Geopark Volkano Unzen, Jepun

Volkano Batur, Indonesia
Volkano Batur, Indonesia

1. Persidangan Antarabangsa Geopark UNESCO Kelima telah dianjurkan oleh Unzen Valcano Global Geopark, Jepun pada tahun 2012. Jelas persidangan ini mencapai kejayaan besar di mana hampir 700 peserta dari lebih 35 negara yang mempunyai geopark menghadirinya.

2. Langkawi Global Geopark menghantar dua orang wakil, sementera beberapa peserta mewakili Malaysia adalah ahli geologi dari UKM dan Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak yang aktif menyelidik dan membangun geopark.

3. Gunung Unzen yang terletak di Pulau Kyusu merupakan kawasan terpencil di Jepun. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, kami perlu menaiki bas ke lapangan terbang domestik Itami untuk ke Nagasaki.

4. Dari Nagasaki pula perjalan mengambil masa lebih dua jam dengan bas awam yang berhenti di setiap pekan kecil untuk ke Shimabara iaitu pusat Persidangan Geopark Gunung Unzen berlangsung.

5. Wakil Malaysia dari Sarawak telah membentangkan kertas mengenai cadangan mewujudkan geopark di sana iaitu Geopark Delta Sarawak. Inisiatif untuk mewujudkan Geopark Delta Sarawak telah dimulakan sejak 3 tahun lepas oleh beberapa agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan yang dipelopori oleh Jabatan Mineral dan Geosains Sarawak.

6. Sehingga hari ini, impian ini masih belum menjadi kenyataan. Saya doakan Delta Sarawak bakal menjadi global geopark ke-2 selepas Langkawi geopark di Malaysia dan menjadi contoh pembangunan geopark di Malaysia Timur.

7. Selain mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penasihat, Jaringan Geopark Asia Pasifik (APGN) dan mesyuarat Biro Jaringan Geopark Global (GGN) sempena persidangan ini, saya turut dijemput membentangkan kertas dasar bertajuk ‘Geopark Asia Pasifik dalam konteks geopelancongan dan pembangunan lestari wilayah’.

8. Ini merupakan aspek penyelidikan yang telah saya pelopori sejak membangunkan konsep geopark sebagai alat pembangunan wilayah luar bandar.

9. Geopelancongan merupakan produk pelancongan tabii yang mempunyai masa depan yang cerah. Ia menggunakan pengetahuan mengenai sejarah Bumi sebagai asas tarikan pelancong terhadap landskap tabii.

10. Geopelancongan tidak sahaja memperkenalkan khazanah alam – warisan geologi dan landskap – yang belum dibangunkan sebagai produk pelancongan, pengetahuan sejarah perkembangan muka bumi atau landskap mempunyai hubungan yang erat dengan keunikan kepelbagaian biologi, dan warisan sejarah serta tradisi komuniti di suatu kawasan.

11. Oleh itu, membangun produk geopelancongan dapat menggalakkan pendidikan serta penghayatan awam (pelancong) kepada sumber asli dan budaya dan tradisi setempat secara terintegrasi.

12. Dalam konteks pembangunan lestari wilayah, khususnya wilayah luar bandar yang miskin, pembangunan geopark telah berjaya mengangkat sosio-ekonomi komuniti tempatan tanpa memusnahkan sumber warisan alam dan budayanya.

13. Geopark merupakan ‘inovasi untuk pembangunan lestari’ kerana ia boleh menjadi contoh terbaik bagaimana suatu kawasan dibangunkan secara lestari.

14. Geopark bermula daripada satu wawasan bersama semua pihak berkepentingan di suatu kawasan untuk membangunkan sumber asli, ekonomi dan komuniti secara bersama.

15. Pengunaan sumber warisan secara tanpa musnah berasaskan aktiviti pelancongan dapat memastikan hasrat keseimbangan memulihara alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat dicapai.

16. Lawatan di sekitar Gunung Berapi Unzen dan mengenali masyarakatnya juga telah memberikan banyak pengajaran kepada kami. Kawasan ini telah dilanda letusan gunung berapi besar pada tahun 1991 hingga 1995.

17. Letusan berkala berlaku selama 5 tahun itu, ramai yang terkorban, ratusan buah rumah tertimbus, dan banyak kemudahan awam musnah. Dua fenomena utama yang menyebabkan kematian dan kemusnahan harta ialah aliran piroklas (campuran bongkah batu dan debu) panas ketika letusan berlaku, dan aliran lumpur di kawasan lembah di kaki gunung ketika hujan lebat.

18. Komuniti di sekitar Gunung Unzen peka dan pasrah dengan bencana letusan gunung berapi ini. Mereka segera berusaha mengatasi impak bencana, membangun semula pertempatan dan kemudahan awam untuk meneruskan hidup.

19. Tempat yang dilanda bencana, seperti rumah-rumah tertimbus, dipulihara dan dijadikan monumen peringatan untuk anak cucu mereka.

20. Sebuah pokok Pisang Kaki yang terbakar hangus dan tumbuh semula 3 tahun selepas bencana, dipulihara dan dijadikan pengajaran kepada komunitinya bahawa ‘kami boleh membangun semula seperti pokok itu’.

21. Komuniti di sekitar Gunung Unzen memperkenalkan daerahnya sebagai geopark global atas dasar kawasan yang telah beberapa kali di landa bencana alam. Mereka membuat kajian rapi untuk memahami kejadian bencana dan mengambil langkah susulan untuk pengurangkan risiko bencana di masa hadapan.

22. Di kawasan yang menyimpan rekod kejadian bencana lepas, usaha pemuliharaan dijalankan dan tapak penting ini dipelihara sebagai tapak warisan geologi. Tapak-tapak geowarisan ini dijadikan destinasi pelancong untuk mempelajari dan menghormati peristiwa bencana yang telah banyak mencorakkan budaya dan pemikiran masayarakat mengenai bencana alam.

23. Inilah asas dan sumber untuk pembangunan geopark dan geopelancongan di kawasan Gunung Unzen ini.

24. Pada masa ini ada 110 geopark global di seluruh dunia, 64 berada di Eropah, 42 di Asia Pasifik, dan masing-masing satu di Brazil, Kanada dan Afrika. Tiap satu geopark mempunyai kelainan warisan geologi dan landskapnya.

25. Di Langkawi geopark umpamanya, landskap Gunung Machinchang, Gunung Raya dan kepulauan Batu Kapur Kars dari Tanjung Rhu hingga ke Pulau Dayang Bunting memberikan nilai estetik dan keindahan alam tabii yang menjadi daya tarikan pelancong.

26. Kelainan suatu rantau umumnya ditentukan oleh geologi dan landskap, dan proses pembentukannya mencorakkan kehidupan serta warisan budaya komuniti di sekitarnya.

27. Inilah keistimewaan yang ingin diraikan oleh gagasan pembangunan geopark dan geopelancongan dalam konteks pembangunan lestari wilayah.

IBK: 24 Julai 2015

Advertisements