Penilaian Status Langkawi Geopark

Langkawi Geopark
Langkawi Geopark

1. Pakar Antarabangsa UNESCO, Pablo Rivas Palomo dari Spanyol dan Pasquale Li Puma dari Itali baharu sahaja selesai menjalankan misi penilaian semula Langkawi Global Geopark pada 1 hingga 4 Ogos lepas..

2. Penilaian ini penting bagi memastikan Langkawi kekal sebagai ahli Jaringan Geopark Global (GGN) untuk empat tahun akan datang. Penilaian semula pertama berlangsung tahun 2011 menyaksikan Langkawi Geopark diberikan ‘kad hijau’.

3. Pada masa ini, dunia mempunyai 111 warga Jaringan Geopark Global mewakili 32 negara. Eropah dan China memiliki geopark global terbanyak, Malaysia hanya memiliki sebuah global geopark iaitu Langkawi yang telah dinobatkan pada 2007.

4. Bagi mereka yang belum mengenali gagasan ini, geopark ialah kawasan memiliki warisan geologi bertaraf antarabangsa yang sedang dibangunkan berasaskan konsep ‘pembangunan lestari’.

5. Pembangunan lestari memberikan tumpuan kepada usaha pemuliharaan warisan, menjayakan aktiviti pelancongan dan pendidikan awam, serta meningkatkan sosio-ekonomi komuniti tempatan secara terintegrasi.

6. Pada hari pertama, para penilai telah di bawa ke Kilim Geoforest Park iaitu kawasan pemuliharaan yang mengabungkan warisan tanah bencah dan landskap batu kapur Kars.

7. Di Kilim mereka didedahkan kepada pengurusan geopelancongan oleh koperasi nelayan tempatan. Usaha membawa bersama komuniti untuk menjana ekonomi melalui pelancongan ilmu adalah asas penting membangun sebuah geopark yang mantap.

8. Petangnya pula, mereka telah di bawa melawat Machinchang Geoforest Park. Pergunungan Machinchang adalah kawasan berpandangan indah yang mempersonakan. Lebih daripada itu, batu pasir pembentuk pergunungan ini berusia 550 juta tahun lampau mewakili batuan tertua di Malaysia.

9. Pada tahun 2014, Gunung Machinchang pertama kali menerima pengunjung mencecah satu juta orang – terbanyak untuk suatu geotapak. Langkawi geopark perlu mengambil kesempatan menyediakan prasarana pendidikan awam berstrategi bagi menjayakan wawasan murni pembangunan lestari.

10. Pada hari berikutnya, Pablo and Pasquale telah di bawa ke Dayang Bunting Geoforest Park. Di sini mereka dapat melihat keindahan landskap batu marmar dan Tasik Dayang Bunting. Lokasi ini telah menjadi tempat singgahan pelancong melalui aktiviti ‘melawat pulau-pulau’ sejak 15 tahun terakhir.

11. Sejak setahun terakhir ini geotrail Dayang Bunting telah diurus oleh Lada Eco sebuah anak syarikat LADA bagi meningkatkan kecekapannya. Saya perhatikan, banyak inisiatif baharu diperkenalkan untuk pendidikan awam dan keselesaan pengunjung. Perkembangan positif beginilah yang ingin dilihat oleh para penilai.

12. Selama empat hari menilai perkembangan Langkawi Global Gropark, kedua-dua penilai sempat di bawa berjumpa beberapa rakan kongsi geopark, antaranya Hotel Four Seasons, Kompleks Kraftangan Langkawi, Sekolah Geopark Kedawangan, Warong Nasi Dagang Pak Malau dan Laman Padi.

13. Pelbagai inisiatif memperkasa aktiviti geopark dapat mereka perhatikan. Di Hotel Four Seasons umpamanya, kemudahan Pusat Pendidikan Geopark telah menarik ramai pelanggannya berkunjung dan mempelajari keunikan alam Langkawi.

14. Di Sekolah Geopark Kedawang, mereka didedahkan kepada pelbagai aktiviti ko-kurukulum yang menyokong gagasan geopark. Antaranya program seni berasaskan konsep kitar semula, mengenali warisan tempatan dan kepimpinan geopark.

15. Di Warong Pak Malau, para penilai pula disajikan dengan makanan asli dan budaya Melayu iaitu komuniti pribumi di Langkawi Geopark. Sementara di Laman Padi, mereka melawat Museum Padi bagi menghayati tradisi bersawah komuniti tempatan sejak turun temurun lamanya.

16. Status Langkawi sebagai Geopark Global penting untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke destinasi unik, diikhtiraf oleh UNESCO sebagai jenama berkualiti dunia.

17. Lebih penting lagi, seluruh warga Langkawi perlu berkerjasama dan beriltizam untuk menjadikan Langkawi contoh pengintegrasian ‘pembangunan dan pemuliharaan’ bagi mencapai pembangunan lestari.

18. Kini seluruh masyarakat Malaysia mulai mengenali wawasan geopark sebagai alat pembangunan lestari dan berbangga dengan pencapaian Langkawi Geopark.

19. Penilaian berkala empat tahun sekali oleh pakar antarabangsa adalah cara terbaik untuk memastikan pembangunan dan halatuju Langkawi geopark berada pada landasan yang tepat.

20. Ia memberikan peluang kepada semua pihak berkepentingan membuat persediaan berterusan bagi meningkatkan kualiti pembangunan dan produk pelancongan. Ia juga dapat merapatkan hubungan dan meningkatkan kepercayaan semua pihak ke arah mencapai suatu hasrat murni.

21. Kita dapat menyaksikan usaha menjayakan wawasan Langkawi Geopark tidak mampu dilaksanakan oleh satu pihak sahaja. Walaupun Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ramli telah berusaha gigih untuk mengekalkan status Global Geopark, pelbagai rakan kongsi perlu memainkan peranan penting untuk menyokongnya.

22. Langkawi Geopark bertuah kerana mempunyai ramai rakan kongsi, terutamanya Pusat Penyelidikan Langkawi UKM, koperasi komuniti tempatan, Jaringan Perhotelan Langkawi, pentadbiran sekolah dan Rakan Langkawi Geopark (FLAG) telah bersama-sama menjayakan agenda ini.

(catatan ini telah diterbitkan oleh BH pada awal Ogos 2015)

IBK: 15 Ogos 15

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s