Terokaan Seluas Lautan

DSCN0821
Lautan di perairan sekitar Pulau Sipadan

1. Pada 13 April 2012 saya telah diberikan amanah oleh Yang Berhormat Dato Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi untuk menerajui Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

2. Ini merupakan satu tanggungjawab dan cabaran besar, tetapi pada masa yang sama merupakan satu peluang keemasan untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi mengangkat martabat pengajian tinggi negara ke tahap lebih cemerlang.

3. Saya mengambil masa beberapa bulan hari untuk memahami kekuatan dan kelemahan yang ada. Dalam Syarahan 100 Hari Naib Canselor, saya sampaikan amanat, wawasan dan mimpi kami bersama untuk mengangkat martabat UMT sebagai universiti kelautan terunggul negara.

4. Sektor pengajian tinggi sangat penting diperkukuhkan sekiranya masyarakat Malaysia berhasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Peningkatan jumlah masyarakat berilmu dan berkemahiran tinggi membolehkan mimpi dan hasrat diterjemahkan menjadi kenyataan.

5. Kemajuan dalam sektor pembangunan industri memerlukan modal insan berpengetahuan tinggi, mampu menganjak inovasi sosial dan teknologi, dan berupaya mewujudkan sekitaran kelebihan bersaing untuk memacu ekonomi negara.

6. UMT merupakan sebuah institusi pengajian tingga awam yang masih muda, diisytihar berstatus universiti penuh hanya pada tahun 2007. Ahli akademik awal, kebanyakannya adalah pensyarah UPM yang berasal dari Terengganu.

7. Walaupun sejarah pewujudan telah menjangkau lebih 30 tahun, ketika itu hanya sebagai sebuah fakulti di luar kampus yang dibangunkan oleh UPM. Bagaimanapun, pembangunan sumber manusia dan prasarana universiti hanya bermula sekitar 10 tahun yang lepas.

8. Sebagai sebuah universiti awam yang ditempatkan di negeri Terengganu, UMT mempunyai tiga fungsi yang perlu dilaksanakan secara seimbang. Pertama, sebagai sebuah universiti awan, UMT perlu melaksanakan peranan membangun modal insan berbakat tinggi untuk kepentingan negara.

9. Kedua, kedudukan UMT di sebuah negeri yang istimewa membolehkan ia memberikan perhatian kepada harapan dan peluang pembangunan yang terdapat di negeri Terengganu.

10. Ketiga, sumbangan universiti perlu sentiasa menjangkau jauh merentasi sempadan negara, mempelopori pemikiran ketamadunan di Asia Tenggara untuk pemanfaatan sejagat.

11. Pada tahun 2012, UMT telah memainkan peranannya sebagai institusi pengajian tinggi melalui enam fakulti pengajian dan empat institut atau pusat penyelidikan. Tumpuan telah diberikan kepada pembangunan bakat dan tenaga mahir dalam hal-ehwal kelautan (marin).

12. Ini meliputi sains mengenai marin, sumber asli yang perlu pulihara dan terokai, dan pembangunan komuniti serta industri yang bergantung kepada sumber marin. Penegasan kepada usaha ini telah dijelmakan melalui jenama ‘terokaan seluas lautan’.

13. Dalam beberapa minggu dilantik sebagai memimpin UMT, saya sempat belajar dan memahami apakah yang telah dilakukan dan dikembangkan di semua fakulti pengajian.

14. Pada asasnya UMT mempunyai dua bentuk fakulti iaitu yang berasaskan disiplin ilmu dan sektor pembangunan negara. Ini merupakan satu kelebihan yang perlu dikukuhkan lagi bagi mencari kelainan. Dalam konteks ini, UMT berupaya membangun modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi secara terintegrasi demi pembangunan sektor industri kelautan.

15. Tiga fakulti yang bersifat penerokaan dan penyebaran ilmu berasaskan disiplin ialah Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, dan Fakulti Pembangunan Sosial. Fakulti ini boleh bertindak saling lengkap melengkapi untuk mengembang dan menjana ilmu baru berkaitan penerokaan sumber asli kelautan, aspek pengurusan dan kemanusiaan.

16. Sementara tiga fakulti yang bersifat sektor pula ialah Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin, Fakulti Agro-teknologi dan Sains Makanan, dan Fakulti Perikanan dan Akua-industri. Ketiga-tiga fakulti ini berhasrat membangun keupayaan teknologi dan kemahiran untuk memanfaatkan sumber lautan serta tanah pamah di persisiran pantai bagi pembangunan ekonomi dan sosial.

17. UMT bernasib baik kerana memilik bakat atau ahli akademik yang secara purata muda (berusia dalam lingkungan 30-40 tahun) yang bersemangat tinggi. Pada masa ini hampir 80% tenaga akademik di UMT memiliki kelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang kepakaran utama.

18. Ini merupakan satu keperluan asas menjadi ahli akademik yang cemerlang. Insan yang berbakat ini merupakan aset penting unuversiti dan perlu diberikan perhatian bagi memastikan mimpi ‘terokaan seluas lautan’ menjadi kenyataan.

19. Ketika itu, saya memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan untuk memimpin komuniti UMT menjadi peneraju pengembangan dan penerokaan ilmu untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.

20. UMT boleh mempelopori beberapa inovasi dalam pembangunan komuniti dan industri bagi meletakkan negeri Trengganu sebaris dengan negeri maju di peringkat kebangsaan.

21. Menjadi institusi pengajian tinggi negara yang disegani dalam konteks pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Dan universiti terkehadapan di rantau Asia dalam dunia keilmuan mengenai hal-ehwal kelautan.

22. Kini UMT diterajui oleh pemimpin yang baharu. Saya doakan mimpi yang dikongsi bersama oleh golongan akademik muda itu akan terus diterokai.
(Sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam Rencana BH pada Jun 2012)

IBK: 21 Julai 2015

Advertisements