Geopark Villuercas-Ibores-Jara, Spanyol

Sebuah geotapak di Geopark Villuercas-Ibores-Jara
Sebuah geotapak di Geopark Villuercas-Ibores-Jara

1. Saya berkesempatan melawat sebuah daerah terpencil di Spanyol yang dipanggil Extremadura. Ke sana saya mewakili UNESCO untuk menilai sebuah geopark yang dinamakan Villuercas-Ibores-Jara, untuk diangkat menjadi ahli baru Global Geoparks Network.

2. Ini merupakan pertama kali seorang warga Asia dijemput untuk menilai sebuah geopark di Eropah! Pengalaman ini sangat sangat manis bagi saya kerana bukan mudah untuk memecahkan tembuk dominasi Barat dalam konteks pengikhtirafan ilmu.

3. Geopark merupakan gagasan baru pembangunan lestari wilayah yang memberikan tumpuan kepada idea mengimbangi keperluan pemuliharaan warisan, pendidikan awam dan pemajuan sosio-ekonomi komuniti tempatan.

4. Pembangunan geopark di Eropah telah bermula sejak tahun 2000 apabila empat buah geopark di Prancis, Jerman, Ireland dan Greek diperkenalkan sebagai geopak pengasas di dunia. Kini Eropah memiliki lebih 50 global geopark yang tersebar di hampir di semua Kesatuan Eropah.

5. Saya sempat singgah di Cordoba sebelum ke Caceres, bandar pentadbiran yang memajukan Geopark Villuercas. Di Cordoba terletak masjid terawal dan paling indah di bina oleh kerajaan Islam yang pernah memerentah Spanyol lebih 700 tahun lamanya.

6. Kini bangunan masjid ini telah dijadikan museum dan tapak lawatan utama para pelancong yang menziarahi bandar tersebut. Bagi pengunjung beragama Islam, kita akan merasa sayu dan terkilan apabila berada di dalam masjid ini. Walaupun keagungan Islam masih terserlah, masjid ini telah bertukar fungsi menjadi gereja sebelum dijadikan museum.

7. Caceres bandar bersaiz sederhana di Spanyol, terdiri daripada kota lama ditengahnya dan bandar moden di sekitarnya. Kota lama yang masih bertembuk merupakan Tapak Warisan Dunia, terpelihara seperti dalam keadaan asalnya.

8. Yang menakjubkan bagi saya, bangunan terbesar dalam kota lama ini ialah masjid yang juga telah diubah menjadi gereja dan kini menjadi pusat pameran sejarah. Spanyol sememangnya tapak ketamadunan awal perkembangan agama Islam di dunia yang kini hanya menjadi lipatan sejarah.

9. Di Guadalupe, bandar utama di dalam Geopark Villuercas, saya dibawa melawat ke sebuah monasteri terkenal. Monasteri Guadalupe sangat penting bagi penganut Katolik. Setiap tahun, ratusan ribu penganut agama ini dari seluruh pelusuk dunia, khususnya dari Latin Amerika, menziarah monasteri ini.

10. Lawatan saya dipandu oleh padri besarnya, dan khazanah terpenting dalam monasteri ini ialah ‘Virgin Mary’. Apabila saya tanyakan kepada padri itu, mengapa kulit Mary berwarna gelap? Beliau menjawab, mungkin sahaja Mary berketurunan arab!

11. Spanyol tidak dapat berselindung daripada pengaruh bangsa arab dan islam. Dalam perlakuan, budaya, tradisi dan cara hidup harian percampuran antara cirian Eropah dan Timur Tengah sangat menyerlah. Apabila saya tanyakan kepada rakan yang mengiringi lawatan ini mengenai asal usul orang Spanyol, secara terus terang mereka menyatakan, ‘mungkin 50% dalam diri kami adalah arab’.

12. Suatu yang sangat mengkagumkan ketika saya menbuat penilaian ini ialah semangat, kebanggaan dan kecintaan komuniti tempatan terhadap geopark yang sedang dibangunkan. Pemimpin dan komuniti tempatan begitu gairah membangun pelbagai projek dan bersiap sedia mempersembahkan pencapaiannya kepada kami.

13. Kebanyakan projek ialah usaha komuniti tempatan dan dibiaya oleh kerajaan tempatan. Kerja sama dan keakraban antara komuniti dan kerajaan adalah suatu yang sangat saya kagumi dan harus kita pelajari.

14. Terdapat 17 bandar bersaiz kecil hingga sederhana di dalam kawasan Geopark Villuercas. Jumlah penduduk setiap pertempatan ini berkisar antara 500 hingga 10,000 orang, setiap satunya dipimpin oleh Datuk Bandar (Mayor) dan mereka dipilih oleh komunitinya.

15. Ketika membentangkan projek geopark, Datuk Bandar sendiri turun padang dan pengetuai komunitinya untuk mempamerkan perancangan projek masing-masing. Kepercayanan, keyakinan dan harapan setiap pimimpin dan komuniti terhadap pewujudan geopark sangat menakjubkan dan diluar dugaan saya.

16. Komuniti dari beberapa bandar berkerja sama, mereka mewujudkan kesatuan perniagaan dan pelancongan yang dinamakan GeoVilluercas untuk membangun pelbagai produk geopelancongan. Sebagai komuniti tempatan, mereka telah bersedia untuk menyambut pelancong yang bakal berkunjung ke geopark mereka.

17. Di setiap sekolah, guru dan pelajar diperkenalkan dengan konsep geopark. Ada guru yang dilatih bertanggungjawab membangun projek geopark di sekolah masing-masing. Pelajar diperkenalkan dengan konsep ‘keunikan landskap’ di daerahnya, dan bagaimana rupabumi dan batu-batan mempunyai hubungan yang erat dengan pertanian, budaya dan sejarah pembangunan kawasan pertempatan mereka.

18. Berasaskan geopark, kanak-kanak diasuh untuk mengenali dan menyintai bumi tempat dipijak dan langit tempat dijunjung. Inilah pendekatan terbaik untuk memupuk semangat nilai bersama sesebuah wilayah.

19. Ketika di sana, saya teringat bagaimana kita membangunkan Langkawi Geopark beberapa tahun lampau. Walaupun Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) begitu gairah memperkenalkan konsep geopark kepada semua pihak berkepentingan, sambutan sebahagian komuniti Langkawi amat dingin sekali.

20. Ramai yang menganggap geopark hanya merupakan satu lagi jenama baru untuk menarik pelancong. Hingga kini, masih ada komuniti Langkawi yang masih bertanya ‘apakah yang dapat disumbangkan oleh geopark kepada kami’, dan enggan melihat peluang dan tanggungjawab mereka kepada gagasan pembangunan geopark di daerahnya.

21. Begini agaknya perbezaan ketara antara komuniti yang bertamadun, menyintai tanah tumpah darahnya, dan sentiasa peka dan mahu turut menyumbang kepada pembangunan untuk faedah ramai.

22. Bangsa Malaysia masih dipersempangan jalan. Sebahagian besar komuniti kita masih menunggu durian runtuh, mengharap kerajaan memenuhi semua keperluan mereka, dan yang lebih menyedihkan jarang berterima kasih terhadap kemakmuran dan kestabilan yang dikecapi selama ini.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan oleh BH pada tahun 2011)

IBK 14 Jun 2015.

Advertisements