Menghargai Ilmuwan Terbilang

FullSizeRender
Bersama Prof Zhijiu Cui, 83 di Chinese Volcanic Geopark Forum, Yandangshan China

1. Ketika diundang untuk menyampaikan kertas dasar di ‘Chinese Volcanic Geoparks Forum 2015’ di Yandangshan, China saya terpegun apabila berjumpa tiga profesor terkenal yang usianya menjangkau 80an. Mereka turut dijemput untuk menyampaikan ucaptama saintifik.

2. Prof Kuiyuan Tao, 81 tahun memberikan syarahan mengenai volkanisme di China Selatan, Prof Anze Chen, 82 tahun mengulas pencapaian aktiviti geopelancongan di Geopark China, sementara Prof Zhijiu Cui, 83 tahun menghurai evolusi landskap Yandangshan berpotensi sebagai warisan dunia.

3. Saya teringat ketika negara mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, hanya tiga buah fakulti iaitu Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Fakulti Pengajian Islam disediakan.

4. Fakulti Sains mempunyai lima Jabatan iaitu Fizik, Kimia, Matematik, Biologi dan Geologi. Geologi diketuai oleh Prof Tjia Hong Djin, 82 yang boleh dianggap ‘pengasas Geologi Struktur di Malaysia dan Indonesia’, kini telah bersara lebih 20 tahun lamanya.

5. Dalam perkembangan Fakulti Sains UKM, sementara jabatan lain berkembang menjadi fakulti dan pusat pengajian baharu, Jabatan Geologi kekal sebagai jabatan dan kemudiannya dikecilkan menjadi sebuah program pengajian sahaja.

6. Walhal, hampir semua ilmuwan dan peneraju bidang Geologi atau Sains Bumi negara dihasilkan oleh sama ada Universiti Malaya (UM) atau UKM. Sehingga kini, negara masih kekurangan ahli dan pakar Geologi untuk menerajui pelbagai pembangunan negara.

7. Dalam dua dekad terakhir, saya perhatikan paradigma memperkasa golongan muda giat dilaksanakan. Ini adalah gerakan yang berwawasan dan memandang ke hadapan khususnya dalam sektor pekerjaan melibatkan aspek teknikal dan profesional. Negara memerlukan warga muda bertenaga dan berpengetahuan terkini untuk menggerakkan pertumbuhan industri.

8. Begitupun, bagi ilmuwan atau sarjana, sumbangan pemikiran, penerbitan, pengalaman dan kebijaksanaan merupakan aset yang perlu dikumpul dalam masa panjang. Pemikiran bernas dan kebijaksanaan terbina atas pengalaman yang meluas.

9. Umumnya, ahli akademik sesuai dilantik sebagai Profesor apabila usia menjangkau hampir 50 tahun, menjadi Profesor berwibawa selepas berusia 60 tahun. Oleh kerana perananya melibatkan ‘pemikiran dan penjanaan ilmu’, mereka masih mampu menyumbang sebagai pemikir negara dan dunia walaupun usianya telah menjangkau lebih 80 tahun!

10. Di Malaysia, ahli akademik (ilmuwan) adalah sebahagian daripada ‘pegawai kerajaan’ dan bersara pada usia 55 tahun (kini ditingkatkan kepada 60). Sebaik sahaja mereka dilantik sebagai profesor, mereka perlu membuat persediaan untuk bersara.

11. Malang sekali bagi negara, kehilangan khidmat pemikir dan ilmuwan pada usianya yang masih begitu muda! Jika negara memerlukan ramai ‘pemikir mendahului zaman’, usia persaraan ahli akademik, khususnya para profesor perlu dipertimbangkan semula.

12. Berbalik dalam bidang geologi, kini negara mempunyai Akta Ahli Geologi sebagai alat mengawal kualiti sumbangan ahli geologi dalam sektor petroleum, perlombongan, kejuruteraan dan alam sekitar.

13. Oleh itu, kualiti penyampaian pendidikan bidang geologi di universiti perlu ditingkatkan. Profesor berpengalaman perlu dikekalkan bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan memenuhi aspirasi modal insan unggul negara.

14. Di UKM umpamanya, para profesor berpengalaman seperti Prof Basir Jasin, 65 (Paleontologi), Prof Hamzah Mohamad, 64 (Petrologi), Prof Abdul Ghani Rafek, 61 (Geologi Kejuruteraan) adalah ilmuwan yang telah bersara. Ketiadaan mereka menjejas kewibawaan program Geologi yang sedang ditawarkan kini.

15. Amalan semasa menunjukkan sebahagian besar para Profesor di Malaysia meninggalkan kerjaya sebagai ahli akademik (ilmuwan) apabila mencapai usia 60 tahun. Hanya sebahagian kecil sahaja dilantik sebagai Profesor kontrak sehingga berusia 65 tahun. Kelihatannya, amat jarang sekali mereka bertugas melampaui usia 70 tahun.

16. Sememangnya ramai yang berhasrat untuk bersara sebaik mencapai usia persaraan, begitupun masih ramai lagi yang berwibawa dan berminat untuk menyumbang, tetapi tidak dapat melakukannya kerana kurang dihargai oleh kepimpinan dan rakan keserakanan di universiti masing-masing.

17. Dalam konteks perkhidmatan di universiti, peranan asas para akademik ialah memberikan syarahan dalam bidang kepakaran, menyelidik dan menerbitkan makalah ilmiah untuk dikongsi bersama rakan kesepakaran. Peranan ini boleh dimainkan oleh semua kelompok akademik, sebaik mendapat gelar PhD sehingga bersara.

18. Bagaimanapun, universiti juga tempat kesarjanaan dipupuk dan ilmuwan berwibawa diraikan. Dalam konteks begini para Profesor yang telah menjangkau usia 60an dan 70an perlu memainkan peranannya.

19. Mereka menjadi pemimpin ilmu di peringkat negara dan global, serta pakar rujuk oleh pemimpin dan masyarakat sebagai golongan sarjana yang berkecuali dan sentiasa menegakkan kebenaran.

20. Antara kriteria negara maju ialah mereka meraikan ilmuwan (sarjana) sebagai komuniti terhormat kerana ilmu dan kebijaksanaannya. Di China, Jepun dan Indonesia ramai para Profesor yang menjangkau usia 80an memainkan peranan penting menerajui kepimpinan ilmu dan ikon ketamadunan negara.

21. Mereka juga menjadi barisan hadapan untuk memerdekakan pemikiran warga dizamannya. Di Malaysia apakah tradisi ini boleh dijelmakan?
IBK: Blog49 31 Ogos 2015

Advertisements