Blueprint Pelancongan Langkawi

_DSC0566
Bakau dan Kars Batu Kapur Dayang Bunting, Langkawi

1. Pada awal tahun 2012, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi (BPL) berhasrat membawa kepulauan Langkawi setapak lagi ke arah destinasi pelancongan terunggul dunia.

2. Semasa ucapan perasmian, beliau telah menegaskan prasyarat menjadi destinasi terunggul ialah sekitaran yang bersih lagi menyegarkan. Beliau juga secara tegas telah mengarahkan CEO LADA baru untuk memberikan perhatian kepada kebersihan, khususnya di Pantai Cenang.

3. Kebersihan merupakan penunjuk kepada beberapa perkara asas untuk mengukur tahap negara maju. Kebersihan gambaran asas kepercayaan dan amalam masyarakat maju.

4. BPL telah mengariskan 14 inisiatif dalam 3 tema utama iaitu membangun produk pelancongan, mengukuhkan infrastruktur sokongan, dan komponen mempermudahkan perlaksanaan.

5. Terdapat tujuh produk pelancongan yang bakal dimajukan dan satu daripadanya ialah ‘geopark’.

6. Geopark dilihat sebagai daya tarikan penting pelancongan, khususnya pelancongan tabii (ekopelancongan) yang mampu menonjolkan keunikan warisan geologi dan biologi negara, kini diikhtiraf sebagai UNESCO Global Geopark.

7. Sempena dengan mesyuarat Majlis Profesor Negara (MPN), saya telah membawa lebih 50 orang profesor mewakili institut pengajian tinggi awam melawat Langkawi Geopark. Lawatan ini telah diketuai oleh Prof. Emeritus Dato Zakri Abd Hamid, Pengerusi MPN, merangkap Penasihat Sains, Perdana Menteri.

8. Lawatan dimulakan dengan ceramah makan malam berjudul ‘Langkawi Geopark – Innovation for Sustainable Development’, diikuti dengan lawatan ke Kilim Geoforest Park, lawatan ke geotapak, biotapak dan tapak budaya.

9. Para profesor juga di bawa berdialog bersama penduduk tempatan, bertukar pandangan mengenai bagaimana untuk memperkasa komuniti setempat dalam arus pembangunan pelancongan di Langkawi.

10. Pendedahan para profesor yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu kepada pembangunan Langkawi Geopark merupakan suatu di luar dugaan. Mereka tidak dapat membayangkan, satu cetusan idea Sains 15 tahun lampau iaitu konsep ‘pemuliharaan sumber warisan geologi’, boleh menjadi satu gerakan pembangunan wilayah.

11. Kini ia telah mendapat perhatian di peringkat kebangsaan dan global. Di luar negara, idea geopark disambut baik dan telah menjadi alat pembangunan lestari wilayah berasaskan pembangunan pelancongan.

12. Walaupun pada asalnya pembangunan pengetahuan mengenai geowarisan hanya untuk mengimbangi gagasan pemuliharaan sumber asli, khususnya keperluan memulihara warisan bukan hidupan (sumber geologi dan landskap) yang masih tertinggal di belakang berbanding pemuliharaan sumber biologi.

13. Perkembangan idea dan ilmu mengenai geopark telah mencetus keinginan untuk mengimbangi konsep pemuliharaan dan penggunaan sumber secara lestari untuk kesejahteraan komuniti setempat.

14. Oleh kerana geopark merupakan ‘alat pembangunan wilayah’, ia tidak sahaja mendorong keperluan untuk memulihara sumber warisan geologi, tetapi ia membawa sama keperluan untuk memulihara sumber warisan biologi dan budaya yang berada dalam suatu wilayah geopark.

15. Lebih menarik lagi, konsep geopark telah menggalakkan pemuliharaan warisan alam dan budaya dibangunkan secara terintegrasi. Langkawi Geopark telah memperkenalkan konsep ‘taman geoforest’, satu-satunya di dunia yang mengembeleng idea pemuliharaan warisan geologi bersama warisan hutan.

16. Kini taman geoforest Kilim, Machinchang dan Dayang Bunting merupakan kawasan pemuliharaan dan pelancongan yang paling berjaya menarik pelancong ke Langkawi.

17. Suatu yang sangat menarik ialah konsep geopark telah membawa gagasan pembangunan pelancongan yang melibatkan dan memperkasa komuniti tempatan untuk menjadi pemain utama dan menggunakan sumber warisan tempatan untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka.

18. Fenomena ini dapat dilihat apabila komuniti Kampung Kilim telah diberikan mandat untuk membangun dan mengurus aktiviti geolancongan di Taman Geoforest Kilim. Ini merupakan satu peristiwa penting dalam sejarah negara dan perubahan set minda penjawat awam.

19. Jarang sekali komuniti tempatan diperkasa sepenuhnya untuk membangunkan sumber warisan tempatan secara bersama (satu koperasi) dan untuk faedah pembangunan ekonomi wilayah.

20. Dalam sesi dialog antara para Profesor dengan wakil komuniti tempatan semasa lawatan MPN ke Taman Geoforest Kilim, peserta dapat melihat bagaimana masyarakat setempat begitu bersungguh-sungguh untuk memajukan kawasan mereka, dan berbangga untuk berkongsi pengalaman memajukan produk pelancongan di kawasan Kilim.

21. Mereka turut membincangkan beberapa isu utama seperti pemuliharan sumber warisan asli, kelestarian aktiviti pelancongan dan kepentingan kerjasama pelbagai pihak untuk memajukan kawasan ini. Penduduk tempatan kini telah menjadi pemain utama dalam pembangunan Langkawi Geopark.

22. Tahun 2012 warga dunia akan menganjurkan satu persidangan penting yang dikenali Rio + 20. Persidangan ini bakal meninjau sejauh mana pencapaian iltizam kita selepas 20 tahun Persidangan Kemuncak Bumi mengenai Pembangunan Lestari dianjurkan.

23. Apakah negara kita sedang bergerak di landasan yang betul menuju ke arah kelestarian?

24. Konsep geopark menjanjikan harapan yang tinggi untuk menyahut cabaran menjayakan gagasan pembangunan lestari. Pendekatan geopark memberikan penekanan kepada mengimbangi kepentingan pemuliharan alam sekitar dan penggunaan sumber untuk menjana ekonomi tempatan.

25. Geopark juga memberikan perhatian kepada pemerkasaan komuniti tempatan untuk terlibat sama dalam arus pembangunan. Lebih penting lagi, geopark meneroka gagasan baharu dalam sistem governans berasaskan pengurusan kolaboratif, susuai dengan iltizam warga dunia iaitu inovasi untuk pembangunan lestari.

(sebahagian daripada catatan ini pernah diterbitkan oleh BH dalam tahun 2012)

IBK: 12 Julai 2015

Advertisements