Pembangunan Bersama Komuniti

San'in Kaigan Geopark
San’in Kaigan Geopark

1. Beberapa tahun lepas saya dijemput untuk membentangkan kertas dasar berjudul ‘Geoparks and Regional Sustainable Development: Asia Pacific Experiences’ di San’in Kaigan International Academic Conference, Jepun.

2. San’in Kaigan merupakan Geopark ke-4 di Jepun diisytihar menjadi UNESCO Global Geopark pada tahun 2010. Pengalaman bergaul dengan masyarakat geopark di Jepun ketika menghadiri persidangan ini amat menarik dan memberikan satu perspektif baru mengenai pembangunan komuniti?

3. Semasa menyampaikan kertas dasar saya menjelaskan perbezaan besar geopark di Eropah dan di Asia Pasifik terletak pada pendekatan pembangunannya. Jika di Eropah, pembentukan geopark bermula daripada kehendak komuniti setempat, atau melalui proses ‘bawah – atas’.

4. Di Asia Pasifik, terutamanya di China, ia bermula daripada visi dan rancangan kerajaan untuk membangun komuniti luar bandar, dan ini disambut baik oleh komuniti dengan hati terbuka. Atas – bawah dan bawah – atas.

5. Bagaimanapun, di Malaysia keadaannya berbeza, idea geopark diperkenalkan oleh golongan akademik, disampaikan kepada agensi pelaksana dan kerajaan negeri. Apabila kerajaan negeri dan agensi pelaksana percaya ia merupakan idea yang baik, barulah rancangan ini disampaikan kepada komuniti dan dilaksanakan.

6. Cerita di Jepun berbeza. Komuniti ilmuan belajar dari rakan di Asia Pasifik, khususnya dari Malaysia. Selepas memahami konsep dengan mendalam dan melihat kesesuaian pembangunannya di Jepun, mereka membuat keputusan mempengaruhi komuniti setempat untuk mewujudkan geopark masing-masing.

7. Selepas kefahaman komuniti kukuh dan hasrat mewujudkan geopark jelas, barulah ia disampaikan ke pihak kerajaan untuk menyokong pembangunan geopark. Atau ringkasnya, proses ‘tengah – bawah – atas’.

8. Di San’in Kaigan global geopark, saya dapat perhatian usaha dan iltizam komuniti setempat yang terlibat dalam pembangunan geopark sangat luar biasa. Mereka menjayakan beberapa projek pemuliharaan dan pelancongan dengan semangat dan kebanggaan yang tinggi.

9. Oleh kerana projek geopark melalui proses ‘bawah – atas’, perkembangannya sangat pantas. Walaupun mereka baru berkenalan dengan konsep geopark, kini Jepun telah memiliki 7 global geopark dan setiap tahun mengajukan geopark baru ke arena global.

10. Pengalaman di Jepun membuka minda saya mengenai pentingnya memahami konsep pembangunan bersama rakyat dan bukannya untuk rakyat. Pembangunan berasaskan kepercayaan dan usaha oleh masyarakat.

11. Fahaman pembangunan lestari selalu menyatakan, suatu pembangunan yang bersifat lestari perlu berasaskan hasrat dan keperluan rakyat! Pembangunan yang ditaja oleh kerajaan, jika tidak mendapat sokongan masyarakat pasti akan mengalami kegagalan.

12. Bagaimanapun, saya sering memikirkan konsep pembangunan ‘bawah – atas’ merupakan konsep barat atau negara memaju di mana komuniti tempatan telah bersedia menerajui pembangunan.

13. Jika proses ‘bawah – atas’ cuba dilaksanakan di negara mundur atau sedang membangun, tidak mungkin akan ada pembangunan. Sebaliknya jika pembangunan hanya dianjurkan oleh kerajaan tanpa memikirkan kesediaan komuniti setempat, banyak pembangunan akan gagal atau tidak mencapai objektif yang diharapkan.

14. Pembangunan geopark di Langkawi melalui proses menarik iaitu ‘tengah – atas – bawah’. Golongan ilmuan dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah mencetuskan idea ini dan disampaikan kepada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk komuniti tempatan, sebelum dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

15. Walaupun Langkawi Geopark dilihat sebagai satu pencapaian negara, kekangan untuk meneruskan pembangunan masih banyak yang perlu diharungi. Antara kekangan kritikal ialah kesedaran dan penglibatan komuniti tempatan dan pelbagai agensi sokongan masih sangat terbatas.

16. Idea geopark masih dilihat sebagai ‘tanda nama pelancongan baru’ dan bukannya pendekatan pembangunan wilayah secara lestari untuk faedah komuniti setempat. Geopark sebagai jenama dan pengikhtirafan global.

17. Pengalaman di Jepun ini juga memberikan satu perspektif baru mengenai pendekatan pembangunan yang mungkin sesuai diamalkan di Malaysia. Proses ‘tengah – bawah – atas’ boleh menghasilkan sinergi jaringan antara golongan ilmuan (universiti), masyarakat setempat dan kerajaan.

18. Idea baru dan ilmu yang dijana di universiti tempatan boleh disalurkan kepada komumiti dan pelbagai agensi tempatan. Komuniti dan agensi tempatan dapat merancangan pembangunan yang sesuai untuk mereka, dan akhirnya usaha mereka perlu disokong oleh kerajaan negeri atau pusat.

19. Dengan cara ini pembangunan dapat memperkasa komuniti tempat, membina keupayaan dan iltizam yang tinggi untuk meningkatkan sosio-ekonomi dan tradisi yang bersesuaian untuk mereka.

20. Secara jangka panjang, proses sebegini dapat meningkatkan keupayaan dan kepimpinan komuniti tempatan untuk bersama membangun wilayahnya dan menikmati arus pembangunan negara.

21. Ketika YAB Perdana Menteri memperkenalkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), kita perlu mencari pendekatan baru untuk melaksanakan pelan transformasi ini. Tiada yang terbaik dan menyeluruh kecuali ia melibatkan keseluruhan akar umbi.

22. Harapan ini hanya boleh tercapai jika set minda golongan agensi pelaksana menjurus kepada pendekatan pembangunan oleh komuniti, dan bukannya untuk komuniti. Ringkasnya, pembangunan bersama komuniti.
(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam BH pada tahun 2012)

IBK: 2 Julai 2015.

Advertisements