Kebebasan Akademik?

_DSC0538
Bertukar pandangan dengan President, Soka University, Japan

1. Sebagai seorang ahli akademik, saya terpanggil untuk mengupas isu kebebasan akademik yang telah menjadi bahan polimik ke kalangan warga Malaysia yang prihatin. Ramai ahli akademik muncul menyampaikan pandangan apabila isu semasa menjadi perhatian awam.

2. Banyak pandangan telah dilontarkan oleh pelbagai pihak, termasuk golongan akademik, pentadbir dan komuniti terpelajar. Bagaimanapun, tidak mungkin ada jawapan yang boleh memuaskan semua pihak.

3. Selama lebih 35 tahun saya berkhidmat sebagai ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya merasakan bebas menyuarakan pandangan saya kepada rakan kesepakaran, pelajar dan masyarakat umum.

4. Tidak pernah pula saya merasakan kehilangan kebebasan bersuara walaupun ada masanya pandangan saya dipersoalkan. Begitupun, dalam fikiran ini, saya sering memikirkan dua persoalan pokok: apakah yang ingin saya sampaikan, dan mengapa perkara tersebut perlu disuarakan?

5. Inilah asas etika apabila sesaorang ahli akademik ingin menyampaikan pandangannya. Lazimnya, kita hanya boleh menyuarakan sesuatu isu yang berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing.

6. Bagi saya, isu yang berkaitan dengan bencana alam, kelestarian alam sekitar, pemuliharaan warisan tabii dan pengurusan pengajian tinggi merupakan perkara yang telah diterokai sebagai ahli akademik.

7. Asas Sains Bumi (logik Sains Tulen) telah saya gunakan untuk mengenali dan membangunkan ilmu mengenai empat perkara di atas. Pengetahuan mengenai perkara ini dibangunkan melalui penyelidikan berterusan dan dapatan hasil kajian daripada pakar yang mengkaji perkara yang hampir sama.

8. Pengetahuan dan dapatan kajian ahli akademik perlu disalurkan kepada pihak berkepentingan dengan tujuan yang jelas. Umpamanya, menyampaikan pengetahuan kepada pelajar merupakan tanggungjawab asas untuk mendidik mereka supaya menjadi warga berilmu.

9. Penyampaian pengetahuan kepada rakan kesepakaran pula lazimnya melalui seminar, persidangan dan penerbitan ilmiah. Untuk penerbitan ilmiah, tulisan biasanya diwasit kejituannya oleh pakar bidang sebelum diterbitkan.

10. Pemindahan pengetahuan kepada awam perlu dilakukan dengan rasa kesedaran sebagai seorang pemimpin ilmu bertanggungjawab untuk memajukan masyarakat dan bangsanya berasaskan ilmu yang bermanfaat.

11. Bersama kebebasan akademik, terpaut tanggungjawab yang besar. Sebagai seorang pempinan akademik, beberapa perkara asas berkaitan dengan keilmuan, moral dan kebenaran perlu sentiasa diberikan perhatian.

12. Nilai Teras Akademik sentiasa terikat kepada penerokaan ilmu melalui penyelidikan, menyebarkan berasaskan fakta yang sahih dan mampu mempertahankan ilmunya untuk kepentingan sejagat.

13. Ini bererti, ahli akademik hanya digalakkan bersuara mengenai perkara dalam bidang kepakaran masing-masing dan sentiasa berasaskan fakta sahih dan bukti yang kukuh;

14. Etika Akademik pula diasaskan kepada usaha meningkatkan kualiti sumbangan (kecemerlangan) dan bertanggungjawab terhadap setiap kenyataannya. Dengan kata lain, setiap fakta perlu menyatakan sumbernya dan sumbangan ahli akademik lain perlu sentiasa dihargai.

15. Mengambil fakta orang lain tanpa menyebut sumber (palagiat) merupakan kesalahan besar yang menjatuhkan maruah dan tidak dapat diterima oleh komuniti akademik;

16. Pengadil kepada ahli akademik adalah komuniti keserakanan (ahli akademik dalam bidang ilmu yang hampir sama). Mereka dapat menentukan siapa ahli akademik yang tulen, yang kurang berkualiti dan yang telah terpesong!

17. Di negara maju, isu kebebasan dan kualiti akademik jarang dibincang di khalayak ramai. Setiap ahli akademik sedar, tanpa mengamalkan nilai teras dan etika akademik, mereka akan dipinggirkan oleh golongan ilmuan sepakar.

18. Menyampaikan pandangan kepada keserakanan dan masyarakat awam perlu dilakukan secara berhemah. Tidak sahaja kita perlu menghormati pandangan orang lain, tetapi setiap penghujahan perlu memberikan pertimbangan kepada implikasinya.

19. Ini kerana ilmuan dipandang tinggi oleh masyarakat dan kenyataannya mempunyai implikasi besar terhadap kepercayaan masyarakat sehingga mampu menggugat kestabilan awam.

20. Oleh itu, saya berpendapat bukan isu kebebasan akademik yang perlu diketengahkan, tetapi yang lebih penting ialah tanggungjawab akademik. Sebagai ilmuan, ahli akademik mempunyai tanggungjawab yang berat kepada rakan kesepakaran, kepada pelajar dan kepada masyarakatnya.

21. Setiap penghujahan perlu dipertanggungjawabkan dan perlu dinilai implikasinya. Dan setiap tingkah laku akademik sentiasa diikuti dan diadili oleh komuniti kesepakarannya.

22. Begitupun, ketika negara sedang memajukan pelan transformasi ekonomi dan kerajaan, saya percaya ahli akademik boleh memainkan peranan yang besar untuk menyalurkan pengetahuan untuk pembangunan dan kesejahteraan negara.

23. Jika nasihat dan teguran disampaikan dari jiwa yang sentiasa berniat untuk menyumbang untuk kebaikan negara dan bangsa, pastinya, pandangan kita akan diterima oleh masyarakat dengan hati yang terbuka juga.

24. Di Malaysia dan banyak negara membangun yang lain, institusi akademik masih berada dalam situasi transisi dan tercari-cari identiti akademiknya. Tradisi dan budaya akademik masih belum berkembang, dihayati dan diamalkan dengan berkesan.

25. Masih belum terbentuk kelompok kesepakaran yang boleh menjadi peneraju untuk mempertahankan kecemerlangan dan kewibawaan akademik. Sesungguhnya, ahli akademik adalah benteng terakhir untuk membawa negara dan bangsanya ke jalan yang benar.

26. Walaupun negara telah mempunyai ramai ilmuan yang berwibawa, mungkin juga, ada segelintir ahli akademik yang masih mentah dan terpesong, tetapi mendapat tempat di hati pengurus akademik dan masyarakat awam.

(catatan ini diterbitkan oleh BH pada tahun 2011 ketika masyarakat mempersoalkan apakah maksud kebebasan akademik?)

IBK: 8 Julai 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s