Dunia Yang Syumul

DSCN0463b
Tanah Runtuh di Hulu Kelang, Selangor/ 2002

1. Apabila bencana alam berlaku, tanah runtuh umpamanya, banyak pihak perlu terlibat secara bersama. Polis dan pasukan keselamatan adalah kumpulan pertama bergegas ke tempat kejadian, mereka akan berusaha menyelamat mangsa dan mengawal keselamatan awam.

2. Mangsa perlu dikejarkan ke hospital dan menerima rawatan doktor. Ada mangsa berada dalam keadaan truma dan memerlukan khidmat psikologis. Ahli geologi akan menyiasat punca runtuhan dan keadaan kestabilan tapak.

3. Ahli politik datang menunjukkan sempati dan menghulurkan bantuan. Pihak akhbar pula mengumpul maklumat untuk dijadikan bahan berita. Pihak Berkuasa Tempatan perlu menilai situasi kemusnahan untuk tindakan susulan. Sanak saudara dan sahabat handai tampil menghulur bantuan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa.

4. Akhirnya, jurutera tampil untuk menstabilkan cerun supaya hidupan harian dapat diteruskan. Ada kalanya mahkamah dan hakim terlibat untuk menentukan pihak mana yang bersalah dan perlu dipertanggungjawabkan.

5. Begitulah kompleksnya hubungan antara manusia dengan suatu fenomena alam. Isu pembangunan lestari, pencemaran alam sekitar, gejala sosial, membasmi kemiskinan, dan kebanyakan persoalan masyarakat memerlukan tindakan pelbagai pihak berkepentingan secara terintegrasi atau syumul.

6. Bagaimanapun, cara manusia mengurus alam masih bersifat sektor, dan ilmu serta kemahiran yang dibangunkan bersifat mono-disiplin. Di sinilah kepincangan utama manusia mengurus alam, sehingga kebanyakan isu hubungan antara manusia dan alam masih berterusan atau menjadi semakin buruk!

7. Program pengajian di universiti kebanyakannya masih bersifat mono-disiplin, mereka yang mengambil bidang Sains Tulen masih didedahkan kepada program fizik, matematik, kimia, biologi dan geologi atau sub-disiplin yang lebih mengkhusus.

8. Bagi yang mengambil program Sains Sosial seperti sosiologi, antropologi, sejarah, geografi, ekonomi pula didedahkan dengan disiplin tersendiri. Untuk menangani isu interaksi manusia dan alam, kita memerlukan ilmu Sains Tulen dan Sains Sosial digembeleng bersama.

9. Hari ini, kita melihat penerokaan ilmu, semakin menjurus dan mendalam. Ilmu geologi umpamanya, mempunyai puluhan sub-bidang dan mereka yang pakar dalam setiap sub-bidang sudah tidak mampu menguasai ilmu dalam sub-bidang geologi yang lain.

10. Yang lebih menyedihkan, kebanyakan golongan ilmuwan terlalu gahirah mencari ilmu baru yang mengkhusus, sehingga semakin jauh daripada keperluan menyalurkan ilmu untuk masyarakat.

11. Dalam kebanyakan situasi, masyarakat melihat ilmu yang dijana oleh ilmuwan di universiti sudah tidak relevan lagi untuk kehidupan sehariannya. Ilmu yang dijana hanya untuk penerbitan ilmiah berimpak tinggi dan dikongsi sesama para sarjana sebidang sahaja.

12. Gagasan multi-bidang sudah mulai diteroka oleh segelintir ilmuwan sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Kesedaran ini tercetus ketika warga dunia berhadapan dengan krisis alam sekitar dan kemanusiaan.

13. Keadaan pencemaran udara, air dan tanah oleh aktiviti manusia telah berada dalam keadaan serius sehingga boleh menjejaskan keselamatan segajat. Mereka menyedari, ilmu perlu dilihat secara syumul jika kita ingin menyelesaikan persoalan hubungan antara alam dan manusia.

14. Antara gagasan ilmu multi-disiplin terawal yang diperkenalkan ialah Sains Alam Sekitar. Imlu ini mengupas isu kemerosotan alam sekitar dan kita memerlukan pengetahuan Sains Tulen seperti biologi, geologi, kimia, kesihatan dan kejuruteraan. Pengetahuan Sains Tulen ini pula perlu disokong dengan ilmu Sains Sosial seperti sosiologi, perancangan, pengurusan dan perundangan.

15. Hari ini, kita dapat perhatikan pengetahuan yang berkembang mengenai isu alam sekitar bersifat multi-bidang. Bagaimanapun, manusia masih belum mampu menyelesaikan isu kemerosotan alam sekitar kerana tindakan kita untuk menyelesaikan masalah masih bersifat sektoral atau berasaskan bidang.

16. Kini ramai golongan masyarakat memperkatakan keperluan untuk membangun secara lestari. Pada asasnya, idea pembangunan lestari ialah pembangunan yang turut memberikan perhatian kepada keupayaan generasi akan datang untuk terus membangun dengan kecukupan sumber dan keadaan alam sekitar yang masih sihat.

17. Tiga tungak teras untuk pembangunan lestari ialah mengukuhkan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kesihatan alam sekitar. Isu paling asas bukan kelestarian setiap satu tunggak pembangunan ini, tetapi bagaimana ketiga-tiga tunggak ini diseimbangi dan digembeleng bersama untuk mencapai kelestarian.

18. Ilmu multi-disiplin adalah keperluan asas untuk pembangunan masa hadapan dan set minda ilmuwan perlu berubah segera. Pendekatan mono-disiplin dan kepakaran mengkhusus semakin menjadi tidak relevan lagi, lebih-lebih lagi apabila ilmuwan berkerja bersendirian. Sekurang-kurangnya, mereka perlu berkerja sebagai satu pasukan, menyelesaikan masalah sejagat secara berkongsi ilmu.

19. Ilmu untuk masa hadapan akan berlandaskan kepada pendekatan inter-disiplin iaitu pembangunan ilmu baru dipinggiran beberapa ilmu mono-disiplin sedia ada. Matlamat terakhir untuk menbina gagasan ilmu baru yang dikenali sebagai trans-disiplin iaitu pergabungan beberapa ilmu untuk menyelesaikan persoalan secara syumul.

20. Kami di UKM sedang berusaha membangunkan ilmu trans-disiplin yang dikenali sebagai ‘Sains Kelestarian’. Ilmuan daripada pelbagai ilmu menyelidik secara berpasukan dan mengupas isu kemanusiaan secara syumul.

21. Akhirnya ilmu dan amalan perlu disatukan. Pendekatan berfikir, sistem pengurusan dan perlaksanaan juga perlu bersifat syumul. Bila ini boleh dicapai, barulah kita mempunyai harapan untuk menyelamatkan Bumi dari terus mengalami kemusnahan akibat perbuatan manusia sendiri.

IBK: 18 Jun 2015

Advertisements