Minat Mempelajari S&T Merudum

_DSC1122
Pelajar sekolah menengah di San’in Kaigan Jepun menjelaskan hasil kajian saintifiknya

1. Apabila mantan Menteri Pengajian Tinggi Dato Seri Mohamad Khaled Nordin menimbulkan isu kemerosotan minat pelajar untuk mempelajari Sains dan Teknologi telah mencapai tahap kritikal ketika menyampaikan Amanat Tahun 2012, banyak pihak bersetuju dan mula mencadangkan tindakan intervensi yang diperlukan.

2. Kemerosotan jumlah pelajar Sains Tulen sehingga 29% daripada 60% yang disasarkan sangat membimbangkan. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu ini dan akan mencadangkan tindakan susulan yang sewajarnya.

3. Isu kemerosotan minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran Sains Tulen di peringkat sekolah bukan merupakan satu isu baru dan tidak boleh diselasaikan hanya dengan melihat persekitaran di sekolah sahaja.

4. Walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Kerajaan termasuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara di seluruh negara, ia masih belum memadai untuk mewujudkan sejumlah ‘pelajar berasaskan sains’ yang bakal menjadi tunjang pembangunan inovasi negara.

5. Akar umbi isu ini terletak kepada perkembangan budaya dan tradisi masyarakat tempatan, persekitaran sekolah, universiti dan pekerjaan, serta dasar pembangunan teknologi negara. Kita perlu akui, budaya tempatan berkembang pesat tanpa sokongan sains!

6. Masyarakat Melayu umpamanya dikenali daripada perspektif adat resam, pegangan agama, kebudayaan dan tradisi tempatan. Sains merupakan budaya luar yang dibawa masuk dalam beberapa dekad terakhir kerana kerajaan berpendapat ‘sains merupakan pendekatan terbaik untuk pembangunan ekonomi negara’.

7. Sehingga kini, budaya sains masih merupakan sisipan atau unsur pinggiran dalam masyarakat Malaysia. Tidak banyak yang boleh dibanggakan daripada perspektif pembangunan teknologi berasaskan sains sehingga ke saat ini.

8. Di persekitaran sekolah, mata pelajaraan sains tidak boleh di paksa kepada semua pelajar yang difikirkan mempunyai keupayaan intelek yang mencukupi. Minat sains perlu dipupuk mulai di peringkat pra-sekolah secara berterusan.

9. Kita perlu membina budaya sains daripada kalangan kanak-kanak dan menanam minat secara lestari melalui pelbagai kaedah. Di peringkat pra-sekolah umpamanya, golongan muda ini boleh didedahkan kepada ‘bagaimana sains berada di sekitaran mereka dan mampu mensejahterakan manusia’.

10. Sains adalah penerokaan mengenai alam yang mengkagumkan. Mereka dapat mengkaitkan sains dengan ‘role model’ atau ikon yang boleh menjadi aspirasi dan harapan hidup. Cetus minda kegairahan untuk meneroka keajaiban alam dari awal lagi.

11. Di peringkat sekolah menengah rendah, semua pelajar perlu mempelajari dan didedahkan dengan sains dalam bentuk yang menarik dan sentiasa memberansang minda. Asas sains (fizik, kimia, matematik) dipupuk mengikut kemampuan, dan penerokaan sains (biologi, geologi) dikembangkan untuk menjelaskan hubungan erat ‘sains dan kehidupan’.

12. Pembelajaran sains tidak cukup sekadar ‘memahami dan menghafal di bilik darjah’ sahaja, tetapi mereka perlu didedahkan kepada pengalaman di lapangan – di kawasan hutan, lombong dan industri.

13. Lawatan ke institusi penyelidikan sains mampu mengukuhkan semangat dan minat untuk terus menerokai sains. Pada peringkat ini, bukan sahaja kurikulumnya perlu baik, tetapi gurunya juga perlu cemerlang dan berinovasi.

14. Di peringkat sekolah menengah atas, kita perlu memikirkan pendekatan pembelajaran yang praktikal dan berkesan untuk menyediakan asas pembangunan modal insan mahir dan berpengetahuan.

15. Dalam konteks ini, saya berpendapat pelajar hanya dijuruskan kepada dua aliran iaitu ‘pelajar berasaskan sains tulen’ dan ‘pelajar berasaskan sains kemanusian’. Pelajar juga perlu diberikan sedikit kebebasan untuk mengambil mata pelajaran menjangkau di luar bidang pengkhususan.

16. Pemilihan aliran perlu berasaskan kepada minat dan bukan kelulusan semata-mata. Pendekatan pembelajaran pada peringkat ini pula seeloknnya diasaskan kepada membina kefahaman dan minat, dan tidak hanya tertumpu kepada hafalan. Inilah cabaran besar guru yang perlu diberikan perhatian dalam pembangunan kerjayanya.

17. Di peringkat universiti, program pengajian berasaskan sains dan teknologi lebih pelbagai, ia tidak lagi melibatkan Sains Tulen, tetapi meliputi Sains Gunaan, Sains Kesihatan, Sains Maklumat, Sains Pertanian, Kejuruteraan dan Perubatan.

18. Banyak program pengajian yang melibatkan ilmu multi-bidang, dan ada pula yang menggabungkan ilmu berasaskan Sains Tulen dan Sains Kemanusiaan. Di universiti, kefahaman Sains Tulen digunakan sebagai asas ilmu untuk pelbagai program pengajian, dan untuk meneroka serta mengembangkan ilmu baru.

19. Minat pelajar terhadap Sains dan Teknologi telah terjelma dan hanya dapat dikukuhkan di universiti melalui pelbagai peluang pengajian dan pendedahan kepada aplikasi sains untuk pembangunan negara.

20. Jika kita mahu meningkatkan minat pelajar cemerlang untuk menjurus kepada pendidikan berasaskan sains, beberapa perkara asas perlu diteliti.

21. Aliran pemikiran semasa cenderung mentafsirkan kejayaan dalam konteks keupayaan meraih harta dan kedudukan – mempunyai jawatan tinggi, rumah dan kereta besar, dan gaji yang lumayan dianggap mereka yang berjaya.

22. Walaupun keupayaan ini penting untuk kesejahteraan individu dan keluarga, asas kejayaan mutlak adalah melibatkan keilmuan, kepimpinan, kewibawaan dan sumbangan untuk mengangkat martabat bangsa dan negara.

23. Nilai ini telah semakin terhakis, dan jika terus dibiarkan akan menyebabkan kegairahan untuk meneroka ilmu di kalangan anak muda luntur, dan kelestarian minat untuk mendalami dunia sains akan turut berkubur;

24. Dalam kegairahan negara memajukan ekonomi, kita mengambil pendekatan untuk menjemput pelabur luar bersama teknologinya untuk meningkatkan keupayaan industri negara.

25. Walaupun daripada perspektif ekonomi dan prospek tenaga kerja usaha ini telah mencapai kejayaan, tetapi pada hakikatnya kita masih ketinggalan dalam memajukan keupayaan inovasi dan teknologi tempatan.

26. Pembangunan industri berasaskan teknologi luar menyebabkan negara hanya memerlukan tenaga mahir untuk mengurus dan penyelenggaraan, tetapi bukannya untuk mencipta dan memajukan teknologi sendiri.

27. Aspek ini juga telah menggugat kemajuan pendidikan Sains dan Teknologi kerana pelajar tidak dapat melihat prospek ilmu sains yang diterokai digunakan untuk pembangunan negara. Pelajar lepasan sains hanya sesuai berkhidmat sebagai guru dan pensyarah, tetapi tidak untuk bersama membangun industri tempatan.

28. Ada dua isu yang perlu ditangani melalui intervensi dasar. Pertama, bagaimana mengangkat martabat kerjaya berasaskan Sains dan Teknologi sebagai suatu yang berkedudukan tinggi, dihormati dan menjanjikan pendapatan yang lumayan.

29. Kedua, perlu ada dasar yang tidak sahaja memberikan perhatian kepada mengekalkan bakat, tetapi turut memberikan perhatian kepada menyimpan dan mengasah bakan atau inkubator bakat.

30. Dasar inkubator bakat boleh dilaksanakan oleh institusi penyelidikan awam, universiti dan swasta dengan mempelbagaikan pusat penyelidikan yang mempunyai objektif serampang dua mata – mengasah atau membekal bakat, dan menghasilkan produk berinovasi.

31. Semua pihak perlu terlibat dan berkerjasama jika negara percaya dan beriltizam untuk menerapkan budaya sains di kalangan golongan remaja Malaysia. Ibu bapa boleh menanamkan minat meneroka keindahan sains sejak anak mereka mula belajar membaca.

32. Guru mengekalkan minat ini melalui proses pembelajaran yang menyeronokan, sementara kerajaan melastarikan minat sains melalui pelbagai program dan prasarana ‘sains untuk masyarakat’.

33. Lebih penting lagi, syarikat swasta kebangsaan dan multi-national perlu mengubah set minda mereka daripada bergantung dengan teknologi luaran kepada pembangunan teknologi tempatan bagi menyediakan ruang ahli sains negara memperkenalkan inovasinya.

IBK: 16 Julai 2015

Advertisements