Pelajar Minda Kelas Pertama

1. Mantan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pendidikan Malaysia Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan semua pelajar lepasan IPTA perlu lulus dan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa global.

2. Ini merupakan pandangan ke hadapan kerajaan yang perlu disahut oleh semua warga IPTA. Sebagai golongan terpelajar, bakal pemimpin bangsa dan warga global – pelajar IPTA tiada pilihan lain, melainkan menguasai bahasa Inggeris.

3. Melihat kepada kualiti akademik pelajar baharu masuk ke universiti awam (UA), saya tidak mempunyai keraguan, mereka telah bersedia menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri itu. Pencapaian penilaian bahasa Inggeris (MUET) terus meningkat, purata pelajar adalah dalam Band 3, dan peratus mendapat Band 1 dan 2 adalah semakin rendah.

4. Oleh itu, intervensi UA untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bukan suatu yang mencabar, dan boleh diatasi sepenuhnya dalam masa beberapa tahun akan datang. Ini jika UA mempunyai strategi pembelajaran yang berkesan.

5. Tetapi apakah dengan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar UA, kita telah menyelesaikan isu kebolehpasaran graduan atau telah berjaya menghasilkan graduan berminda kelas pertama? Apakah graduan lepasan UA mempunyai sikap dan iltizam kecemerlangan yang tinggi?

6. Apakah mereka telah bersedia menjadi pemimpin pelapis berkualiti dan berwibawa negara? Dan pemimpin yang cintakan warisan bangsanya? Inilah persoalan besar yang perlu diberikan perhatian secara berterusan.

7.Pengalaman sebagai ahli akademik di UA selama hampir 40 tahun meyakinkan saya, cabaran asas dalam pendidikan tinggi negara terletak kepada strategi institusi universiti memperkukuhkan keupayaan pelajar dalam tiga perkara pokok berikut:

a) Keinginan dan iltizam menjadi cemerlang, menguasai bidang ilmu dan percaya ilmu yang diraih penting untuk pembangunan bangsa dan negara;

b) mempunyai sikap yang positif terhadap menuntut ilmu, membina keyakinan diri, dan bersedia untuk berbakti dan menyumbang; dan

c) mempunyai kemahiran berkomunikasi secara berwawasan, logik dan tahap sintisis yang tinggi.

8. Sejumlah pelajar yang masuk ke UA tidak mempunyai keinginan dan iltizam untuk menjadi cemerlang. Dorongan utama untuk belajar di universiti datangnya dari luar, bukannya dari jiwa yang dahagakan ilmu.

9. Sebahagian besar pelajar pula dipengaruhi oleh ibu bapa yang melihat masuk ke UA sebagai simbol kejayaan dalam masyarakat, ada yang didorong oleh langkah untuk mendapatkan ijazah dan seterusnya pekerjaan.

10. Lebih membimbingkan lagi, ijazah sebagai pra-syarat untuk mencari harta dan kekayaan!

11. Di mana salahnya kita mendidik generasi muda semasa? Apakah nilai kebanggaan hidup yang sering ditonjolkan kepada mereka? Apakah erti kejayaan hidup generasi muda kini? Siapakah idola yang menjadi kekaguman mereka?

12. Ternyata, persaingan untuk mendapatkan keputusan pepereksaan semua A; mereka yang kaya; superstars; mereka yang pandai melawak; dan pemimpin politik kepartian adalah lambang kejayaan!

13.Sedangkan nilai murni yang terdapat kepada guru dan ilmuwan; para ulama; pemimpin masyarakat yang cintakan budaya dan tradisi bangsa – dilihat kurang penting bagi golongan generasi-Y ini.

14. Dalam konteks sikap positif terhadap menuntut ilmu bukan lagi menjadi pegangan hidup sebahagian besar penuntut IPTA. Sifat yang paling ketara ialah apakah yang perlu disediakan oleh UA untuk mereka – kepentingan diri.

15. Mereka memilih kursus atau pensyarah yang mudah untuk lulus. Mereka sudah kurang untuk membaca sumber ilmu, sebaliknya mengharapkan semua bahan pengajaran disediakan oleh pensyarah.

16. Usaha untuk membina keyakinan diri kurang diberikan perhatian sehingga usaha untuk meneroka ilmu dan aktiviti pembangunan kendiri bukan menjadi amalan yang terserlah dalam kehidupan di kampus.

17. Masyarakat awam atau bakal majikan sering mempersoalkan keupayaan graduan untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sebetulnya sebahagian besar daripada mereka yang kurang berkeupayaan berbahasa Inggeris ialah mereka yang juga lemah berkomunikasi dalam bahasa Melayu!

18. Isunya bukan sekadar kemahiran berbahasa, tetapi keyakinan diri yang rendah. Keyakinan diri adalah masalah pokok yang menyebabkan pelajar tidak mempunyai iltizam untuk cemerlang, dan tidak dapat menonjolkan kekuatan atau keistimewaan diri.

19. Tidak mempunyai iltizam and keinginan untuk menjadi warga berwibawa dan dahaga untuk menyumbang kepada bangsa dan negara.

20. Walaupun amalan di kebanyakan UA ketika ini yang memberikan tumpuan tinggi kepada program pengajian bagi mengukuhkan penguasaan bidang ilmu adalah cemerlang dan setanding dengan universiti terkemuka dunia.

21. Tumpuan yang berlebihan, tanpa memberikan ruang untuk pelajar membangunkan diri secara holistik menyebabkan timbulnya persepsi masyarakat – graduan dari UA tempatan lemah komunikasi, khususnya dalam bahasa Inggeris.

22. Di UMT umpamanya, mereka memberikan perhatian yang tinggi kepada strategi pembangunan holistik pelajar. Pelajar perlu didedahkan kepada kepentingan bersikap positif terhadap pembangunan kendiri dan menghargai kepelbagaian.

23. Mereka mengwujudkan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal bagi menyediakan ruang untuk pendidikan sepanjang hayat, khususnya berbentuk informal dan non-formal pelbagai kursus liberal, termasuk bahasa, ketamadunan, kesenian, kebudayaan, rekreasi dan alam sekitar.

24. Tentunya penguasaan bahasa Inggeris merupakan pra-syarat untuk memperluaskan ilmu dan membina keyakinan diri. Tetapi membina keyakinan diri dan menyintai kepelbagaian ilmu juga pra-syarat pelajar berminda kelas pertama.

(Sebahagian daripada catatan ini telah diterbitkan dalam BH September 2014)

IBK: 20 Ogos 2015

Advertisements