Geopark Tianzhushan, China

Sebahagian daripada geotrail pergunungan Tianzhushan
Sebahagian daripada geotrail pergunungan Tianzhushan

1. China memiliki lebih 30 geopark global iaitu hampir satu pertiga daripada keseluruhan geopark yang terdapat di dunia. Apabila konsep geopark diperkenalkan oleh UNESCO pada awal tahun 2000, negara itu telah dapat membayangkan, inilah pendekatan yang terbaik untuk membangun wilayah terpencil di negaranya secara lestari.

2. Kementerian Tanah dan Sumber (MLR) China telah diberikan mandat untuk menterjemahkan konsep geopark untuk digunapakai di seluruh negara. Kementerian ini telah mengenalpasti lebih 300 wilayah terpencil sesuai untuk dibangunkan berasaskan konsep geopark.

3. Ketika memulakan penulisan catatan ini, saya masih berada di bandar Hefei, Provinsi Anhui, China di hari terakhir menjalankan misi penilaian bagi pihak UNESCO untuk mengangkat Geopark Tianzhushan menjadi ahli Global Geoparks Network (GGN).

4. Ini bakal menjadi geopark kedua daripada provinsi Anhui yang cuba diperkenalkan oleh China untuk bersama -sama 30 geopark yang lain sebagai geopark global. Wilayah pertamanya ialah Huangshan merupakan geopark terawal di angkat menjadi global geopark iaitu pada tahun 2004, dan secara kebetulan turut dinilai oleh saya bersama Pengarah, UNESCO Earth Science Division, Dr Wolfgang Eder.

5. Mereka telah menjadikan Tianzhushan geopark bertaraf kebangsaan bermula tahun 2005 lagi. Sejak itu, kerajaannya telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membangun geopark di daerah terpencil ini.

6. Peruntukan disediakan untuk membina prasarana dan meningkatkan keupayaan penduduk setempat menghadapi pembangunan. Kerana persaingan dalam negara yang tinggi, Tianzhushan perlu menunggu lebih 5 tahun sebelum terpilih untuk dicalonkan sebagai geopark bertaraf global.

7. Ketika konsep geopark dikembangkan di Europah, mereka mengingatkan warga dunia, geopark perlu memberikan perhatian kepada kepentingan ‘penglibatan komuniti setempat’. Jika komuniti tidak mengambil bahagian dan tidak mendapat faedah daripadanya, pembangunan geopark tidak mungkin berjaya.

8. Selepas beberapa kali menilai geopark di China, saya baru faham mengapa mereka mendapati konsep ‘penglibatan komuniti’ suatu yang tidak perlu digembar-gemburkan! Mereka membangun geopark bukan sekadar untuk komuniti, tetapi ‘bersama komuniti’.

9. Geopark dibangunkan untuk memajukan komuniti di kawasan pendalaman yang serba kekurangan. Pembangunan komuniti setempat merupakan pra-syarat untuk membangun geopark, dan bukannya sekadar geopark untuk masyarakat.

10. Saya dapati di China, pewujudan geopark merupakan dasar pembangunan luar bandar untuk membasmi kemiskinan, sama seperti pada tahun 1960an, Malaysia memperkenalkan FELDA sebagai pendekatan pembangunan pertanian untuk rakyat termiskin!

11. Mereka mendapati, keindahan alam tabii dan keunikan warisan geologi boleh dijadikan alat pembangunan kumuniti terpinggir menerusi aktiviti pelancongan dan’pembangunan sumber tanpa musnah’.

12. Program memperkukuh keupayaan komuniti tempatan dan prasarana menjadi asas pembangunan sebelum mereka mampu mengambil peluang memajukan geopark masing-masing.

13. Di luar China, apabila idea geopark diperkenalkan kepada komuniti tempatan, tumpuan diberikan kepada menjelaskan bagaimana komuniti boleh mendapat faedah menerusi peluang pembangunan pelancongan. Di China, tumpuan yang berlebihan diberikan kepada pentingnya ‘menyintai dan memelihara warisan geologi’ yang unik di tempat mereka.

14. Apabila saya tanyakan, mengapa pendekatan begini yang mereka ambil, jawapan seorang pengurus geopark, ‘masyarakat di China memang pandai mencari peluang meningkatkan ekonomi daripada sumber tersedia, tetapi lazimnya sukar menghayati kepentingan memelihara warisan untuk faedah jangka panjang’.

15. Dalam konteks ini, pembangunan geopark di China memberikan tumpuan, secara falsafah dan praktis, kepentingan mengimbangi keperluan memulihara sumber warisan sambil meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan komuniti tempatan. Inilah erti sebenar pembangunan lestari.

16. Menjayakan pembangunan geopark di suatu wilayah memerlukan iltizam yang tinggi. Semua pihak berkepentingan – pemimpin, pegawai kerajaan, perniaga dan komuniti perlu mempunyai nilai sepunya yang jelas dan bersedia untuk berkerjasama bagi menjayakan gagasan geopark.

17. Di Malaysia, khususnya di Langkawi Global Geopark, keinginan membawa semua pihak berkepentingan berkerjasama untuk menjayakan aktiviti geopark bukan satu usaha yang mudah. Pendekatan dan set minda sektoral pelbagai agensi pelaksana lazimnya menjadi penghalang utama untuk menggalak kerjasama pelbagai pihak berjalan seperti yang diharapkan.

18. Di China, pendekatan program ‘atas-bawah’ (top down) – dari pemerentahan pusat, ke provinsi dan ke komuniti – kelihatan berjalan lancar. Komuniti begitu akur and menghargai misi provinsi, dan pemerentahan provinisi pula seperti cukup menghayati harapan pemimpin pusat!

19. Ini mungkin agaknya rahsia kejayaan China di abad ke-21 ini yang menjadi kekaguman seluruh warga dunia.

20. Pada Julai 2011, dua orang pakar dari UNESCO telah ke Geopark Langkawi bagi membuat penilaian semula apakah Langkawi layak diteruskan menjadi ahli GGN untuk 4 tahun lagi. Saya sempat menemani mereka ketika melakukan penilaian tersebut. Langkawi berjaya mendapat kad hijau, dan akan dinilai semula pada tahun ini.

21. Ketika itu, pihak LADA bersama rakan kongsinya iaitu penyelidik dari UKM bertungkus lumus menjelaskan kemajuan yang telah dicapai, terutamanya aspek pemuliharaan warisan, aktiviti pendidikan awam dan geopelancongan serta faedah untuk komuniti Langkawi.

22. Saya dapat perhatikan konsep geopark mulai diterima oleh pelbagai pihak berkepentingan sebagai pendekatan terbaik untuk membangun Langkawi secara lestari. Konsep ‘pengurusan bersama’ telah mula dihayati. Marilah kita berdoa, Geopark Langkawi akan mendapat kad hijau kali kedua pada tahun ini.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan oleh BH pada tahun 2015).

IBK: 16 Jun 2015

Advertisements