Pulau Balambangan, Sabah

Ahli Sains meneroka geowarisan Gua di Pulau Balambangan

1. Antara pembangunan dan pemuliharaan Pulau Balambangan yang telah terletak di utara Semenanjung Kudat, Sabah telah lama mendapat perhatian awam. Baru-baru ini, dalam satu seminar pihak berkepentingan mengenai pengurusan pulau di Sabah, kedudukan Pulau Balambangan telah dibangkitkan lagi.

2. Saya telah dijemput untuk memberikan pandangan saintifik mengenai nilai pulau ini. Kebetulan, beberapa tahun yang lepas, saya bersama rakan akademik di UKM telah membuat kajian mengenai potensi geowarisan Pulau Balambangan dan Banggi.

3. Kajian mengenai sumber geologi yang boleh dieksploitasi di Pulau Balambangan telah dilakukan pada awal tahun 1960an. Ketika itu, ahli geologi masih belum membangunkan konsep geologi pemuliharaan dan penggunaan sumber secara tanpa musnah.

4. Kajian awal itu mendapati pulau ini mengandungi sumber batu kapur dan pasir silika yang sesuai dilombong sebagai sumber komoditi dan industri. Ini tentunya dapat menghasilkan sumber ekonomi Sabah.

5. Kajian yang kami lakukan pada akhir tahun 1990an daripada perspektif nilai saintifik dan budaya mendapati pulau ini mempunyai nilai warisan geologi (geowarisan) yang sangat tinggi.

6. Pulau Balambangan mempunyai kepelbagaian geologi yang tinggi dan unik, mula terbentuk sejak 60 juta tahun lampau, dan proses geologi (pengendapan dan pengangkatan) berterusan hingga ke saat ini.

7. Sekiranya kepulauan Langkawi terbentuk pada 550 juta tahun lampau, dan proses geologi berhenti pada 200 juta tahun lalu menjadikan ia kawasan pembentukan bumi tertua di Malaysia, Pulau Balambangan pula merupakan pembentukan bumi termuda di Malaysia.

8. Batuan termuda dikenali sebagai batu kapur Formasi Bongaya dan Timohing terbentuk daripada batu kapur berfosil (karang dan hidupan laut) berusia antara sepuluh hingga dua juta tahun lampau. Jika kita ingin mengetahui kehidupan laut ketika itu, di sini tempat paling sesuai untuk mempelajari.

9. Kita boleh bandingkan hidupan karang yang hidup pada zaman itu dengan terumbu karang yang masih hidup di perairan Sabah kini. Batuan ini merupakan rekod sejarah geologi penting Malaysia dan perlu dipulihara untuk generasi akan datang.

10. Lebih menarik lagi, di pulau ini terdapat lebih 20 gua batu kapur. Kami sempat memetakan empat daripada gua tersebut. Walaupun kebanyakan gua di sini bersaiz kecil hingga sederhana, binaan dalaman gua sangat indah dan unik.

11. Binaan gua seperti stalaktit, stalakmit, batu aliran dan pelbagai bentuk speleotem yang masih belum terganggu merupakan warisan yang tidak ternilai harganya. Gua juga merupakan tempat paling baik untuk kajian arkeologi dan iklim masa lampau.

12. Sumber geowarisan di Pulau Balambangan, jika dipulihara dan diurus dengan baik, bakal menjadi produk pelancongan penting di kepulauan Banggi ini. Pastinya ia dapat membawa hasil lumayan kepada penduduk tempatan dan ekonomi negeri.

13. Daripada perspektif saintifik, Pulau Balambangan mempunyai nilai warisan unggul dan sesuai diisytihar sebagai tapak warisan (geotapak) kebangsaan. Ia mewakili rekod lapisan batuan termuda di Malaysia dan mempunyai keunikan dalam kepelbagaian geologi, keindahan landskap dan kepelbagaian biologi yang tinggi.

14. Batu kapur di pulau ini bukan jenis padat dan bersih, oleh itu tidak mempunyai nilai tinggi untuk perlombongan. Kuantiti atau isipadu batu kapur kecil dan boleh habis dilombong dalam masa puluhan tahun sahaja.

15. Kerja perlombongan juga memerlukan biaya yang tinggi dan kurang menguntungkan kerana kos pengangkutan laut ke daratan yang besar.

16. Satu-satunya sumber yang bernilai ekonomi untuk di lombong di pulau ini adalah pasir silika kerana taburannya agak meluas. Bagaimanapun, oleh kerana ketinggian permatang pasir ini tidak melebihi 2 meter dari paras laut, perlombongan akan menyebabkan perluasan kawasan laut yang boleh membawa implikasi alam sekitar yang besar.

17. Perlombongan pasir silika tidak sahaja mengubah morfologi Pulau Balambangan yang indah ini, tetapi akan mendedahkan lautan lepas untuk menghakis Pulau Banggi yang kaya dengan sumber hidupan laut.

18. Jika perlombongan di Pulau Balambangan diteruskan, ia boleh membawa impak negatif kepada penduduk di Pulau Banggi dan kepupusan warisan alam unggul di sini.

19. Perlombongan di pulau bersaiz kecil sememangnya tidak sesuai kerana ia akan mengganggu ekologi pulau dan menyebabkan perubahan proses lautan yang merosakan alam sekitar. Tambahan pula, sumber geologi di sini bukan begitu berkualiti sehingga memberikan pulangan ekonomi yang tinggi kepada komuniti dan negeri.

20. Pulau ini mempunyai keunikan alam yang perlu dipulihara sebagai warisan negara, dan berpotensi tinggi dibangunkan sebagai destinasi geopelancongan utama di utara Sabah.

21. Hakikatnya, dalam penilaian terakhir, Pulau Balambangan mempunyai kepentingan strategik untuk dipulihara dan dibangunkan secara tanpa musnah. Inilah bentuk pengurusan alam sekitar paling sesuai daripada perspektif pembangunan lestari.
IBK: 31 Julai 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s