Minda Kelas Ketiga

Sambutan Kemerdekaan (AstroAwani)
Sambutan Kemerdekaan (AstroAwani)

1. Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya bersyukur negara dianugerahkan pelbagai keistimewaan – sumber bumi yang melimpah luah, keharmonian kaum terkawal, kebebasan bersuara dan beragama dihormati, dan prasarana bertaraf kelas pertama.

2. Apa lagi yang kita harapkan, kecuali terus menyumbang kepada pembangunan keluarga, berbakti kepada masyarakat dan membina ketamadunan negara.

3. Begitupun, kita boleh terus kehilangan semua keistimewaan ini sekiranya majoriti rakyat negara ini masih terperangkap dengan ‘minda kelas ketiga’. Minda yang masih meminta-minta dan mengharapkan kerajaan memberikan segala-galanya.

4. Kekangan asas yang perlu diatasi ialah berubah daripada fahaman ‘semua orang salah, kecuali dibuktikan benar’ kepada ‘anda betul, hanya apabila dibuktikan bersalah’ seperti yang lazim diamal oleh negara bertamadun.

5. Fahaman ini telah berleluasa di dalam pentadbiran kerajaan dan institusi perniagaan awam. Hanya kerana segelintir yang melakukan penipuan, seluruh warga perlu menanggung beban birokrasi atau ketidakselesaan melalui perbagai peraturan tambahan, pembuktian yang melampau dan sekatan.

6. Sewajarnya, usaha membendung penipuan dan penyelewengan diperkemas sehingga kadarnya dapat dikurangkan tanpa menyusahkan masyarakat banyak. Kepercayaan dan menghormati warga perlu dijadikan pegangan.

7. Saya terpanggil untuk menulis perkara ini kerana sikap untuk tidak mempercayai kewibawaan sesaorang telah merebak sehingga ke menara ilmu. Kita sudah tidak percaya mempercayai antara satu sama lain, sehingga segala tindak tanduk ahli akademik perlu dibuktikan kesahihannya.

8. Mengambil contoh, dalam beberapa tahun terakhir ini, semua permohanan untuk kenaikan pangkat atau menilai pencapaian institusi perlu disertakan dengan bahan bukti. Walaupun dalam hal ‘sudah terang lagi bersuluh’, jika tiada bahan bukti, pencapaian yang dinyatakan tidak di ambil kira!

9. Saya pernah bertanya, mengapa kita mengambil pendekatan begini? Jawapan para pengurus, kejadian penipuan semakin meningkat! Dalam dunia akademik, sumbangan pakar dan kesarjanaan boleh dibuktikan dengan mudah tanpa bahan bukti!

10. Secara tradisinya, ahli akademik merupakan golongan yang sangat berwibawa. Penipuan akademik (palagiat, mengada-adakan data, tidak berkata benar) merupakan kesalahan paling berat disisi keserakanan.

11. Segelintir ahli akademik yang berbuat demikian akan kehilangan kewibawaannya dan akan dipinggirkan daripada aktiviti akademik keserakanan. Oleh itu, dalam semua penilaian akademik – untuk kenaikan pangkat atau penganugerahan – malim diberikan tanggungjawab untuk menunjukkan kecemerlangan, sementara rakan kesepakaran menjadi pengadil kepada kehebatan beliau.

12. Melihat contoh lain, saya perhatikan kemudahan awam di Eropah, Jepun dan banyak negara maju lain dibina dengan memberikan perhatian tinggi terhadap keselamatan awam. Sekolah, kemudahan pengangkutan, kemudahan rekreasi dan pelbagai tempat awam dibina seolah-olah boleh bertahan hingga 1,000 tahun!

13. Tapi di negara kita, kebanyakan kemudahan awam rosak atau menjadi kurang selamat dalam beberapa tahun sahaja. Apapun alasan yang diberikan, hakikatnya kita masih kurang memberikan perhatian kepada keselamatan dan keselesaan awam.

14. Sikap dan kepercayaan pemimpin dan masyarakat Malaysia masih terkongkong kepada kepentingan diri dan keluarga mengatasi kepentingan umum. Bagi bangsa yang telah bertamadun, ‘kepentingan semua dan hak awam’ perlu dihormati bagi membina sebuah negara bangsa yang dibanggakan.

15. Sikap kepentingan peribadi terbawa-bawa dalam semua urusan kita. Pekerjaan dilihat sebagai ‘makan gaji’ bukan amanah yang perlu disempurnakan, dan hasil berkualiti bukan syarat asas pencapaian.

16. Sebaliknya, produk yang ditonjolkan adalah untuk mendapat ganjaran yang lebih besar, dan berkerja bersama (berpasukan) sukar dilakukan dengan sempurna, takut hasilnya hanya akan menyerlahkan orang lain, dan memperkecilkan (memfitnah) orang lain menjadi norma hidup demi menonjolkan diri sendiri.

17. Jika kita renungi bersama, banyak sikap dan pendirian kita masih bersifat mementingkan diri atau kelompok kecil, kita lebih selesa menerima daripada memberi, kurang bertanggungjawab apabila berhutang, dan rasuah merupakan cara mendapatkan sesuatu tanpa akur dengan peraturan. Inilah terjemahan minda dunia ketiga.

18. Pemikiran masyarakat kelas pertama tertumpu kepada kesejahteraan dan masa depan warga sejagat, melindungi bersama kesihatan planet Bumi, memberi kepada yang memerlukan, berbangga dengan kualiti dan ciptaan berinovasi, ilmu untuk kesejahteraan, dan kami warga dunia dan pewaris untuk generasi masa hadap.

19. Masyarakat umum masih dibelenggu oleh minda didikan penjajah, pemimpin masih berjuang untuk mengukuhkan kedudukan, dan sumber untuk meraih kekayaan. Bolehkan warga Malaysia mengubah minda dan menjadi warga berfikiran kelas pertama menjelang 2020?

(catatan ini pernah diterbitkan dalam Rencana BH pada akhir tahun 2011)

IBK: 24 Jun 2015

Advertisements