Mengurangkan Risiko Bencana

P1000777
Teknologi Rakyat, kaedah pembinaan kental gempa bumi di Jepun

1. Saya berkesempatan menghadiri Sidang Kemuncak Pertama mengenai Peranan Institusi Penyelidikan dalam Mengurangkan Risiko Bencana Alam yang telah diadakan di Disaster Prevention Research Institute (DPRI), Kyoto University, Jepun beberapa tahun lepas.

2. Persidangan dihadiri oleh lebih 25 pengarah institusi penyelidikan dari Jepun, China, Indonesia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Canada, Masir, Vietnam dan Malaysia. Mereka berkumpul dan mencari pendekatan baru penyelidikan kerana merasakan cara dan pendekatan penyelidikan semasa masih kurang berkesan bagi mengurangkan risiko bencana.

3. Semasa membentangkan kertas ‘Landslides in Malaysia’ dimana saya menyatakan dalam 100 tahun terakhir ini, seramai lebih 600 orang terbunuh oleh bencana tanah runtuh, seorang wakil dari China menyatakan, ‘seramai 600 orang sahaja?, negara anda sangat bernasib baik’.

4. Di China, sebuah bencana tanah runtuh pada tahun 2009 sahaja telah mengorbankan 1,950 nyawa! Sebenarnya, Malaysia hampir bebas dari bencana alam! Selain banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan jumlah kematian kecil, kita hampir bebas daripada bencana geologi lain.

5. Persidangan kemuncak pertama antara institusi penyelidikan berkaitan bencana alam mempunyai makna yang besar dalam konteks pengurangan risiko bencana. Usaha penyelidikan selama ini masih belum berjaya mengurangkan kadar kematian dan kemusnahan harta benda di peringkat global.

6. Peristiwa bencana terus menungkat dan angka kematian akibat bencana terus bertambah. Banyak bencana yang tidak di duga mula melanda dunia, termasuk negara kita.

7. Walaupun kita sedar antara sebab utama peningkatan peristiwa bencana berkait rapat dengan penambahan penduduk dunia dan proses perbandaran, di mana lebih banyak tempat berisiko tinggi dibangunkan untuk pertempatan.

8. Kami juga dapat melihat negara di Asia, terutamanya negara sedang membangun merupakan kawasan yang paling teruk dilanda bencana. Dan lebih menyedihkan lagi, kesedaran mengenai risiko di kalangan masyarakat awam masih rendah, dan pengetahuan sains masih belum mampu dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko bencana.

9. Sedang kemuncak di atas berhasrat untuk mencari paradigma baru bagi mengurangkan risiko bencana. Ini suatu yang amat sukar dilakukan sekiranya set minda ahli akademik masih tertumpu kepada meningkatkan penyelidikan dalam bidang kepakaran masing-masing.

10. Perbincangan dan hubungan kerjasama antara pelbagai institusi penyelidikan yang berkaitan dengan bencana boleh membuka ruang untuk mencari paradigma baru ke arah pengurangan risiko bencana. Dalam konteks ini, kami telah mengenalpasti isu dan pendekatan berikut:

11. Banyak ilmu dan teknologi telah terkumpul mengenai pendekatan pengurangan risiko bencana, tetapi terlalu sedikit telah disalurkan kepada praktis pengurangan bencana. Agensi pelaksana dan masyarakat masih belum terdedah dengan pengetahuan baru yang telah di kembangan di makmal-makmal penyelidikan.

12. Keadaan ini tidak sahaja berlaku di negara sedang membangun, tetapi turut dirasai oleh negara maju. Oleh itu, ahli akademik disarankan mengubah set minda tradisi daripada mengutamakan penyelidikan kepada kepentingan ‘pemindahan pengetahuan’.

13. Pengalaman beberapa bencana besar yang berlaku sejak tragedi tsunami 2004, mengajar para ilmuan betapa kami masih jahil mengenai peristiwa bencana yang langka (rare) atau ekstrem.

14. Untuk bencana yang sangat besar, dan mungkin berlaku hanya sekali dalam 1000 tahun, merupakan bencana yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa seperti ini lazimnya melangkaui keupayaan manusia menyediakan mitigasi, di luar ingatan sejarah tamadun manusia, dan merentas sempadan negara.

15. Para saintis perlu meneroka ilmu baru mengenai bencana langka begini dan mula memperkenalkan kepada masyarakat yang berhadapan dengan risiko begini pendekatan beradaptasi bagi mengurangkan risiko bencana.

16. Secara global kita perlu percaya bencana alam tidak boleh dihindarkan sepenuhnya. Ia merupakan proses alam yang perlu difahami. Bagaimanapun, masyarakat tentunya dapat membezakan antara bencana tabii dan bencana cetusan-manusia.

17. Di negara maju, mereka sudah tidak lagi membangkitkan isu bencana cetusan-manusia, tetapi terus berusaha mengurangkan risiko bencana tabiii. Mereka telah membuat kajian dan menyediakan perancangan apakah ‘risiko yang boleh diterima’.

18. Setiap negara sedang menyediakan pelbagai program pengurangan risiko bencana secara jangka pendek dan panjang. Di negara sedang membangun, termasuk Malaysia, kita masih reaktif terhadap bencana dan belum memikirkan lagi konsep begini.

19. Malaysia berada di tengah lingkaran api Asia Tenggara – di barat Sumatera, selatan Jawa, dan di timur kepulauan Filipina. Daerah ini merupakan kawasan yang paling aktif dan paling tinggi risiko bencana alam.

20. Dalam keadaan bencana yang ekstrem, kita akan terlibat sama – kita merupakan kumuniti Asia Tenggara yang akan berhadapan dengan risikonya. Oleh itu, sama ada pada peringkat kerajaan, agensi awam atau ilmuan, negara di Asia Tenggara perlu berkerjasama dan saling bantu membantu bagi mengurangkan risiko bencana.

21. Pada peringkat negara, pelbagai agansi awam dan institusi penyelidikan perlu mewujudkan rangkaian pengurusan bencana alam dan menjadikan komponen pengurungan risiko bencana sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negara.

22. Kita seharusnya sudah boleh menilai berapa tinggikah risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda disebabkan oleh bencana alam, serta menetapkan sasaran risiko yang boleh diterima. Dasar, strategi dan landasan untuk bertindak perlu dibangunkan sekiranya berhasrat untuk menjadi pemimpin di rantau ini.

23. Jika ditinjau daripada perspektif sains, teknologi dan pengetahuan mengenai bencana, Malaysia sudah berupaya menerajui gagasan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Tenggara. Apakah kita mempunyai iltizam politik dan kepimpinan serantau? Soalan begini yang masih perlu dijawab!

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalan Rencana BH tahun 2012)

IBK: 28 Jun 2015

Advertisements