Rekreasi Alam Sekitar

IMG_0088
Keadaan di hujung minggu kawasan rekreasi Gunung Ledang

1. Tiga tahun lepas, saya sempat berkelah bersama keluarga di kawasan Air Terjun Gunung Ledang, Johor. Tapak perkelahan ini hanya sekitar 10 km dari Pekan Jementah di mana saya dilahirkan dan membesar.

2. Ketika zaman remaja dahulu, saya sering berbasikal untuk ke tapak air terjun ini untuk bermandi manda bersama rakan-rakan sekolah. Ketika itu, perjalanan ke tapak rekreasi ini agak mencabar.

3. Saya masih ingat, perjalanan berbasikal ke Ladang Getah Air Panas mengambil masa hampir sejam, dan selepas itu kami berjalan kaki di dalam ladang getah dan menyusur sepanjang sungai lebih setengah jam sebelum sampai ke kawasan air terjun ini.

4. Air Terjun Gunung Ledang sangat menarik dan mencabar. Ia terdiri daripada puluhan air terjun yang berketinggian antara 5 hingga 50 meter, diselangi oleh banyak jeram dan kolam sepanjang lebih 3 km.

5. Airnya yang bersih, sejuk dan menyegarkan menarik minat untuk siapa sahaja yang berkunjung mencari tempat yang sesuai untuk bermandi manda. Saya masih ingat, ketika kecil dahulu, hanya puluhan remaja yang berkunjung ke sini di hari minggu untuk beriadah bersama rakan-rakan.

6. Air terjun merupakan sejenis geotapak yang sedang saya perkenalkan sebagai sebahagian daripada warisan geologi yang perlu kita pulihara dan gunakan secara bijaksana untuk masyarakat menikmati keindahan alam.

7. Tidak banyak sungai yang mempunyai air terjun, pembentukannya memerlukan proses geologi yang istimewa. Air terjun biasanya terbentuk di kawasan pergunungan yang bertebing curam dan hanya jenis dan sifat batuan tertentu sahaja yang menggalakkan proses pembentukan air terjun.

8. Pada masa ini, Air Terjun Gunung Ledang telah dimajukan. Ada jalan kereta, tempat letak kereta berbayar, pengurus dan resort bagi mereka yang ingin bermalam di sana.

9. Jika semasa kecil dahulu, kami perlu berjalan melalui ladang getah dan persisir sungai, lawatan terbaru ini juga mempunyai cabaran tersendiri. Dari jalan besar ke air terjun, ratusan kereta beratur untuk ke tempat letak kereta.

10. Sebaik sampai di destinasi, sudah tidak ada lagi tempat kereta, kami terpaksa meletakkan di mana sahaja ruang tepi jalan yang ada. Keadaan seperti sudah tidak mampu diurus lagi!

11. Semasa berdiri di pintu masuk ke kawasan air terjun, kami dapat perhatikan ribuan manusia berpusu-pusu bergerak masuk seperti tidak berkesudahan. Ketika itu, terlintas difikiran, apakah ada ruang lagi untuk kami berkelah dan bermandi manda di air terjun ini?

12. Mujurlah, selepas lebih setengah jam menyusuri kawasan perkelahan menghulu sungai, terdapat ruang kecil untuk kami sekeluarga beriadah sambil menikmati keindahan alam tabii Air Terjun Gunung Ledang ini.

13. Ada beberapa perkara yang perlu mendapat perhatian segera dan jangka panjang. Pertama, masyarakat Malaysia sememangnya dahagakan kawasan perkelahan dihujung minggu, terutamanya di kawasan luar bandar bersama alam dan mempunyai sekitaran sungai yang jernih, air terjun dan jeram.

14. Kini kawasan begini sangat berkurangan dan jika adapun, masih belum berjaya dibangunkan dan dipromosikan dengan baik. Walaupun, Jabatan Perhutanan Malaysia telah menyediakan banyak kawasan Hutan Lipur, tetapi masih belum dikenali ramai dan kurang kemudahan awam.

15. Kedua, bagi beberapa kawasan yang telah popular seperti Air Terjun Gunung Ledang, keadaannya telah jauh melampaui keupayaan tampungan. Pada hujung minggu, suasananya seperti di Pasar Borong, pengunjung berpusu-pusu dan berebut-rebut untuk mendapatkan ruang untuk beriadah.

16. Keadaan alam tabii yang tenang dan menyegarkan, telah bertukar menjadi kawasan pesta dan restoran hidangan sendiri. Lebih menyedihkan, keindahan alam tercemar dengan sampah sarap yang dibiarkan bertaburan.

17. Ketiga, sikap kebersihan masyarakat kita masih di tahap yang mendukacitakan. Walaupun telah wujud usaha pengurusan membersihkan kawasan dan menyediakan tempat membuang sampah, pengunjung masih membuang sampah merata-rata.

18. Idea kebersihan awam bagi kebanyakan pengunjung masih belum berkembang. Sebahagian besar menganggap pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab membersihkan kawasan, maka mereka bebas membuat dan meninggalkan sampah sarap di tempat berkelah tanpa mempunyai perasaan tanggungjawab bersama.

19. Keempat, sikap atau kelakuan masyarakat awam daripada perspektif berkelah dan melancong agak luar biasa. Dalam konteks berkelah di pesisir sungai dan pantai umpamanya, dua aktiviti utama yang dilakukan ialah mandi manda dan makan makan!

20. Perkara ini diulangi, dari mula berkunjung hinggalah hampir pulang. Umumnya saya tidak dapat merasakan, apakah ada perkara lain yang mereka lakukan. Sebagai contoh berihat dan menikmati keindahan alam; merintis atau mendaki untuk kesihatan; atau mempelajari rahsia warisan alam.

21. Persoalan seperti mengapa tempat ini indah dan menyegarkan, bagaimana air terjun dan jeram terbentuk, apakah fauna dan flora penghuni kawasan tersebut dan bagaimana alam menjaga kesejahteraan kita – jarang ditanyakan.

22. Usaha kita untuk menjadikan Malaysia negara maju telah mencapai banyak kejayaan. Keupayaan untuk membangun prasarana utama seperti lebuhraya, bangunan tinggi dan rumah besar sentiasa dikagumi.

23. Kemampuan untuk menjana ekonomi negara dan meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat juga menjadi ikutan ramai. Tetapi apakah kita telah mampu mengubah minda masyarakat mengenai kepentingan nilai intrinsik?

24. Kepentingan kebersihan awam, menghormati kepelbagaian, menyintai tradisi dan warisan, dan kesihatan alam sekitar – minda begini masih belum terserlah dan suatu yang masih diangan-angankan lagi.

25. Daripada perspektif menyintai alam sekitar, bila agaknya minda masyarakat kita berubah secanggih bangunan berkembar Petronas, jambatan Pulau Pinang, lapangan terbang Kuala Lumpur, dan bandar pentadbiran Putrajaya!

IBK: 20 Julai 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s