Geopark dan GeoPelancongan

Geopelancongan
Produk Geopelancongan

1. Pada November 2011, saya telah dijemput untuk membentangkan kertas dasar pada 3rd Global Geotourism Conference di Muscat, Oman. Persidangan pertama diadakan di Perth, Australia dan kedua di Mulu, Malaysia. Lebih 300 peserta mewakili 30 negara menghadiri persidangan di Oman.

2. Saya sempat mengikuti ketiga-tiga persidangan ini dan melihat perkembangan pesat dunia terhadap geopelancongan iaitu produk pelancongan tabii baru diperkenalkan dan menjanjikan pulangan lumayan.

3. Kertas dasar saya memberikan tumpuan kepada pembangunan geopelancongan dalam sebuah geopark. Oleh kerana geopark memberikan tumpuan kepada mengimbangi usaha memulihara warisan geologi dan landskap sambil meningkatkan sosio-ekonomi komuniti tempatan, produk geopelancongan merupakan aktiviti untuk mencapai hasrat ini.

4. Walaupun geotapak bernilai saintifik tinggi perlu di pelihara sebagai warisan, banyak daripada tapak warisan geologi bernilai estetik tinggi dan boleh dibagunkan sebagai destinasi geopelancongan utama.

5. Suatu yang sangat menarik berlaku di Oman ialah iltizam dan kepercayaan mereka mengenai pembangunan geopelancongan sebagai industri pelancongan masa depan yang dapat memakmurkan negara mereka selepas pendapatan daripada minyak bumi menurun.

6. Seluruh jentera kerajaan digerakkan untuk meneroka dan membangun gagasan geopelancongan. Akhbar utama di Oman telah menyiarkan berita persidangan geopelancongan secara meluas selama tiga hari ketika persidangan berlangsung.

7. Apa itu geopelancongan? Jika lebih 20 tahun lampau negara diperkenalkan dengan konsep ekopelancongan iaitu pelancongan alam sambil menghayati keunikan ekosistem biologi (kepalbagaian tumbuhan dan haiwan).

8. Geopelancongan merupakan komponen pelancongan alam untuk menikmati keindahan landskap tabii sambil mempelajari sejarah perkembangan bumi dan hidupan. Landskap geologi merupakan binaan asas permukaan bumi di mana ekosistem, kepelbagaian biologi dan tamadun manusia berkembang.

9. Atau, dengan perkataan lain, hubungan antara batu-batan (bukan hidupan), kepalbagaian biologi (hidupan) dan manusia (tradisi) terjalin melalui sejarah evolusi alam dan dimanifestasikan oleh landskap geologi.

10. Ada yang berpendapat, masa depan pelancongan tabii ialah geopelancongan kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan penghayatan evolusi landskap – pembentukan gunung-ganang, lembah, air terjun, gua batu kapur dan pantai berpasir yang indah.

11. Tetapi, ia turut menyimpan rashia alam mengenai evolusi hidupan yang menjadi asas kepelbagaian biologi, dan sejarah manusia yang mengukir tamadun kemanusian sejagat.

12. Mengambil contoh Pulau Bali umpamanya, evolusi biologi dan budaya masyarakat tempatan banyak dipengaruhi oleh siri letusan gunung berapi seperti Gunung Agung dan Batur yang terseregam indah lagi mengerunkan itu.

13. Di Langkawi kami memperkenalkan Geoforest Park Kilim, Machinchang dan Dayang Bunting sebagai kawasan pemuliharaan dan daya tarikan geopelancongan utama. Kilim umpamanya mempamirkan landskap batu kapur yang luar biasa bentuknya.

14. Ini disebabkan pengukiran rupabumi dikawal oleh proses perlarutan dan jatuhan batuan yang berlaku jutaan tahun lamanya. Hasil proses ini terbentuklah perbukitan berpuncak bergerutu, dinding bukit batuan yang menegak, kepulauan batuan dan gua-gua bawah tanah.

15. Dan dalam keadaan begini, hanya kepelbagaian tumbuhan dan haiwan tertentu boleh membiak dan hidup di atasnya menghasilkan satu ekosistem biologi batu kapur yang unik.

16. Di lereng bukit, proses jatuhan batuan dan hakisan ombak laut membentuk pelantar batu kapur bawah laut. Apabila lumpur diendapkan di atas pelantar ini, ia menggalakkan pertumbuhan hutan bakau yang kelihatan seperti permaidani hijau mengelilingi bukit batu kapur.

17. Sulaman bukit batu kapur dan hamparan hutan bakau menghasilkan landskap tabii Kilim yang luarbiasa keindahannya. Ramai rakan dari luar negara menganggap Kilim merupakan satu kawasan ‘kars batu kapur tropika’ yang terindah di dunia!

18. Walaupun pada masa ini produk pelancongan khas berkembangan pesat, umpamanya pelancongan-agro, pelancongan-kesihatan, pelancongan-budaya dan sebagainya, semua ini bersifat sangat menjurus dan sesuai untuk kelompok pelancong tertentu sahaja.

19. Geopelancongan menjanjikan ruang tarikan pelancongan yang lebih meluas. Sungguhpun ketika ini, landskap tabii sebagai tarikan pelancong hanya memberikan tumpuan kepada sifat keindahan dan potensi rekreasinya sahaja.

20. Landskap geologi merupakan blok binaan untuk mengenali dan menyingkap sejarah bumi, evolusi hidupan dan tradisi manusia. Dalam setiap lapisan batu-batan tersimpan rekod sejarah yang dapat mengkaitkan tamadun manusia dan sumber bumi yang menyokongnya.

21. Geopelancongan sebagai produk pelancongan berasaskan ilmu mampu membuka minda masyarakat mengenai gagasan kelestarian – alam bukan bersifat sektoral, tetapi terintegrasi antara satu sama lain.

22. Kepelbagaian budaya berkait rapat dengan kepelbagaian biologi, dan kepelbagaian biologi pula tidak dapat dipisahkan daripada kepelbagaian geologi. Alam adalah interaksi antara manusia dengan sumber hidupan dan bukan-hidupan.

23. Oleh itu, aktiviti geopelancongan boleh menjadi gagasan baru pendidikan awam yang mengutamakan kepentingan pemikiran bersifat syumul yang boleh membawa kepada hasrat mencapai pembangunan lestari.

24. Ketika mengembangkan ilmu warisan geologi lebih 20 tahun lepas, saya tidak pernah memikirkan satu masa nanti ia boleh menjadi sumber pembangunan ekonomi melalui aktiviti geopelancongan, dan satu pendekatan pembangunan lestari wilayah melalui gagasan geopark.

25. Pada ketika itu, saya hanya memikirkan bagaimana cara menyelamatkan sumber geowarisan daripada terus dimusnahkan oleh aktiviti penerokaan sumber untuk bahan binaan dan mineral ekonomi.

26. Hari ini, ramai yang percaya ‘penggunaan sumber bumi secara tanpa musnah’ melalui gagasan geopelancongan merupakan cara terbaik membangun ekonomi negara untuk kesejahteraan masyarakat masa kini dan generasi akan datang.

27. Sementara banyak negara maju dan Oman telah melancarkan gerakan besar-besaran memajukan sumber geowarisan untuk pembangunan geopelancongan. Kita di Malaysia masih cukup selesa membangun sumber tradisi dan budaya sebagai sumber utama tarikan pelancongan negara.

(sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam BH pada akhir tahun 2011)

IBK: 6 Julai 2015

Advertisements