halatuju pembangunan bangsa Malaysia. Di samping memajukan ilmu dalam bidang sains dan teknologi, persoalan masyarakat, membina tamadun bangsa dan isu kemiskinan komuniti terpinggir perlu diperjuangkan bersama.

21. Oleh itu tujahan penyelidikan untuk mendokong gagasan pembinaan negara bangsa amat penting dan perlu diberikan keutamaan. UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan turut menjadi peneraju penyelidikan sains sosial sejak awal tahun 1970an lagi, dan kini sering dirujuk untuk kepentingan negara!

22. Kebangsaan ialah semangat cintakan keamanan dan perpaduan untuk sebuah negara bangsa yang merdeka. Ia tidak mengabaikan pegangan kepelbagaian agama, kepercayaan dan budaya warganya. Warga pelbagai bangsa perlu menghormati kelainan antara satu sama lain.

23. Kebangsaan hanya menuntut iltizam untuk bersatu, menghargai keupayaan bangsa dan negaranya. Jadilah rakyat Malaysia yang sentiasa menyintai bangsanya dan memupuk semangat kebangsaannya.

IBK: 12 Jun 2015

Advertisements