Tanah Runtuh Cetusan Gempabumi

IMG_0928
Ihsan upah kepada penduduk yang sukarela membersihkan jalan yang ditimbus tanah runtuh selepas gempa bumi.

1. Ketika Gempabumi Kinabalu bermagnitud 6.0 pada 5 Jun 2015, 18 kematian adalah disebabkan Jatuhan Batuan, dicetus oleh gegaran kuat di puncak pergunungan. Gempabumi jarang membunuh, gegaran kuatnya menyebabkan geobencana susulan yang berisiko tinggi.

2. Teringat pula pada Mac 2012, ketika membuat tinjauan lapangan impak gempabumi di Padang, Indonesia, bersama rakan kongsi penyelidik Prof Masahiro Chigira dari Kyoto Universiti, Jepun.

3. Tinjauan tersebut adalah untuk meneliti kejadian tanah runtuh yang meluas di daerah Pariaman dan Danau Meninjau, tercetus akibat gegaran Gempabumi Padang 2009 yang telah mengorbankan lebih 2500 nyawa.

4. Perjalanan dari Pariaman ke Danau Meninjau melalui Bukittinggi. Sebelum sampai ke Bukittinggi, kami menyusuri jalan yang diapit oleh gunung berapi Singgalang dan Marapi sebelum sampai di dataran meluas yang ketinggiannya mencapai 1000 m.

5. Dari Bukittinggi kami melalui jalan yang berliku-liku menuruni bukit menuju ke Danau Meninjau. Danau atau tasik ini terbentuk daripada letusan gunung berapi besar satu ketika dahulu. Kini ia menjadi kawasan pekampunganan indah dan tempat mencari nafkah penduduk tempatan.

6. Danau Meninjau yang terletak pada ketinggian 700 m dari paras laut dikelilingi oleh puluhan kampung tradisional, penduduknya berkerja sebagai petani, pesawah dan nelayan. Dan di belakang perkampungan ini tersergam lingkaran dinding batuan curam yang terbentuk daripada kawah gunung berapi.

7. Landkap budaya dan alam semulajadi di kawasan Danau Meninjau sangat indah dan mengkagumkan. Di sinilah, sasterawan nusantara terkenal HAMKA dilahir, dibesarkan dan berkaria.

8. Gempabumi kuat yang melanda kawasan Padang enam tahun lepas telah meninggalkan kesan yang luar biasa terhadap ekonomi dan kesejahteraan masyarakat tempatan. Sehingga ke saat ini impaknya masih boleh dirasai.

9. Di Padang dan sepanjang perjalanan ke Bukittinggi, kami dapat melihat rumah, kemudahan awam dan masjid musnah atau rosak teruk dan sebahagiannya masih terbiar! Kemudahan awam seperti jalan raya dan jambatan ke kawasan perkampungan masih belum terurus.

10. Penduduk kampung hanya membina jambatan sementara menggunakan batang kelapa. Sementara individu penduduk kampung masih kelihatan memperbaiki jalan dengan bantuan derma daripada kumuniti setempat.

11. Terdapat dua kawasan yang teruk di landa tanah runtuh yang dicetus oleh gegaran gempabumi, di Pariaman dan Danau Meninjau. Di Pariaman sahaja beberapa kampung musnah di landa tanah runtuh, lebih 300 orang penduduk terkorban dan ratusan yang lain hilang.

12. Ketika kami berkunjung ke sana, penduduk kampung masih menemui mayat dua beradik yang terperangkap dalam rumahnya yang tertimbus.

13. Keadaan di kawasan ini masih kelihatan seperti terbiar, penduduk yang bernasib baik rumahnya tidak terlibat menjalankan kehidupan seperti biasa, sementara perumahan baru mulai muncul di celah-celah kawasan yang di landa tanah runtuh.

14. Di Danau Meninjau, keadaannya agak berbeza. Walaupun ratusan kawasan di landa batu runtuh, banyak rumah yang musnah atau rosak, jalan utama terputus akibat beberapa jambatannya musnah – tiada pula berlaku kehilangan jiwa!

15. Apabila saya tanyakan kepada penduduk kampung di situ, mereka menyatakan apabila terdengar bunyi runtuhan batu yang sangat kuat, mereka segera meninggalkan rumah masing-masing. Ternyata mereka telah berpengalaman dengan kejadian seumpama ini dan telah mempunyai sistem melindungi diri daripada bencana ini.

16. Terdapat beberapa pengajaran daripada lawatan kami kali ini. Pertama, gempabumi kuat tidak sahaja mengegarkan dan memusnahkan bangunan dan prasarana awam, tetapi ia boleh menjadi pencetus kepada kejadian tanah runtuh yang meluas.

17. Di Pariaman umpamanya, walaupun ada bangunan yang rosak atau musnah, kematian yang besar adalah disebabkan oleh tanah runtuh. Oleh itu, dalam proses pengurangan risiko bencana alam, kita harus sedar bahawa bencana gempabumi, lazimnya mencetus bencana alam lain, dan dalam kes ini tanah runtuh.

18. Peristiwa lampau selalu memberikan kita pengajaran, bencana cetusan atau susulan inilah yang sukar di ramal dan boleh mengundang kehilangan nyawa yang lebih besar.

19. Kedua, situasi respons selepas bencana di padang sangat berbeza. Hampir tiada sokongan ‘selepas bencana’ diterima daripada pihak berkuasa tempatan kerana mereka tiada mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian!

20. Tindakan dan kerkerjasama penduduk kampung merupakan tindakan terpenting. Dalam kes di Pariaman, penduduk secara individu atau berkumpulan masih terus berusaha mencari mangsa yang masih hilang, membaiki jalan ke kampungnya, dan membaiki rumah apabila mula berkeupayaan.

21. Mereka pasrah dengan dugaan bencana alam dan kehidupan perlu diteruskan.

22. Ketiga, ketika memasuki kawasan Bukittinggi dan melihat landskap budaya – pemandangan sawah padi, masyarakat dan perkampungan – saya terpegun sejenak. Keseluruhannya kelihatan seperti pemandangan yang biasa saya lihat sewaktu kecil dahulu.

23.Jementah – tempat kelahiran saya dan puluhan kampung Melayu yang berada di kaki Gunung Ledang mempunyai pemandangan yang hampir sama 50 tahun dahulu dengan keadaan di Bukittinggi sekarang.

24. Sementara hampir semua perkampungan di Semenanjung Malaysia telah berubah wajah, kampung-kampung di daerah Bukittinggi dan Danau Menunjau masih mengekalkan keadaan tradisinya.

25. Lawatan pertama saya ke Padang dan Bukittinggi ini benar-benar mencuit hati kecil saya, lantas bertanyakan siapakah kita – rakyat Malaysia dan Indonesia.

26. Hakikatnya, kita merupakan rumpun bangsa yang sama dan berpaksikan tradisi dan budaya yang sama iaitu Melayu. Walaupun kita dari dua negara yang berbeza, pastinya kita boleh terus berkerjasama, bantu membantu dan memperkasa keistimewaan asalusul bersama.

IBK: 14 Julai 2015.

Advertisements