Jatuhan Batuan Kinabalu 2015

DSC_0821
Pemandangan Gunung Nungkok berlatarkan Gunung Kinabalu, kelihatan parut-parut runtuhan tebing

1. Saya baharu pulang membuat tinjauan impak fenomena Gempabumi Kinabalu bermagnitud 6.0 yang berlaku pada 5 Jun 2015, jam 7.15 pagi. Ini gempabumi pertama di Malaysia yang telah meragut 18 nyawa.

2. Sejak kejadian gempabumi utama, Gunung Kinabalu dan kawasan sekitarnya masih digegarkan oleh lebih 100 gempa susulan bermangitud 1.6 hingga 4.5. Pada 23 Jun, ketika berada di kaki Kinabalu, saya sendiri berpengalaman digegarkan oleh dua gempa susulan bermagnitud 3.5 dan 4.2.

3. Gempabumi tidak membunuh, tetapi gegaran kuat yang dihasilkan menjadi punca kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Lebih kuat sesuatu gempabumi dan semakin hampir pusat gempa dengan permukaan bumi, semakin kuat gegarannya.

4. Bangunan yang berhampiran dengan epipusat akan menerima gegaran yang lebih kuat dan risiko bencana lebih tinggi. Pada masa yang sama, prasarana yang dibina dengan baik dapat bertahan daripada gegaran berbanding bangunan yang kurang kukuh atau tidak dibina mengikut rekabentuk kejuruteraan piawai.

5. Fenomena Gempabumi Kinabalu kelihatan sedikit berbeza berbanding gempabumi sebelum ini kerana epipusatnya berada berhampiran Gunung Kinabalu. Gunung ini terbentuk daripada batuan granit yang tegar dan menonjol ke angkasa mencapai lebih 4000 m.

6. Keadaan begini menyebabkan gegaran di bahagian puncaknya amat luar biasa dan mengerunkan. Mereka yang berada di puncak ketika itu dapat menceritakan betapa kuat gegarannya, seolah-olah Kinabalu akan runtuh.

7. Apa yang sebenarnya berlaku ialah gegaran gempa telah menyebabkan puluhan jatuhan batuan di cerun curam sekeliling gunung. Ada yang bersaiz sangat besar – panjang sekitar 1.5 km dan lebar mencapai 0.5 km.

8. Anggaran kasar jatuhan batuan sekeliling Gunung Kinabalu melibatkan lebih 15 km persegi dan blok batuan yang jatuh ditafsirkan melebihi 10,000,000 meter padu. Bayangkan jumlah batuan yang runtuh hampir sama dengan kedua-dua Menara Kembar Kuala Lumpur!

9. Runtuhan ini seperti hujan atau sungai batu yang bergerak ke bawah dengan begitu pantas dan memusnahkan apa sahaja yang berada dilaluannya. Sebahagian daripada puncak Tunku Abdul Rahman runtuh, bergerak ke arah laluan rekreasi Via Ferrata menyebabkan 18 kematian.

10. Kini Gunung Kinabalu telah berubah wajah, selain satu daripada puncak Donkey Ears patah dan jatuh ke gaung Low’s valley, keseluruhan dinding curam gunung yang mengerunkan ini telah terparut disebabkan fenomena jatuhan batuan yang meluas.

11. Mereka yang sering merenung gunung ini dapat merasakan, Kinabalu seakan seorang pahlawan yang tercedera pulang dari peperangan.

12. Jatuhan batuan telah membawa bersamanya tumbuhan yang runtuh, terlonggok di kaki gunung dan di huluan sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu.

13. Pada 13 Jun, selepas hujan berterusan selama dua hari, air sungai naik dan berupaya membawa debris (batu batan, pasir, lumpur dan kayu kayan) bersamanya menghasilkan fenomena ‘aliran atau banjir debris’. Aliran debris berupaya membawa lebih banyak debris sehingga boleh memusnahkan apa sahaja sepanjang laluannya.

14. Aliran debris, terutama kayu kayan dari hulu Sungai Mersilau telah di bawa turun ke Sungai Liwagu telah memusnahkan pembinaan sepanjang sungai dan melebarkan lurah sungai.

15. Komuniti di sini bernasib baik, kayu kayan ini tersangkut di empangan bekalan air berhampiran pekan Ranau dan mampu memberhentikan kuasa pemusnah aliran debris ini. Mujur juga, empangan ini tidak pecah dan dapat bertahan daripada longgokan debris yang begitu banyak.

16. Di Sungai Penataran dan Kadamaian, fenomena aliran debris juga dapat diperhatikan dengan jelas. Kebanyakan perkampungan sepanjang sungai ini tidak terjejas kerana paras banjir debris tidak begitu tinggi sehingga boleh melimpah di kawasan pertempatan.

17. Aliran debris telah menyebabkan paras dasar sungai semakin tinggi, dan kayu kayan terdampar secara meluas sepanjang lebih 50 km sehingga pekan Kota Belud.

18. Saya yakin banyak lagi debris yang masih belum di angkut dan mengundang aliran debris baharu di musim hujan akan datang.

19. Maklumat sains terkumpul sehingga kini menunjukkan fenomena gempabumi di Sabah hanya bermagnitud sederhana hingga lemah. Dua fenomena sebelum ini, Lahad Datu (1976) bermagnitud 6.2 dan Ranau (1991) bermagnitud 5.1 sekadar merosakkan bangunan yang berada berhampiran dengan epipusat.

20. Gempabumi Kinabalu (2015) merupakan fenomena gempabumi pertama mengorbankan nyawa. Kita juga maklum kematian adalah disebabkan jatuhan batuan di laluan puncak gunung.

21. Masyarakat dan kerajaan perlu menerima hakikat, Sabah tidak bebas daripada risiko bencana gempabumi. Tatapi, kita juga perlu sedar, magnitud dan keamatan gempabumi yang melanda negara tidak sebesar seperti di Jepun, Indonesia dan Filipina.

22. Oleh itu, perancangan, strategi dan tindakan untuk pengurusan risiko gempabumi perlu bersesuaian dengan ancaman sebenar. Ambillah tindakan susulan berasaskan fahaman saintifik yang jitu.

(catatan ini diterbitkan dalam Rencana BH pada 30 Jun 2015)

IBK: 30 Jun 2015

Advertisements