Meraikan Inovasi Sosial

_DSC0633
Geopelancongan Gua Wang Buluh, Langkawi Geopark

1. Masyarakat sering menuntut penyelidikan di universiti seharusnya dapat menyelesaikan masalah atau membawa faedah kepada komuniti. Sementera kerajaan pula mendesak universiti untuk melakukan penyelidikan yang dapat membangun produk atau teknologi tinggi yang mampu menjana kekayaan negara.

2. Hakikatnya, keperluan dan kepentingan penyelidikan di universiti telah berubah. Pendekatan ‘penyelidikan hanya untuk menyelidik (mencari kebenaran)’ sudah kurang relevan lagi untuk pembangunan negara.

3. Secara tradisinya, di universitilah tempat para cendikiawan (sarjana) meneroka ilmu (mencari kebenaran) dalam bidang kepakaran mereka, dan menyampaikan pula kepada pelajar dan rakan kesepakaran.

4. Dalam konteks ini, peranan ilmuan di universiti jelas berpaksikan kepada dua keperluan iaitu pengajaran (peranan pertama) dan mencari ilmu baru untuk di kongsi bersama ilmuan lain (peranan kedua).

5. Untuk peranan pertama, universiti menghasilkan sumber manusia berilmu (mempunyai keupayaan intelek yang tinggi) dan bakal menjadi tenaga kerja atau pemimpin untuk peneraju negara.

6. Sementara peranan kedua, dengan menjalankan penyelidikan di ufuk ilmu pula, para ilmuan menjadi sumber rujukan rakan kesepakaran, dan dalam keadaan terbatas oleh masyarakat berilmu dan negara.

7. Beberapa bidang ilmu yang dikembangkan di universiti akhirnya menjadi disiplin ‘ilmu ikhtisas’ seperti perubatan, kejuruteraan dan pengurusan perniagaan.

8. Dalam konteks ini, pendidikan ilmu ikhtisas telah bergerak ke arah menyediakan sumber manusia mahir yang berupaya melaksanakan tugas keikhtisasan, umpamanya sebagai seorang doktor atau jurutera dengan keupayaan tinggi.

9. Dengan berkembangkan pelbagai disiplin ikhtisas, pengajian di universiti mulai berkembang kepada dua aliran utama iaitu aliran menghasilkan manusia berilmu (pemimpin masyarakat) dan sumber manusia berkemahiran tinggi (pemimpin pembangunan).

10. Pada masa ini peranan universiti untuk menghasilkan sumber manusia berkemahiran tinggi (ikhtisas) dilihat lebih penting kerana ia dapat menyumbang kepada penyediaan ‘sumber manusia mahir’ yang boleh memainkan peranan terus untuk membangunan kesejahteraan dan ekonomi negara.

11. Banyak universiti perlu mengubah pendekatan dan penekanan dengan memperbanyakan program pengajian yang bersifat spara-ikhtisas dan ikhtisas. Anjakan ini menjadi cabaran pertama universiti ke arah menjadikan universiti lebih relevan kepada masyarakat.

12. Antaranya ialah untuk mempertahankan program yang bersifat ilmuan yang menjadi tradisi keunggulan universiti sekian, tetapi masih boleh menbantu menyelesaikan masalah negara.

13. Sementara cabaran terbaharu pula ialah untuk mengikuti kehendak keperluan sumber manusia mahir oleh pelbagai industri baharu muncul yang bersifat bermusim dan sentiasa berubah.

14. Dalam beberapa dekad kebelakangan ini pula, tuntutan globalisasi dan kepentingan bersaing talah mendorong kerajaan mengalihkan pandangan ke universiti untuk menjalankan ‘R&D Komersial’ – penyelidikan untuk membangun produk penjana ekonomi.

15. Ratusan juta dana disalurkan ke universiti setiap tahun untuk melaksanakan tugasan ini. Kelahiran enam ‘Universiti Penyelidikan’ adalah didorong daripada tuntutan baharu ini. R&D Komersial sangat berbeza dengan Penyelidikan Fundamental yang biasa diamalkan oleh ilmuan di universiti.

16. Dalam R&D Komersial, penekanan diberikan kepada penggunaan ilmu sedia ada dan dikembangkan dalam domain ‘penyelidikan bersifat gunaan dan pembangunan’ sehingga menghasilkan produk atau teknologi tinggi yang boleh dikomersialkan.

17. Di negara maju, sebahagian besar R&D Komersial dilaksanakan di sekitaran institut penyelidikan milik syarikat swasta. Ahli akademik hanya berperanan sebagai rakan kongsi membimbing atau menasihat aspek saintifik dan teknikal sahaja.

18. Tuntutan R&D Komersial masih cabaran getis yang sedang dihadapi oleh kebanyakan universiti di negara sedang membangun, khususnya Malaysia. Walaupun, telah banyak dana digunakan untuk tujuan ini, kenyataannya hasil yang diperolehi masih sangat terbatas.

19. Universiti tempatan masih belum mampu menghasilkan formula yang berkesan untuk menangani cabaran mengimbangi antara penyelidikan fundamental dan R&D Komersial.

20. Ini berpunca daripada keterbatasan menganjak paradigma ilmuan yang cenderung dengan penyelidikan fundamental (meneroka ilmu) kepada penyelidikan pembangunan (menterjemah limu menjadi produk berteknologi tinggi).

21. Pada masa yang sama, pertumbuhan kebanyakan industri tempatan masih kurang mengamalkan teknologi sendiri (watan) membatasi kesegaran pembinaan rakan kongsi universiti – industri untuk faedah bersama.

22. Idea memperkenalkan Peranan Ketiga Universiti (pemindahan ilmu kepada masyarakat) mulai diterima oleh ilmuan di universiti. Mungkin ini boleh dijadikan asas menjalin hubungan yang lebih senergi antara universiti dan masyarakat.

23. Pada masi ini, belum ada dasar perkhidmatan yang jelas bagaimana peranan ketiga ini boleh dilaksanakan secara berkesan dan kebanyakan ahli akademik pula masih belum bersedia untuk melakukannya.

24. Jika kita dapat melihat daripada perspektif yang berbeza, kita mungkin dapat mengatasi sebahagian daripada cabaran yang dikemukakan oleh masyarakat dan kerajaan ke arah menterjemah penyelidikan kepada inovasi yang dapat dimanfaatkan.

25. Dalam konteks ini, saya mencadangkan kita melihat perspektif sumbangan akademik dalam tiga bentuk: inovasi ilmu, inovasi teknologi, dan inovasi sosial. Jika inovasi ilmu memberikan tumpuan kepada penjanaan ilmu baru (melalui penerbitan ilmiah), inovasi teknologi melibatkan pembangunan produk berteknologi tinggi untuk menjana kekayaan negara.

26. Inovasi sosial ialah apabila kepakaran dan dapatan penyelidikan ahli akademik mampu dipindahkan atau digunakan oleh komuniti untuk meningkatkan kesejahteraan dan sosio-ekonomi mereka.

27. Universiti di negara membangun perlu memberikan perhatian penting untuk membangun inovasi sosial. Dalam konteks ini, pemindahan ilmu ke arah mengubah set minda, meningkatkan kesedaran kepentingan ilmu, dan terjemahan ilmu menjadi sumber menjana pendapatan baru perlu dijadikan asas dalam inovasi sosial.

28. Inovasi sosial boleh bersifat formal atau informal seperti program ‘pembelajaran sepanjang hayat’ untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat. Ia juga boleh bersifat idea bernas yang boleh dilaksanakan seperti gerakan kooperasi, tabung haji atau geopark.

29. Atau gagasan perubahan minda yang membawa kepada kepercayaan komuniti yang membawa faedah jangka panjang seperti perpaduan bangsa, pengurangan jenayah, pemuliharaan sumber warisan dan alam sekitar, atau amalan berjimat cermat.

30. Pengukuran keberkesanan inovasi sosial tidak seharusnya hanya berlandaskan kepada nilai komersial idea, ilmu atau produk yang boleh menjana kekayaan (ekonomi). Sebaliknya, ia perlu diasaskan kepada impak sosialnya seperti perubahan tabiat atau kelakuan individu, komuniti atau masyarakat yang menguntungkan atau menjimat perbelanjaan.

31. Ini termasuk memberi impak kepada pengurangan gejala negatif dan meningkatkan tindakan proaktif dalam pembangunan negara. Akhirnya, inovasi sosial mampu membawa perubahan kepada pembinaan tamadun bangsa Malaysia yang dihormati di peringkat dunia.

(Sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam BH pada akhir 2013)

IBK: 27 Julai 2015

Advertisements