Sidang Kemuncak Rio + 20

DSCN2937
Bario, Sarawak

1. Ketika catatan ini ditulis, kebanyakan negara sedang membuat pelbagai persediaan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Rio + 20 pada Jun 2012 iaitu satu perhimpunan pemimpin dunia untuk menilai sejauh mana masing-masing negara mengotakan janjinya ketika persidangan kemuncak Bumi di Rio deJanerio, Brazil 20 tahun lampau.

2. Khabarnya YAB Perdana Menteri Malaysia akan turut hadir dan menyampaikan pandangan dan janji negara dalam sidang kemuncak ini. Kita telah mengambil bahagian untuk memulihara kesihatan alam sekitar negara.

3. Bagi mereka yang terlupa, pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio 1992, pemimpin dunia telah beriltizam untuk memastikan semua bentuk pembangunan perlu dilaksanakan secara lestari atau mampan, jika kita mahu melihat Bumi masih boleh dihuni manusia dalam beberapa dekad akan datang.

4. Pada ketika itu, dapatan sains menunjukkan alam sekitar sedang mengalami kerosakan dan pencemaran yang kritikal sehingga mampu membantutkan ‘khidmat ekosistem’ yang selama ini membolehkan manusia hidup dengan sihat dan selesa.

5. Secara umum pembangunan lestari membawa maksud proses pembangunan yang tidak menganggu keupayaan generasi akan datang untuk meneruskan pembangunan mereka. Walaupun maksud pembangunan lestari ini mudah difahami, ia sukar diterjemahkan untuk perlaksanaan.

6. Sehingga saat ini, pendekatan yang paling praktikal untuk melaksanakan pembangunan lestari ialah memastikan pembangunan ekonomi tidak menjejas integriti alam sekitar dan sentiasa memanfaatkan masyarakat umum.

7. Mengimbas kembali pembangunan yang telah berlaku sejak lebih 20 tahun terakhir ini, apakah negara telah mengamalkan prinsip pembangunan lestari? Anda tafsirkan sahaja jawapannya.

8. Walaupun konsep pembangunan lestari telah difahami oleh pelbagai pihak, set minda dan tindakan pelakon utama pembangunan masih belum menunjukkan sifat kelestarian. Masih ramai yang mempersoalkan hasrat murni membangun secara lestari dengan pelbagai alasan kerana tidak mahu berubah daripada tabiat lama.

9. Ada yang menyatakan ini agenda Barat yang hanya mengekang pertumbuhan ekonomi negara sedang membangun. Ada juga yang memberikan alasan yang remeh seperti, kita masih perlu membangun ekonomi dengan memusnahkan hutan rimba, sedangkan mereka (barat) sudah tiada khazanah hutannya untuk dikorbankan!

10. Ada dua situasi yang menyebabkan negara masih ketinggalan dalam konteks melaksanakan agenda pembangunan lestari. Pertama, negara masih tiada dasar dan strategi yang jelas untuk melaksanakan pembangunan lestari.

11. Pada prinsipnya, pengubal dan pelaksana dasar masih belum berani keluar dari kepompong ‘model ekonomi sebagai asas pembangunan negara’. Berasaskan model ini, sama ada sedar atau tidak, sedikit demi sedikit kepentingan alam sekitar dan sosial terpaksa dikorbankan.

12. Kedua, sebahagian besar daripada pertumbuhan negara berasaskan kepada permintaan individu dan syarikat swasta untuk melaksanakan projek pembangunan bagi menjana ekonomi. Dalam keadaan begini, sebahagian besar daripada projek pembangunan adalah untuk menjana kekayaan negara melalui kepentingan industri dan kelompok kecil masyarakat.

13. Tidak hairanlah, kita sering mendengar, rungutan mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar atau kesejahteraan masyarakat umum masih terabai.

14. Kenyataan mengenai beberapa cabaran di atas, bukan bermakna Malaysia tidak menunjukkan pencapaian positif ke arah pembangunan lestari. Beberapa inisiatif peringkat institusi telah dilakukan oleh kerajaan untuk menjayakan agenda ini.

15. Antaranya, Unit Perancang Ekonomi telah melaksanakan projek untuk membangun Penunjuk Pembangunan Lestari; UKM telah mewujudkan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) untuk menyelidik dan mempengaruhi dasar negara ke arah pembangunan lestari; dan Kerajaan Selangor melalui dokumen Agenda 21 telah mengariskan perancangan strategi pembangunan lestari pada peringkat negeri.

16. Pada tahap respons masyarakat umum pula, pelbagai pihak telah menunjukkan kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan amalan lestari. Suara rakyat bertambah lantang apabila menyuarakan kepentingan menjaga alam sekitar.

17. Sementara usaha kitar semula mulai bertapak dan kini telah menjadi urusan perniagaan yang menguntungkan. Dan konsep kelestarian sektoral, seperti kelestarian pembinaan, kelestarian pertanian, dan ekonomi hijau mulai mendapat tempat dalam agenda pertumbuhan negara.

18. Pada Sidang Puncak Rio + 20 kelak, disamping mengimbau pencapaian perlaksanaan agenda 21, masyarakat dunia telah mensyorkan supaya dua tema penting diberikan perhatian khusus.

19. Pertama, ekonomi hijau daripada perspektif pembangunan lestari dan membasmi kemiskinan; dan kedua, kerangka pembangunan institusi untuk memastikan agenda pembangunan lestari dilaksanakan secara berkesan.

20. Dalam konteks pembangunan di negara kita, apakah gagasan pembangunan lestari telah bertapak dan mempunyai kerangka institusi yang boleh digunapakai? Atau negara hanya melihat konsep pembangunan lestari sebagai sebahagian daripada agenda besar ‘Pelan Transformasi Ekonomi’ dan ‘Pelan Transformasi Kerajaan’.

21. Soalnya, apakah gagasan pembangunan lestari bakal dijadikan salah satu daripada agenda sektoral, atau dilaksanakan berasaskan pendekatan syumul (holistik) yang merentas semua sektor?

22. Saya yakin Malaysia telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan dalam memupuk kesedaran di kalangan masyarakat umum mengenai peri pentingnya agenda pembangunan lestari sebagai penentu kepada kelestarian generasi akan datang.

23. Bagaimanapun, masih banyak yang perlu kita lakukan untuk memperkukuhkan kerangka institusi bagi memastikan agenda negara mengenai pembangunan lestari tercapai. Kerajaan persekutuan dan negeri perlu bersama menjayakan agenda murni ini.

24. Inilah masa yang terbaik untuk menyegarkan semula agenda negara bagi mencapai hasrat pembangunan lestari, sementara memberikan maklum balas pencapaian kita dalam Sidang Kemuncak Rio + 20 kelak.

IBK: 10 Julai 2015

Advertisements