Rekabentuk Kelestarian

DSCN0031
Pemandangan dari udara/ Lembah Klang

1. Salah satu cabaran besar komuniti dunia kini ialah terus membiarkan kesihatan alam sekitar merosot menuju ke paras kritikal. Mereka seakan tidak berupaya membina iltizam untuk bertindak secara holistik dan sebagai satu pasukan.

2. Akibatnya, aktiviti guna tanah dan pembinaan pelbagai prasarana yang kurang lestari telah menyebabkan ekosistem tabii, memberi perkhidmatan untuk kesejahteraan terus tergugat. Antara tanda yang jelas ialah kualiti air dan udara terus merosot sehingga menganggu kesihatan manusia.

3. Cara interaksi manusia dengan alam masih tidak menunjukkan kita menghormati kepentingan untuk menjaga kesejahteraan ekosistem. Walaupun manusia menyedari cabaran ini, rekabentuk dan pendekatan pembangunan prasarana masih seperti biasa (business as usual).

4. Dalam pemikiran kebanyakan perancang dan perekabentuk, tumpuan hanya diberikan kepada beberapa keperluan asas – penggunaan reruang, kestabilan dan kos pembinaan. Matlamat akhir ialah ‘pembinaan yang termurah untuk mendapatkan keuntungan yang tertinggi’.

5. Oleh kerana kebanyakan pembangunan dilihat sebagai urusan perniagaan, minda pelbagai pihak berkepentingan masih terperangkap dengan falsafah ini. Pembinaan yang tidak mendatangkan keuntungan kebendaan, seakan tidak mempunyai faedah kepada negara.

6. Sebahagian kecil perekabentuk mulai menyedari, mereka perlu mengambilkira keperluan untuk menyelamatkan ekosistem demi kepentingan manusia. Mereka mula memperkenalkan konsep ‘teknologi hijau’, dan kini rekabentuk bangunan hijau telah mula mendapat perhatian.

7. Apa yang mereka maksudkan dengan bangunan hijau ialah usaha untuk menjimat penggunaan tenaga elektrik. Bangunan direkabentuk supaya dapat menggunakan cahaya semulajadi (matahari) serta memperkemas teknologi penjimatan tenaga. Usaha ini berpunca daripada kegelisahan manusia terhadap ‘krisis tenaga’.

8. Dunia tidak sahaja berhadapan dengan kepupusan sumber tenaga semulajadi, khususnya minyak bumi, tetapi peningkatan kadar perlepasan gas karbon dioksida ke udara yang telah menyebabkan pemanasan global.

9. Idea rekabentuk untuk pembangunan lestari melampaui keperluan untuk menjimatkan tenaga. Ia melibatkan keperluan untuk menjaga alam sekitar sambil memberikan perhatian kepada meningkatkan kesejahteraan manusia secara jangka panjang.

10. Berikut merupakan beberapa falsafah pembangunan yang perlu diterapkan dalam rekabentuk pembangunan masa hadapan:

11. Mesra Alam Sekitar: Para perancang dan perekabentuk tidak sahaja hanya memikirkan keperluan reruang untuk kegunaan manusia, tetapi perlu memberikan ruang untuk alam. Pada prinsipnya rekabentuk perlu mengambilkira keadaan tabii alam, umpamanya, kekangan topografi dan sistem saliran semulajadi.

12. Rekabentuk bersama alam (design with nature) memberikan perhatian kepada kehadiran bersama antara alam dan manusia. Dengan cara ini, kita dapat menikmati keindahan alam, dan pada masa yang sama, proses alam tidak akan menganggu keselamatan manusia secara jangka panjang.

13. Risiko Keselamatan Manusia: Pada masa ini pendekatan rekabentuk dan kejuruteraan banyak memberikan perhatian kepada isu kestabilan atau keselamatan bangunan. Keselamatan bagunan tidak sama dengan keselamatan manusia.

14. Kejadian tanah runtuh atau banjir umpamanya, ialah isu keselamatan manusia. Risiko keselamatan manusia memerlukan kita melihat konsep reruang yang lebih luas dan mengambilkira bagaimana alam akan respons dengan aktiviti manusia.

15. Bila kita memilih pertempatan di kaki bukit, kita akan berhadapan risiko tanah runtuh. Apabila membuat rumah di dataran banjir pula, kita tidak boleh menghindarkan diri dari proses banjir.

16. Kesesuaian Tapak: Konsep pengoptimuman memang telah lama diamalkan oleh para rekabentuk dan jurutera pembinaan. Isu ini biasanya dikaitkan dengan pengoptimuman kos. Berapakah kos yang sepatutnya dibelanjakan untuk suatu pembinaan?

17. Dalam konteks pembangunan lestari, kesesuaian tapak perlu dikaitkan dengan kesejahteraan dan keselamatan awam. Tapak yang mengundang risiko bencana alam tinggi perlu menjadi pilihan terakhir untuk pertempatan.

18. Sementara tanah yang subur untuk jelapang padi tidak wajar dibangunkan untuk pertempatan. Para perancang perlu memberikan perhatian mengenai perkara ini dan tidak dibiarkan kepada permintaan pemaju yang hanya memikirkan soal perniagaan.

19. Pemilihan Bahan Binaan: Pada masa ini kita mengamalkan pendekatan sama ada mengambil bahan binaan di sekitar pembinaan atau membeli bahan dari pasaran. Pendekatan ini mengundang beberapa kepincangan, jika memilih bahan yang terdapat berhampiran tapak pembinaan, ada kemungkinan ia kurang sesuai atau melebihi spesifikasi!

20. Pembelian sama ada bahan dari dalam atau luar negara banyak dipengaruhi oleh helah pemasaran. Oleh itu, pemilihan bahan perlu didahulukan dengan aspek kelestarian, kesesuaian, pertimbangan alam sekitar dan jika boleh sumber tempatan.

21. Ini membolehkan pembekal bahan binaan meneroka pendekatan lebih inovasi dan menggalakkan pembungunan industri bahan binaan tempatan yang mesra alam dan mesra pengguna.

22. Menghormati Warisan Negara: Kebanyakan negara maju telah kehilangan banyak khazanah warisan. Apabila pembinaan berhadapan dengan sumber warisan, mereka memberikan keutamaan kepada memulihara warisan.

23. Berlainan dengan negara kita, penilaian mengenai kehadiran tapak warisan masih belum diberikan perhatian. Akibatnya, banyak aktiviti pembangunan telah mengabaikan kehadiran tapak warisan, dan ini tentunya merugikan negara dan memusnah rekod ketamadunan bangsa.

24. Aspek pemuliharan warisan budaya dan alam tabil perlu menjadi agenda utama bagi bangsa yang maju.

25. Walaupun kita telah pertimbangkan semua aspek di atas, set minta pembuat dan pelaksana dasar, serta pemaju pembinaan juga perlu turut berubah. Para pembuat dan pelaksana dasar perlu menerapkan konsep pembangunan lestari dalam semua aktiviti pembangunan negara.

26. Pihak pemaju pula perlu mempunyai sikap kebanggaan dengan menekankan keperluan kualiti dan kelestarian dalam semua kerja yang dilakukan.

27. Jika matlamat akhir ialah meninggalkan legasi untuk ketamadunan negara dan bukannya ‘asal jadi sahaja’ atau untuk mengaut keuntungan maksimum, kita pasti berjaya bergerak ke arah rekabentuk pembangunan untuk kelestarian.

IBK: 20 Jun 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s