Zhijindong Cave Geopark China

FullSizeRender

1. Pada tahun ini saya bersama Dr Atsuko Niina dari Jepun telah dihantar oleh UNESCO untuk misi penilaian Zhijindong Cave Geopark, China menjadi ahli baharu warga Jaringan Global Geopark (GGN).

2. Geopark ini terletak di dataran tinggi Guizhou, di Majlis Perbandaraan Bijie, daerah Guizhou. Jika berjaya, China bakal memiliki 32 global geopark iaitu negara terbanyak memiliki institusi pembangunan lestari berinovasi ini.

3. Perjalanan ke Zhijindong Cave geopark melalui Guangzhou, dari situ kami terbang ke Guiyang sebelum menaiki kereta melalui jalan darat selama lebih dua jam ke pekan Zhijin. Dataran tinggi Guizhou menganjur lebih 1,500 km, berorientasi hampir timur barat di selatan China hingga ke Vietnam, merupakan antara dataran batu kapur terluas di dunia.

4. Di dataran ini terdapat beberapa global geopark, antaranya Gong Van Karst geopark di Vietnam dan Stone Forest geopark di Kunming. Di sebelah baratnya terletak landskap batu kapur Guilin yang sangat terkenal keindahannya.

5. Di Zhijindong geopark, saya terpegun dengan kehadiran tiga bentuk landskap Kars Batu Kapur iaitu Kars permukaan, Kars subpermukaan dan Kars bawah tanah, seakan ia memiliki semua bentuk landskap Kars mewakili dunia Kars.

6. Di Langkawi umpamanya, kita memiliki Kars permukaan yang membentuk keindahan pulau batu kapur yang mempersonakan itu. Di Gunung Mulu, Serawak pula terkenal dengan Kars bawah tanah, membentuk rangkaian gua pelbagai saiz dan panjang yang mengkagumkan.

7. Gua Zhijindong adalah sebuah gua yang pernah cantik pernah saya lawati. Mempunyai panjang 4.2 km dengan dua gua utama serta 43 kubah (chamber) mewakili sebuah gua yang serba lengkap dengan pelbagai binaan dan hiasan seperti mahligai bawah tanah.

8. Hiasan seperti stalagtit, stalagmit, tiang, tirai dan pelbagai bentuk batu alir seakan terbina dengan gah dan cukup sempurna. Apabila berada di dalam gua, kami tidak menyedari telah berjalan lebih empat kilometer selama hampir tiga jam lamanya. Segala-galanya kelihatan indah dan mempersona.

9. Geotapak Sungai Qijiehe mewakili landskap Kars subpermukaan yang pertama kali saya kunjungi. Kami bermula dengan bersampan melalui sungai di dalam gua sejauh 0.5 km dan berjalan di pinggir gua sehingga bertemu dengan sebuah ruang bawah tanah tanpa bumbung.

10. Ruang besar ini berasal daripada gua, tetapi bumbungnya telah runtuh dan membentuk lubang memanjang yang besar. Berjalan sekitar 200 meter ke hadapan, kami terpegun melihat jambatan tabii Xiaotuoluo (natural bridge) yang mengkagumkan. Inilah monumen geologi indah dan sangat jarang dijumpai.

11. Ke hadapan, kami berada di dalam gaung Dacaokou dibatasi oleh tebing curam lebih 400 meter tingginya. Gaung ini berasal daripada gua bawah tanah, keseluruhan bumbung gua telah runtuh meninggalkan alur sungai yang mengalir jauh di dasar dataran tinggi Guizhou.

12. Di gaung ini, kami dapat menikmati keunikan kepelbagaian fauna dan flora dan lanskap gaung berjeram yang luar biasa. Sekitar satu kilometer panjangnya, sungai Qijiehe mengalir masuk ke gua bawah tanah semula, dan kami pula menaiki lif keluar daripada gaung tersebut. Ini pengalaman geopelancongan paling unik pernah saya alami.

13. Di geotapak Dongfenglu pula kami berpeluang menikmati keindahan landskap Kars permukaan. Di dataran tinggi ribuan bukit batu kapur berbentuk kon menyulami permukaan rata yang dipenuhi oleh sawah padi dan pelbagai pertanian kontan.

14. Sungai Liuchonghe memotong dataran tinggi di sini membentuk lembah dan gaung dalam. Di sini kami berpeluang menaiki boat sejauh lebih 30 km menikmati keindahan landskap lembah, gaung, air terjun dan perkampungan komuniti tempatan di sepanjangnya.

15. Seperti kebanyakan geopark global di China, masih ramai penduduk asli tinggal di perkampungan kecil dan mengamalkan tradisi turun temurun komuniti mereka. Kami sempat melawat di dua perkampungan komuniti asli Miao dan Yi.

16. Di kampung Xiaotouluo, kami berjumpa dengan komuniti Miao yang masih mengamalkan tradisi kraftangan lukisan lilin yang telah diamalkan lebih 1,000 tahun lamanya. Sementara di kampung Huawaji, komuniti Miao dan Yi masih mengamalkan tradisi asli meliputi tarian, pakaian, kepercayaan dan budaya dalam kehidupan harian mereka.

17. Wawasan geopark sebagai alat pembangunan lestari wilayah telah berkembang pesat di seluruh dunia. Banyak negara percaya ini adalah harapan meningkatkan sosio-ekonomi penduduk luar bandar paling strategik tanpa merosakkan alam sekitar.

18. Di China, dua global geopark baharu diperkenalkan setiap tahun. Di Jepun pula, satu setiap tahun. Indonesia juga telah membangunkan lebih 10 geopark kebangsaan, dan cuba mengangkatnya menjadi global geopark.

19. Di negara kita, sejak Langkawi menjadi global geopark pada tahun 2007, masih belum ada geopark baharu diperkenalkan!

20. Malaysia negara yang bernasib baik, mempunyai penduduk yang kecil dan dirahmati dengan sumber asli yang melimpah luah. Masyarakat dan kepimpinan selesa dengan apa yang ada serta sukar berhadapan dengan perubahan.

21. Walaupun ilmuwan telah mengenalpasti beberapa kawasan sesuai untuk pembangunan geopark, kepimpinan dan komuniti tempatan masih belum bersedia menyahut cabaran ini.
(Telah diterbitkan secara bergambar dalam Rencana BH pada 3 September 2015)

IBK: 4 September 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s