Politik & Masa Depan Negara

DSC_5280
Maliau Basin, Sabah

1. Ucapan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri, YAB Dato Seri Najib Abdul Razak kerana berani merombak Karbinat pada saat Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara.

2. Lebih-lebih lagi keupayaan menggugurkan Timbalan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri. Secara tradisinya, pemimpin nombor dua parti yang telah mendapat sokongan akar umbi juga menjada orang nombor dua Negara.

3. Penyusunan semula kepimpinan pentadbiran negara bukan bererti, semua cabaran boleh diatasi. Sebaliknya ia memberikan ruang kepada Pucuk Pimpinan mengatur pasukan dan strategi baharu untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran getis yang belum pernah dialami oleh warga negara berdaulat ini.

4. Sebagai mantan Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu, saya merasa amat gembira kerana status Kementerian Pendidikan (Pengajian) Tinggi dikembalikan semula. Ini merupakan langkah bijak meneroka potensi kepimpinan ilmu sebagai asas membina negara yang mampu membangun inovasi ilmu dan teknologi untuk mencapai wawasan negara maju 2020.

5. Lebih manis lagi, jika Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi digembeleng bersama Pendidikan Tinggi untuk mewujudkan kesatuan ilmuwan berinovasi luar biasa. Ini kerana pada masa ini sumber kepakaran dan ilmuwan digembeleng secara bersama.

6. Pada prinsipnya sebuah negara maju, berwawasan dan dihormati terbina berasaskan gabungan tiga sumber utama: sumber manusia, sumber asli dan kepimpinan berwawasan. Warga adalah aset utama dan modal insan negara yang perlu diberikan perhatian tinggi.

7. Negara perlu akui, Malaysia terbina daripada bangsa majmuk dengan pelbagai agama dan kepercayaan, tetapi didasari oleh bangsa Melayu (termasuk Bumiputera), dan cirian perlu menjadi asas pembentukan sebuah negara bangsa bersatu padu yang berpegang kepada nilai-nilai murni.

8. Status semasa bangsa Malaysia, umumnya mempunyai asas pendidikan yang tinggi, kedudukan ekonomi yang baik dan pegangan amalan tradisi yang kukuh. Dengan munculnya gagasan Generasi-Y yang terdedah kepada senario amalan global, penilaian semula konsep ‘bangsa Malaysia’ perlu dilakar semula.

9. Seluruh warga Malaysia perlu menerima corak pemikiran terbaharu dengan melihat gabungan kepelbagaian nilai dan harapan. Kepimpinan negara perlu mengambil kira cirian modal insan begini bagi membina dasar pembangunan dan mengurus negara.

10. Kepimpinan negara juga perlu melihat Alam Sekitar dan Sumber Asli sebagai sumber terpenting negara. Malaysia sangat bernasib baik kerana dirahmati dengan sumber minyak dan gas bumi yang banyak, sumber mineral, batuan dan hutan yang meluas, kepelbagaian biologi, sumber air bersih yang melimpah dan tanah pertanian yang subur.

11. Bayangkan banyak negara dunia lain kekurangan dan ketiadaan sumber asli, dan sentiasa berhadapan dengan cabaran besar untuk mengurus negara. Jika pengurusan sumber ini tidak dilakukan secara lestari, negara bakal berhadapan dengan krisis sumber asli yang turut mencetus keharmonian masyarakat dan kestabilan ekonomi.

12. Kementerian Sumber Asli perlu diberikan peranan besar untuk menjadikan agenda Pembangunan Alam Sekitar sebagai wawasan negara yang kedua terpenting selepas pembangunan modal insan.

13. Dengan dasar yang jelas dan amalan yang baik, negara mampu mengurus sumber asli dan alam sekitar berasaskan gagasan Pembangunan Lestari. Kita perlu beriltizam menjadi peneraju amalan kelestarian yang dihasratkan untuk mengharungi abad ke-21 ini.

14. Lebih penting lagi, negara maju dan dihormati perlu mempunyai kepimpinan yang berilmu, berwawasan, beretika dan berjiwa besar bagi memimpin komuniti negara dan dunia. Kepimpinan tidak sahaja berkaitan dengan Pemimpin Politik dan Pentadbiran Kerajaan, tetapi melibatkan kepimpinan dalam konteks meluas.

15. Setiap sektor masyarakat perlu mempunyai pemimpin dan kepimpinan yang berwawasan. Ini meliputi kepimpinan ilmuwan (Sarjana), kepimpinan kerohanian (para Ulama), kepimpinan komuniti dan badan bukan kerajaan (pemimpin Madani), kelompok masyarakat, perniaga, badan sukan dan pelbagai lagi.

16. Perhatian perlu diberikan kepada Pemimpin Ilmu, khususnya pemimpin mendahului zaman. Mereka yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu Sains dan Kemanusiaan, Teknologi, Perubatan dan Kejuruteraan merupakan pemimpin modal insan terkehadapan, berjiwa besar, dan sanggup meneroka untuk kelestarian dan kebaikan masyarakatnya.

17. Pihak kerajaan dan masyarakat perlu memberikan ruang kepada pembangunan kepimpinan pelbagai sektor ini jika berhasrat menjadi sebuah negara maju yang dihormati. Pada masa ini, negara kehausan pemimpin yang berjiwa besar dan yang mendahului bangsanya.

18. Kepimpinan pentadbiran (politik) terbaharu mempunyai peluang untuk menilai kembali cabaran getir yang sedang dihadapi negara, merancang dan membina strategi untuk mengatasinya.

19. Lebih penting lagi, untuk membina semula kepercayaan masyarakat kepada kewibawaan dan kejujuran kerajaan yang memerentah bagi menaungi warganya. Masanya untuk bersatu hati, berjiwa besar dan menghormati kepentingan ramai demi kepentingan negara.

20. YAB Perdana Menteri Malaysia telah memilih barisan kepimpinan pentadbiran untuk meneruskan agenda besar menjadi negara maju acuan sendiri dan berpendapatan tinggi. Beliau perlu juga didampingi oleh sejumlah ilmuwan yang berupaya menempatkan ilmu ditempatnya, dan menggunakan ilmu untuk kebaikan bangsa dan masa depan negara.
IBK: 10 Ogos 2015

Advertisements