Bencana dan Pemantauan Awam

IMG_0482
Rumah Anak-anak Yatim Madrasah Al-Taqwa

1. Seperti yang telah diramalkan, menjelang musim tengkujuh akhir tahun 2011, curahan hujan akan meningkat sehingga mencapai 40% daripada tahun sebelumnya. Ini bererti, masyarakat tidak sahaja akan berhadapan dengan keadaan banjir yang lebih besar, tetapi risiko kejadian tanah runtuh.

2. Berasaskan pengalaman lepas, masyarakat Malaysia berhadapan dengan bencana tanah runtuh adalah sangat mengecewakan. Setiap tanah runtuh yang mengorbankan nyawa, apabila dikaji senario kegagalan, kebanyakannya berkaitan rapat dengan kejahilan kita mengenali tanda awal atau sikap tidak sensitif mengenai bahaya tanah runtuh.

3. Kejadian tanah runtuh di Kampung Sg. Gahal di Hulu Langat pada 21 Mei 2011 yang telah mengorbankan 16 nyawa penghuni Rumah Anak Yatim Madrasah Al-Taqwa adalah contoh jelas fahaman dan penghayatan risiko tanah runtuh perlu diterapkan kepada masyarakat awam.

4. Sememangnya sukar untuk meramal secara tepat di mana dan bila tanah runtuh akan berlaku. Bagaimanapun, pengetahuan sains dan rekod kejadian tanah runtuh lepas dapat membantu kita menentukan kawasan berisiko tinggi dan penyebab serta pencetus kejadiannya.

5. Oleh itu penerapan pengetahuan sains tanah runtuh kepada masyarakat awam merupakan langkah paling berkesan untuk mengurangkan risiko bencana. Kita perlu mengubah set minda masyarakat, risiko bencana adalah tanggungjawab kita.

6. Di mana kawasan berisiko tanah runtuh? Pada asasnya tanah runtuh boleh berlaku di kawasan bercerun. Ertinya, mereka yang tinggal di atas, di lereng atau di kaki cerun berhadapan dengan risiko ini.

7. Kawasan yang sering menyebabkan kemalangan nyawa ialah di kaki cerun, lebih-lebih lagi cerun yang dipotong curam dan tidak dikukuhkan dengan baik. Sebagai satu peraturan am, semua rumah atau bangunan yang berada di kaki bukit dan jauhnya kurang dari dua kali tinggi bukit berhadapan dengan risiko tanah runtuh.

8. Bagaimana tanah runtuh terjadi? Di Malaysia, tiga mekanisma kegagalan boleh berlaku mengikut keadaan cerun dan jenis tanah atau batuan yang membentuk cerun. Saya huraikan satu persatu daripadanya.

9. Di kawasan batu kapur atau bekas kuari, di mana cerun batuannya hampir menegak, kegagalan yang biasa terjadi ialah jatuhan batuan. Rumah yang terletak berhampiran dengan dinding batuan berhadapan dengan risiko dihempap oleh jatuhan atau terbalikan blok batuan.

10. Di kawasan pergunungan, aliran puing (debris) atau lumpur boleh terjadi sepanjang alur sungai. Lazimnya ia bermula dari kejadian tanah runtuh di hulu dan diikuti oleh hakisan tebing sepanjang alirannya.

11. Sepanjang aliran, ia akan mengangkut lebih banyak puing (tanah, bongkah batuan dan tumbuhan) dan bergerak lebih pantas sehingga beberapa kilometer hingga ke kaki pergunungan. Mereka yang tinggal di lembah berhampiran alur sungai sentiasa terdedah dengan risiko aliran puing.

12. Jenis ketiga ialah gelinciran tanah atau batuan yang sering terjadi di kawasan bercerun curam, khususnya pada cerun potongan.

13. Di Malaysia, pemaju perumahan cenderung memotong bukit dan meratakan kawasan untuk dibangunkan. Dalam keadaan begini, mereka telah mewujudkan cerun potongan dan tambakan, jika tidak dibina dengan sempurna mengundang gelinciran tanah.

14. Banyak kawasan perumahan di sekitar bandar, terutamanya di Lembah Kelang, berada pada situasi ini dan berhadapan dengan risiko gelinciran tanah.

15. Ketiga-tiga jenis tanah runtuh ini mempunyai tanda-tanda awal yang boleh diperhatikan dan menjadi amaran awal sebelum kegagalan cerun berlaku. Untuk jatuhan batuan, tanda awal meliputi jatuhan blok-blok kecil dan pelebaran rekahan-rekahan pada dinding batuan.

16. Gelinciran tanah mempunyai lebih banyak tanda awal, antaranya runtuhan kecil, pokok-pokok di lereng bukit semakin condong, parit di tepi bukit terhempit dan mengecil dan pembentukan banyak rekahan di kawasan berhampiran cerun, termasuk di dinding rumah anda!

17. Tanda-tanda awal aliran puing lebih sukar ditentukan kerana ia berpunca daripada kawasan hulu mungkin beberapa kilometer jauhnya. Bagaimanapun, kita masih dapat melihat tanda kejadian aliran puing yang lepas sepanjang aliran sungai.

18. Dengan maklumat begini kita dapat mentafsir apakah sesuatu kawasan itu terdedah dengan risiko aliran puing. Lazimnya, dataran limpah yang rata di selekoh alur sungai merupakan bekas limpahan aliran puing silam, dan di sini juga kawasan yang sesuai untuk mendirikan kawasan pertempatan!

19. Kawasan berisiko tanah runtuh amat meluas dan tidak mungkin mampu di pantau oleh pihak berkuasa tempatan. Oleh itu, cara terbaik untuk mengurangkan risiko tanah runtuh ialah dengan mengerakkan amalan pemantauan awam.

20. Individu atau komuniti yang berada di kawasan berisiko tanah runtuh boleh memulakan projek rakyat pemantauan mereka sendiri. Jika ini dijadikan gerakan komuniti setempat, akhirnya kita tidak sahaja mampu mengurangkan risiko bencana, tetapi mampu meningkatkan kesedaran awam mengenai bencana tanah runtuh.

21. Pemantauan awam juga adalah usaha mengambil tanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan komuniti tempatan.

22. Saya percata sebahagian besar daripada bencana tanah runtuh boleh dihindar atau risikonya dikurangkan. Terserahlah kepada individu dan komuniti mengambil tanggungjawab dan memgerakkan gagasan pemantauan awam untuk mengurangkan risiko bencana tanah runtuh.

(Catatan ini pernah diterbitkan di Rencana BH pada akhir tahun 2011)

iBK: 26 Jun 2015

Advertisements