Geopark dan Nilai Sepunya

Pulau Langkawi
Pulau Langkawi

1. Awal tahun 2011, saya bersama sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Charles Darwin University, Australia menjalankan penyelidikan mengenai bagaimana komuniti tempatan boleh diperkasa untuk terlibat secara aktif dalam program pelancongan di Langkawi.

2. Kami ingin memperkenalkan pendekatan pengurusan bersama (co-management) sebagai alat untuk membawa beberapa pihak berkepenting berkerjasama mengurus dan melaksanakan aktiviti pelancongan sambil memulihara sumber warisan tempatan yang menjadi daya tarikan pelancong.

3. Kami memilih Taman GeoForest Kilim sebagai kawasan kajian sementara penduduk di Kampung Kilim dan Tanjung Rhu merupakan komuniti yang ingin diperkasa. Daya tarikan pelancong di kawasan ini meningkat dari sekitar 50,000 pelancong pada tahun 2006 (sebelum Langkawi menjadi geopark) kepada lebih 450,000 pada tahun 2014.

4. Langkawi diiystihar menjadi geopark global UNESCO pada tahun 2007 dan bersamanya Taman GeoForest Kilim diperkenalkan sebagai kawasan pemuliharan warisaan alam unik mewakili sulaman landskap batu kapur kars dan hutan bakau berpandangan indah.

5. Aktiviti pelancongan di kawasan Taman GeoForest ini menarik dan luar biasa kerana buat pertama kalinya, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengamanahkan pembangunan dan pengurusan aktiviti pelancongan kepada komuniti tempatan iaitu Kooperasi Nelayan Kilim dan Tanjung Rhu.

6. Di tempat lain di Langkawi aktiviti pelancongan dibangunkan oleh syarikat swasta, anak syarikat kerajaan atau individu yang telah mempunyai keupayaan dan pengalaman mengenai industri pelancongan.

7. Kami melihat semangat dan iltizam komuniti nelayan di Kilim dan Tanjung Rhu sangat tinggi. Mereka begitu gairah untuk terlibat sama dan menyumbang dalam arus perdana kepulauan Langkawi iaitu pelancongan alam.

8. Bagaimanapun, sebagai komuniti nelayan, banyak kekangan yang mereka hadapi untuk berubah daripada tradisi lama kepada pengoperasi pelancongan. Mereka tidak sahaja kekurangan modal, tetapi perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sebagai pengusaha pelancongan.

9. Kajian ilmiah kami mempunyai dua objektif: Pertama, untuk mempelajari ciri-ciri kekangan dan potensi komuniti nelayan yang bersedia berubah menjadi pengusaha pelancongan; dan kedua, membantu semua pihak berkepentingan di Taman GeoForest Kilim memperkasa komuniti tempatan menjadi pemain utama pelancongan yang dihormati.

10. Oleh kerana kawasan GeoForest Kilim mempunyai ramai pihak berkepentingan, pengurusan bersama adalah satu-satunya cara terbaik untuk mengurangkan konflik dalam pengurusan aktiviti pelancongan yang lestari.

11. Kami telah menganjurkan tiga bengkel dan menjemput semua pihak berkepentingan iaitu komuniti tempatan, LADA, agensi kerajaan, pengusaha hotel, pesatuan pemandu pelancong dan sekolah untuk duduk semeja dan berbincang mengenai pendekatan terbaik menguruskan aktiviti pelancongan di sini.

12. Pengurusan yang baik perlu memastikan penduduk tempatan mendapat manfaat, warisan alam sentiasa terpelihara dan pelancong mendapat kepuasan tinggi.

13. Kami sebagai pemudahcara dapat melihat dan merasai betapa kayanya perbincangan yang tercetus daripada pertemuan semua pihak ini. Idea, hasrat dan cadangan menunjukkan kematangan dan kesediaan semua pihak berkerjasama untuk kebaikan dan faedah bersama.

14. Hasil penelitian ini, kami dapati isu pokok yang mampu mengikat keyakinan semua pihak berkepentingan ialah pegangan nilai sepunya (shared values).

15. Di Taman GeoForest Kilim, nilai sepunya yang dipegang oleh semua pihak berkepentingan ialah a) warisan tabii dan budaya; b) kemudahan infrastruktur pelancongan; c) meningkatkan pendidikan awam; d) pembangunan pelancongan dan sosio-ekonomi komuniti tempatan; dan e) kelestarian ekosistem (meliputi kebersihan dan kesihatan alam sekitar).

16. Semua pihak merasakan warisan tabii dan budaya merupakan milik bersama yang perlu dihormati dan dipulihara. Warisan ini tidak sahaja menonjolkan keunikan tempatan, tetapi boleh menjadi sumber kebanggaan dan inspirasi komuniti serta sumber sosio-ekonomi yang penting.

17. Bagaimanapun, tanpa prasarana yang sempurna dan dengan penjagaan yang baik, terutamanya untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik, potensi pemuliharaan dan pembangunan ekonomi tidak mampu dimanfaatkan.

18. Usaha menjaga warisan, kebersihan alam sekitar, menghayati keunikan tempatan dan keselamatan awam tidak mungkin tercapai tanpa pengetahuan dan kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan hubungan erat antara alam dan manusia.

19. Pendidikan awam kepada komuniti dan pengunjung merupakan cara terbaik memupuk kesedaran dan penghayatan betapa manusia perlu menjaga alam sekitar untuk faedah sejagat. Pendidikan awam juga merupakan alat terbaik untuk menerapkan semangat dan kesungguhan semua pihak untuk memastikan kelestarian ekosistem Taman GeoForest Kilim terpelihara.

20. Asas kepada kelestarian pemuliharaan warisan ialah memperkasa dan meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat. Di Taman GeoForest Kilim, eko- atau geopelancongan merupakan pendekatan terbaik menjana ekonomi tanpa memusnahkan sumber warisan.

21. Apabila kesejahteraan komuniti meningkat, barulah mereka bersedia menjalankan pelbagai inisiatif bagi menyokong pemuliharan warisan dan penjagaan alam sekitar, insyaAllah.

22. Di Malaysia, dan di Langkawi khususnya, kebanyakan projek pembangunan pelancongan dilakukan oleh pihak berkuasa dan syarikat swasta. Kebanyakannya berasaskan konsep ‘top-down’ iaitu usaha kerajaan merancang dan membangun untuk rakyat.

23. Aktiviti pelancongan di Kilim merupakan usaha murni ‘bottom-up’ dimana komuniti tempatan berkerjasama menjayakan aktiviti ini untuk bersama-sama membangun Langkawi Geopark.

24. Inilah pendekatan terbaik memperkasa komuniti tempatan dalam konteks pemuliharaan dan pelancongan warisan alam. Semua pihak perlu memberikan sokongan padu kepada usaha sebegini jika mengidamkan pembangunan wilayah secara lestari.

IBK: 4 Julai 2015

Advertisements