Dasar Geosains Negara

DSC_1363
Pemandangan dekat fabrik dalam satu batuan

1. Pada akhir tahun 2011, saya dijemput oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berbengkel untuk membantu menyediakan deraf kenyataan Dasar Geosains Negara (DGN).

2. Ini merupakan usaha murni dan berpandangan kehadapan kementerian yang perlu disokong. Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini dipanggil Geosains) merupakan antara jabatan terawal diwujudkan oleh pemerentahan Inggeris di Tanah Melayu.

3. Jabatan ini bergiat meneroka mineral yang mendorong kepada zaman perlombongan bijih timah ketika awal pembangunan negara yang menjadi peneraju ekonomi negara. Ketika itu, Malaysia pernah dikenali sebagai pengeluar bijih timah terbesar di dunia.

4. Pada tahun 1974 Akta Pembangunan Petroleum diperkenalkan, dan bersamanya diwujudkan PETRONAS yang diberikan mandat untuk meneroka dan membangun sumber petroleum (sumber geologi) negara.

5. Untuk beberapa dekad selepas itu petroleum menjadi peneraju ekonomi negara. Hari ini PETRONAS di lihat sebagai sebuah institusi perniagaan kerajaan yang paling berjaya dan menjadi kebanggaan negara.

6. Sumber mineral, khususnya bijih timah dan petroleum (minyak mentah dan gas asli) diterokai oleh ahli geosains. Selepas kedudukan, nilai dan kuantitinya diketahui, jurutera (perlombongan dan petroleum) berusaha mengeluarkan dari perut bumi.

7. Jurutera industri pula membangunkan sebagai produk komoditi dan akhirnya pengurus memasarkannya untuk menjana ekonomi. Dalam rantaian pembangunan produk ini, ahli geosains merupakan profesional yang berada di belakang tabir dan jarang dikenali masyarakat!

8. Dasar Geosains Negara yang bakal dibangunkan perlu memberikan tumpuan kepada peranan ahli geosains yang lebih meluas untuk pembangunan negara. Pengetahuan geosains tidak sahaja penting untuk penerokaan sumber mineral dan petroleum, tetapi boleh dimanfaatkan untuk menentukan dasar dan perancangan pembangunan sumber asli.

9. Pengetahuan geosains penting untuk membantu industri pembinaan dan pembuatan, untuk mengurus kesihatan alam sekitar dan pemuliharaan warisan tabii, serta pelbagai industri sokongan dan perkhidmatan lain.

10. Selain meneroka sumber mineral dan petroleum, kepakaran ahli geosains boleh dimanfaatkan untuk pembangunan bahan binaan, bahan industri dan sumber geowarisan. Ahli geosains boleh melangkah setapak lagi kehadapan dengan menjalankan pelbagai R&D.

11. Ini termasuk mengenai pasti nilai tambah sumber mineral yang berinovasi dan boleh dikomersialkan. Pembangunan produk baru berasaskan sumber geologi masih belum mendapat tempat sewajarnya dalam sekitaran industri pembinaan dan pembuatan di negara ini.

12. Dasar Geosains Negara perlu memberikan perhatian tinggi kepada perancangan dan pengurusan sumber bumi. Ini kerana sumber bumi merupakan sumber terhad yang tidak boleh diperbaharui.

13. Perancangan dan pengurusan yang lestari membolehkan kita membezakan antara sumber komoditi, sumber warisan dan sumber asas untuk sokongan hidup. Dengan pendekatan begini, bukan sahaja kita boleh bersama menjana kekayaan negara melalui pelan transformasi ekonomi, tetapi mampu mengekalkan sumber geologi penting untuk kesejahteraan masyarakat kini dan masa hadapan.

14. Pembangunan modal insan penting untuk memastikan ahli geosains berupaya menyumbang kepakaran dan kemahiran secara berkesan bagi pembangunan negara. Pada masa ini jumlah ahli geosains sangat terhad dan program pendidikan untuk membangun profesion geosains terbatas.

15. Pada masa yang sama pendedahan masyarakat mengenai peranan dan aktiviti ahli geosains juga sangat terbatas. Oleh itu, dasar ini perlu memberikan penekanan kepada usaha membangun modal insan profesional sambil mengiatkan lagi aktiviti pendidikan awam mengenai kepentingan pengetahuan geosains untuk pembangunan negara.

16. Tidak ramai yang mengetahui kajian sains mengenai geobencana seperti tanah runtuh, letusan gunung berapi, gempabumi dan tsunami dilakukan oleh ahli geosains. Bencana alam telah menjadi igauan masyarakat berhadapan dengan kuasa tabii.

17. Mengunakan pendekatan geologi, ahli geosains boleh menentukan kawasan berisiko bencana, mekanisma dan faktor penyebab bencana, ramalan mengenai kekerapan kejadian bencana dan impaknya kepada masyarakat.

18. Semua maklumat ini penting untuk mewujudkan sistem amaran awal dan respons yang dapat mengurangkan risiko bencana. Saya yakin, maklumat begini berguna untuk dijadikan bahan pendidikan awam untuk memperkenalkan kepentingan bidang geosains.

19. Dasar Geosains Negara tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa sokongan sistem governans yang mantap. Untuk ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) boleh meneraju dasar ini dan memainkan peranannya dengan lebih proaktif.

20. Institusi pembuat dasar dan pelaksana ini boleh dikukuhkan dan diperluaskan lagi fungsinya. Sambil melaksanakan fungsi utama iaitu pembangunan sumber mineral, JMG boleh menerajui pelbagai aktiviti huluan dan hiliran yang berkaitan dengan pembangunan sumber bumi.

21. Berasaskan kepakaran dan kemahiran yang terdapat di kalangan ahli geosains, JMG juga mampu terlibat secara lebih aktif dalam isu berkaitan kawasan sensitif alam sekitar, sumber air bawah tanah, tenaga alternatif, bencana alam, pemuliharaan warisan tabii (geowarisan), pelancongan berasaskan pengetahuan (geopelancongan) dan pembangunan lestari.

22. Cara terbaik untuk menerajui beberapa sektor penting ini ialah dengan mewujudkan beberapa institusi R&D baru, seperti pembangunan geowarisan dan pusat bencana alam, bagi membangun pengetahuan terkini dan menyalurkannya untuk kepentingan masyarakat.

23. Saya berdoa hasrat mengangkat Dasar Geosains Negara sebagai dasar negara tercapai, ahli geosains ghairah menyokongnya, dan para pengurusan bersedia melaksanakan dengan berkesan. Jika berjaya, inilah sumbangan paling bermakna ahli geosains untuk kesejahteraan masyarakat.

IBK: 22 Jun 2015

Advertisements